Juliana Rindu Nasi Lemak


Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

JULIANA Sophie Johari Evans

JULIANA Sophie Johari Evans yang bakal berusia 19 tahun pada tahun ini, merupakan antara pelakon dan pengacara yang sedang meningkat naik.

Tugas sebagai pengacara Remaja yang disiarkan di saluran TV3 pada setiap hari Sabtu, pukul 1 petang, merupakan satu tugas yang begitu menyeronokkannya.

Gandingannya bersama bekas finalis, One In a Million musim pertama, Muhammad Alif Mohd Satar (Alif) tampak serasi. Ini sekali gus membuktikan bahawa pasangan remaja ini selesa mengendalikan rancangan yang bersesuaian dengan jiwa remaja mereka.

Walaupun tahun 2007 sudah melabuhkan tirai, namun anak kacukan Melayu sebelah ibu dan Inggeris di sebelah bapanya, masih terkenangkan pelbagai peristiwa manis yang dikecapi sepanjang tahun tersebut.

Juliana yang gemar membahasakan dirinya Jue, tidak pernah menyangka cubaan pertamanya melibatkan diri dalam lakonan drama Kami, membuahkan hasil dan mendapat sambutan daripada para penonton.

Memegang watak sebagai Sophie, Juliana menyifatkan bahawa karakternya di dalam drama, hampir sama dengan keperibadiannya yang sebenar.

ΐItulah diri saya. Sifat sensitif, kasih sayang dalam persahabatan, ceria dan serius ketika melakukan tugasan cukup dekat dengan diri saya. Berlakon di samping pelakon remaja lain seperti Nas-t, Ani Zayanah, Ezany dan Liyana Jasmay memberikan pengalaman baru dan sungguh menakjubkan.

ΐSaya juga tidak menyangka bahawa drama Kami mampu menambat hati penonton, terutamanya golongan remaja yang meminati muzik underground dan suka menyaksikan gig,῔ jelas bekas pelajar Sekolah Sri Kuala Lumpur, Subang dan Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam, ketika ditemui KOSMO! di Studio Utusan Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jue yang kini sedang menuntut dalam ijazah Program Amerika di Institut Help, Damansara, Kuala Lumpur, berazam sempena tahun 2008 ini, dia ingin mengembangkan bidang pengacaraan dan meningkatkan mutu lakonannya.

Ketika ditanya, sejak bila mula menceburkan diri dalam bidang pengacaraan, Jue yang memiliki berat badan 45 kilogram berkata: ΐSejak umur 12 tahun, saya mula menjadi hos bagi rancangan E-Zone yang disiarkan di Astro Ria dan meningkat umur 16 tahun, saya dilamar pula sebagai pengacara program Remaja.

ΐNamun begitu apabila berusia 17 tahun, saya berhenti menjadi pengacara kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Alhamdullillah khidmat pengacaraan saya bersama Remaja kembali semula pada tahun ini.

Mengulas lebih lanjut mengenai bidang pengacaraan, Jue memasang impian untuk mengacara program yang berbentuk pengembaraan. Ini kerana Jue ingin mempelajari budaya asing, mengetahui sejarah dan mengenali keistimewaan yang terdapat di negeri atau negara yang dikunjungi.

Mengimbas kembali saat mengacarakan hos E-Zone, Jue berasa gembira kerana program tersebut telah membawanya ke seluruh negeri di Malaysia. Antaranya, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak.

ΐSabah dan Sarawak bukan sahaja terkenal dengan pelbagai kebudayaan, tradisi dan keindahan tempatnya malah sifat mesra dan menghormati para tetamu, turut menambat hati saya,῔ ujarnya yang pernah mengunjungi negara luar seperti England, Korea, Indonesia, Thailand dan Jepun.

Di sebalik keghairahannya mengembara ke luar negara, jauh di sudut hatinya, dia masih menyanjungi tanah airnya sendiri. Ini terbukti apabila Jue yang mempunyai ketinggian 162 sentimeter menceritakan kerinduannya terhadap Malaysia ketika menyertai program pertukaran pelajar ke Jepun.

Menetap di negara Jepun selama 10 hari dan setiap hari disajikan hidangan sushi, telah menyebabkan hatinya bergelodak untuk segera pulang ke Malaysia kerana ingin menikmati hidangan nasi lemak.

ΐBegitu juga ketika berada di Indonesia dalam tempoh yang lama. Dek kerana setiap hari menikmati nasi padang, membuatkan saya kurang selera makan. Setibanya di Malaysia, perkara pertama yang saya lakukan adalah membeli nasi lemak,῔ katanya yang begitu mementingkan kesihatan dan suka menggenakan solekan nipis.

Jika remaja wanita sepertinya gemar mengumpul aksesori, kasut mahupun beg tangan, Jue pula sebaliknya. Kerjaya bapanya sebagai jurugambar separuh masa telah menyebabkan Jue, meminati mengumpul gambar yang cantik dan memberikan kenangan.

Gambar-gambarnya sewaktu kecil hinggalah meningkat dewasa akan digunting, dikumpul dan ditampal dalam sebuah buku skrap. ΐHobi ini akan membuatkan saya sentiasa mengingati peristiwa indah yang dilalui bersama keluarga dan rakan-rakan,῔ kata anak bongsu daripada tiga orang adik beradik.

TRIVIA

Buku kegemaran: Mengenai kasih sayang, perhubungan dan kehidupan.

Percutian idaman: Los Angeles, Mesir dan Mexico.

Filem kegemaran sepanjang masa: Genre ngeri.

Program televisyen yang digemari: Drama KAMI

Masa yang dinanti- nantikan: Mengharungi kehidupan di Amerika Syarikat.

Saya tidak suka: Lipas.

Idola yang paling disanjungi: Pengacara Asha Gill.

Powered by Kosmo


Comments (1)

[...] Image credit to my selebriti [...]

Leave a comment

Your comment