Fazura Sedia


Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN

Rap

PELAKON cantik, Fazura semakin bijak berjenaka, malah perbualan dengan media pada Majlis Malaysian Bridal Gown Designers Showcase di Concourse Great Eastern Mall, Jalan Ampang, baru-baru ini, sungguh menyenangkan.

Bicaranya terbuka, malah apabila ditanya perihal peribadi, lancar pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin mengatur kata-kata.

Sementelah menggayakan busana pengantin, perbualan menjurus kepada teman hidup dan perkahwinan impiannya. Kata gadis kelahiran Pekan, Pahang ini, dia kini bersedia menamatkan zaman solo, apatah lagi usia mencecah angka 25 tahun.

“Saya suka berkahwin muda kerana lebih mudah mengatur hidup. Bagaimanapun, hingga hari ini belum lagi bertemu jejaka sesuai.

“Dalam soal nikah kahwin tidak boleh terburu-buru. Banyak perkara perlu diambil kira kerana seboleh mungkin kita mahu kekal hingga ke akhir hayat.

“Insya-Allah kalau bertemu pasangan yang sejiwa, saya akan maklumkan kepada media. Kalau cepat jodohnya, cepatlah langsungnya,” katanya sambil menyifatkan teman istimewanya kini adalah kerja.

Pelakon dan pengacara yang mengagumi kesempurnaan majlis perkahwinan aktres Grace Kelly dan Putera Rainier dari Monaco ini tidak meletakkan harapan hari bahagianya nanti diadakan secara besar-besaran. Cukup sekadar majlis sederhana, tetapi penuh dengan cinta.

“Yang pasti, majlis saya nanti menyajikan banyak makanan. Biar tetamu puas dan pulang dengan senyuman.

“Saya sangat suka dengan gaun yang dipakai mendiang Grace Kelly. Sungguh cantik dan sempurna pada mata saya. Kalau boleh, saya ingin memakai gaun seperti itu,” katanya ceria.

Jarang ceritanya terpampang di dada akhbar dan majalah, malah dia seakan-akan sengaja mendiamkan diri. Namun kata Fazura, dia senang begitu kerana tiada cerita menarik untuk diuar-uarkan.

Fokusnya hanya pada kerja, malah jadual penggambaran yang ketat menyebabkan berat badannya turun mendadak disebabkan terlalu penat.

“Lagipun saya susah hati memikirkan kes mahkamah yang mengambil masa terlalu panjang untuk diselesaikan. Selagi tak selesai, saya rasa terganggu, lebih-lebih lagi bila berseorangan di rumah.

“Namun, penantian ini tidak menghalang saya memperbaiki diri. Sebagai manusia, saya sentiasa menanam azam untuk jadi insan lebih baik,” katanya jujur.

Menyoroti perkembangan karier, Fazura bakal mengubat kerinduan peminat menerusi drama 26 episod, Bicara Cinta yang menghiasi slot Astro Megadrama mulai 7 Mei depan, setiap Rabu jam 9.30 malam di Astro Prima dan Ezora (Akasia).

“Bicara Cinta adalah buah tangan daripada Rashid Sibir yang mengangkat tema berat, cinta, kekeluargaan dan komedi dengan latar perusahaan batik dan songket di Kelantan. Siri ini turut dibintangi Aqasha, Fazura, Beego, Zizie Ezette, Fauziah Nawi dan Ahmad Tarmimi Siregar.

“Manakala dalam Ezora pula, saya melakonkan watak wanita yang menjejaki tunangnya di Kuala Lumpur. Dalam filem ini saya sekali lagi beraksi di sisi Beego.

“Insya-Allah, Julai depan saya akan menjalani penggambaran filem terbaru arahan Bernard Chauly yang diharap mengulangi kejayaan Gol & Gincu,” katanya yang menitikberatkan kualiti lakonan.

Powered by Harian Metro


Leave a comment

Your comment