Kita Mampu Hasil Filem Hebat


Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap

SKRIP antara elemen penting dalam penghasilan drama, teater dan filem. Justeru, sudah semestinya penghasilan skrip diberi penekanan utama sebelum menoleh ke arah lain.

Namun sering kali rungutan produser filem tanah air ialah kesukaran mendapatkan skrip yang bagus untuk menghasilkan filem yang menarik. Justeru, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) cuba membantu dengan menganjurkan pertandingan menulis skrip dan Program Penulisan Skrip.

Program Penulisan Skrip yang dianjurkan pada 21 hingga 28 Mac lalu memberi pendedahan kepada peserta dalam penghasilan dan pembentukan skrip apabila penganjur mengundang penulis skrip terkenal Hollywood, Barbara Slade sebagai tutor.

Ia juga program kali kedua anjuran Finas yang mendapat kerjasama daripada Barbara. Jika program pertama Barbara melatih peserta cara mengumpul idea, kelas lanjutan ini memberi tumpuan lebih kepada penghasilan dan pembentukan skrip mantap dan terbaik.

Ia juga mendapat sambutan daripada pengarah dan pelakon terkenal tanah air seperti Afdlin Shauki, Mamat Khalid, Adlin Aman Ramli, Shahriza Mahmud dan Raja Azmi Raja Sulaiman.

Barbara berkata, melihatkan sokongan peserta pada kelas pertama yang dijalankan November lalu, menyuntik semangatnya untuk meneruskan program lanjutan.

ΐPada saya, peserta kelas ini (menulis skrip) memang ada bakat menghasilkan skrip yang bagus. Cuma perlu digilap penulisan itu.

ΐSaya berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan dan disebabkan itu apa kata ia diteruskan untuk tahap ketiga. Jika masih diperlukan untuk membantu, saya sedia memberi kerjasama bila-bila masa,῔ katanya.

Barbara yang berpengalaman menulis banyak skrip seperti Winne The Pooh, Rotten Ralph, Rugrats, Angelina Ballerina dan Brown Bear’s Wedding mengakui dia tiada masalah berkongsi pengalaman dimilikinya dalam penulisan skrip.

Katanya, skrip amat penting dalam penghasilan sesebuah filem kerana ia kekuatan pada filem. Justeru, katanya tanpa jalan cerita yang kemas dan garapan plot tersendiri, mungkin menyukarkan penonton menerimanya. Dalam soal ini, selain barisan pelakon berbakat, kejayaan sesebuah filem turut dipengaruhi skrip.

Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim pula berkata demi memastikan anak seni tempatan memperoleh ilmu untuk memperkasakan industri perfileman tanah air, Finas membelanjakan RM100,000 untuk menganjurkan program seperti itu.

ΐSeramai 15 peserta terpilih diundang mengikuti kursus selama seminggu. Saya bangga kerana dimaklumkan prestasi peserta kali ini sangat baik.

ΐSebagai penulis berpengalaman, Barbara menyifatkan kebanyakan peserta memberikan idea yang bagus tetapi ia perlu dibaiki lagi,῔ katanya.

Katanya, jika bakat penulisan peserta terus diasah, tidak mustahil suatu hari nanti negara juga mampu menghasilkan filem yang hebat. Dalam soal ini, anak seni tempatan masih perlu diberi pendedahan mengenai semua aspek mengenai filem.

ΐSelepas program penulisan skrip ini, Finas bercadang menganjurkan bengkel lain seperti penataan seni, bunyi dan produksi. Bagi menghasilkan filem terbaik, fokus tidak hanya ditumpukan pada skrip tetapi aspek lain juga perlu diambil kira.

ΐBagaimanapun tunjuk ajar diberikan Barbara memang bagus. Justeru, Finas masih memilihnya untuk kursus lanjutan ini kerana keupayaannya memberi latihan.

ΐSelain pengalaman, Barbara juga boleh berbahasa Inggeris dengan baik untuk memudahkan komunikasi,῔ katanya.

Sementara itu Shahriza mengakui gembira mendapat peluang daripada Finas menyertai tahap kedua program penulisan skrip itu.

Katanya, semua peserta diberi masa tiga bulan untuk menyediakan skrip filem pendek dan dihantar kepada Finas.

ΐSehubungan itu pada 25 April ini sesi perbincangan pertama untuk penghasilan skrip akan dibuat di rumah Raja Azmi. Kemudian perjumpaan seterusnya akan berlanjutan di rumah peserta lain sehingga satu skrip yang baik dapat dihasilkan,῔ katanya.

Pelakon ini mengakui pembabitannya dalam penulisan skrip sudah lama. Setakat ini banyak skrip drama dan telefilem sudah dihasilkan seperti Astana Idaman. Cuma katanya, bakat penulisannya masih tidak diketahui ramai kerana dikenali sebagai pelakon.

Penerbit kontroversi, Raja Azmi berkata, program penulisan skrip bersama Barbara memang menarik minatnya. Katanya, teknik pengajaran Barbara mudah difahami dan berkesan. Justeru, katanya, dia bertuah kerana sekali lagi dipilih mengikuti program itu.

ΐInilah masanya saya perlu perbetulkan skrip Anu Dalam Botol. Biarpun tajuknya tidak disukai, saya akan pastikan skripnya mantap dan berkesan. Insya-Allah, saya cuba hasilkan skrip yang bagus supaya boleh meletup di pawagam nanti,῔ katanya.

Kata Raja Azmi, dia kini dalam pencarian mendapatkan pelakon lelaki yang akan menerajui filem terbarunya itu. Katanya, diharapkan ia dapat mencari pelakon sesuai dengan segera supaya penggambaran dapat dimulakan.

ΐSaya pernah tawarkan watak ini kepada penyanyi Anuar Zain tetapi ditolak tetapi saya masih tidak putus asa dan cuba berbincang dengannya. Waktu sama, saya mencari calon lain yang sesuai,῔ katanya.

Powered by Harian Metro

One Response to “Kita Mampu Hasil Filem Hebat”

  1. Aesan Says:

    Sy berharap ada pertandingan menulis skrip akan dianjurkan untuk kebaikan negara jugak…Sy berharap ia akan tak lama lg.

Leave a Reply