Saksi Fazura Dakwa Suri Rumah Mabuk
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
KUALA LUMPUR: Seorang perunding teknologi maklumat memberitahu Mahkamah Majistret di sini, semalam, suri rumah yang didakwa diserang pelakon Gol dan Gincu, Nur Fazura Sharifuddin, berada dalam keadaan mabuk ketika pergaduhan di sebuah kelab malam, empat tahun lalu.
Shahrizan Mohd Rodzi, 35, berkata ketika kejadian itu, Geraldine Marina Wong berada dalam keadaan mabuk berikutan kelakuannya berseronok ketika menikmati minuman keras bersama rakannya.
Katanya, Geraldine adalah seorang yang beretika dan dia akan duduk di atas sofa dan berbual dengan rakannya dengan penuh sopan jika berada dalam keadaan normal.
“Pada malam kejadian, Geraldine dilihat bermesra bersama bekas suaminya yang juga pada masa itu adalah teman lelaki Fazura sambil bersorak dan menjerit dengan gembira.
“Mangsa juga dilihat cuba menggoda teman lelaki Fazura (ketika itu) sambil memintanya menuang minuman keras ke dalam gelas dipegangnya sambil dilihat berdiri dalam keadaan terhuyung-hayang,” katanya.
Fazura dituduh mencederakan Geraldine, 33, di Bar Luna, Pacific Regency Hotel and Apartments, Jalan Kia Peng di sini, jam 1.20 pagi, 19 Disember 2004. Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding berjalan di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani dan pendakwaan dilakukan Cif Inspektor R Rukumar.
Menjawab soalan pihak pembelaan, saksi kedua itu juga memberitahu mahkamah dia tidak dapat menyaksikan setiap pergerakan yang berlaku ketika Fazura bergelut dengan Geraldine.
“Sebelum pergelutan berlaku, Fazura ada memberitahu saya dia berasa pelik dengan tindakan bekas isteri kekasihnya itu yang berlagak seperti ingin memalukannya.
“Oleh itu, Fazura mengambil keputusan untuk pergi ke arah mangsa, walaupun saya menghalangnya dan dalam sekelip mata, saya melihat Fazura jatuh ke atas lantai.
“Pergelutan itu berterusan walaupun saya cuba menghalang. Saya berputus asa dan kembali ke tempat duduk. Ketika itulah, rakan lain yang datang mengerumuni saya kerana ingin tahu perkara sebenar,” katanya.
Shahrizan berkata, selepas lima minit bergelut, Fazura yang berada dalam keadaan bajunya yang terkoyak sehingga menampakkan dadanya dan kasutnya yang hanya tinggal sebelah, cuba keluar dari kelab itu.
Bagaimanapun, Geraldine yang tidak berpuas hati datang dari arah belakang Fazura dan menarik rambut tertuduh sehingga menyebabkan Fazura menghayunkan kasut yang dipegang di tangan kanannya.
“Pergelutan akhirnya dileraikan pengawal kelab dan meminta saya membawa Fazura pulang,” katanya.
Mahkamah menetapkan 22 Mei ini untuk sambung bicara.
Powered by Berita Harian

Leave a Reply