Yusni Jaafar Meninggal Dunia


Oleh Rozdan Mazalan



REDA: Raja Ema, dua dari kanan, bersama adik kandungnya, adik iparnya serta cucu Allahyarham Yusni membacakan doa selepas Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam USJ21, semalam.

SUBANG JAYA: Pelakon dan pelawak veteran, Yusni Jaafar menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 62 tahun, kira-kira jam 2.30 pagi semalam di Hospital Selayang, selepas menderita penyakit hati yang dihadapinya sejak 2005.

Allahyarham sebelum ini pernah terlantar di hospital itu sejak 1 Februari lalu dan dibenarkan keluar pada 28 Februari selepas keadaan kesihatannya dilaporkan semakin pulih.

Bagaimanapun, beliau terpaksa dimasukkan ke hospital sama pada 10 Mac lalu sebelum menghembus nafas terakhir di hadapan lima anaknya.

Anak bongsunya, Raja Irna Raja Ibrahim, 23, berkata ibunya kurang selera makan dan keadaan kesihatannya juga semakin kritikal menyebabkan beliau dan adik beradik lain bergilir menjaganya.

“Kali terakhir saya bersamanya semalam (kelmarin) ketika memujuknya untuk makan kerana melihat badannya semakin lemah kerana sudah lama tidak mahu menjamah makanan.

“Sebelum itu, saya dan adik beradik lain menemaninya di hospital dan berseloroh dengannya untuk bersama-sama menonton siaran langsung Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2007). Namun dia hanya menjawab insya-Allah kalau berkesempatan. Dan, itulah kata-kata terakhir daripada arwah ibu.


Yusni Jaafar

“Saya adik beradik reda dengan pemergiannya yang sudah lama menderita dengan penyakitnya dan sentiasa berdoa agar ibu saya ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya yang sentiasa menemani serta terlalu rapat dengan Yusni.

Yusni yang mendirikan rumah tangga dengan Raja Ibrahim Raja Mansor, dikurniakan lima anak iaitu Raja Iskandar 41, Raja Ema (39), Raja Izat (37), Raja Emy (30), dan Raja Irna selain mempunyai sembilan cucu.

Sementara itu, rakan rapat Allahyarham, Datuk Aziz Sattar berkata, Yusni disifatkan sebagai seorang sahabat yang baik sejak mula menceburi dunia seni.

“Beliau sering meluahkan masalah keluarganya kepada saya namun dia juga adalah orang yang kuat berahsia. Dia jarang menceritakan masalahnya kepada orang yang tidak dikenalinya.

“Pada Jumaat lalu dia ada menelefon saya untuk memberitahu yang dia kini berada di Hospital Selayang,” katanya.

Powered by Berita Harian

Leave a Reply