‘Ada Pihak Cuba Ambil Kesempatan’


Oleh Zaidi Mohamad

Sheila Majid kecewa segelintir penganjur memintanya membuat persembahan secara percuma kononnya untuk tujuan amal

SHEILA Majid menyelar sikap segelintir pihak yang mahu memintanya untuk membuat persembahan secara percuma kononnya untuk tujuan amal. Walaupun kononnya persembahan amal, pada masa sama penganjur tetap menjual tiket atau meja dengan harga yang mahal.

“Pihak seperti ini patut sedar, setiap persembahan membabitkan banyak kos. Kos itu untuk membayar pemuzik, jurusolek dan bayaran lain yang perlu saya tanggung. Saya perlu leburkan wang untuk membayar perkhidmatan mereka.

“Ada pihak yang salah anggap apabila sesuatu persembahan itu dibuat untuk tujuan amal, maka semuanya mesti percuma. Ini tanggapan yang mengelirukan dan perlu diperjelaskan. Baru-baru ini, ada pihak mengundang saya membuat satu persembahan amal.

“Pihak ini pula dengan mudah menyuruh kita bawa radio dan mikrofon untuk mengurangkan kos persembahan. Saya terkejut dengan permintaan seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha di PNB Darby Park, baru-baru ini.

Mengenai dakwaan untuk mengadakan konsert di Indonesia, Sheila berkata, ia tidak benar kerana dia tidak pihak yang tampil menawarkan diri untuk menjayakan persembahan di negara seberang itu.

“Memang ada pertanyaan untuk membuat konsert di Indonesia, tetapi semua belum pasti lagi. Tapi saya memang ada satu projek hebat yang akan dilakukan pada 7 Mei nanti. Buat masa ini, biarlah dirahsiakan terlebih dulu,” katanya.

Terdahulu, Sheila tampil dengan gaun rona merah menyala dalam persembahan itu yang cukup menghangatkan bermula sejak dia menyanyikan lagu Warna. Seiring dengan pengalamannya selama 23 tahun, persembahan Sheila memang sangat menghiburkan. Interaksinya bersama tetamu begitu lancar biarpun berbahasa Inggeris.

“Tuhan bagi rezeki untuk kita buat persembahan nyanyian. Saya terima apa juga rezeki yang diberikanNya. Saya bukan artis Hollywood yang dibayar mewah. Apa jua persembahan yang kita lakukan membabitkan tenaga dan kudrat dan disulami usaha yang jitu.

“Jangan fikir senang jadi artis.. Bukan mudah sebenarnya menghiburkan orang. Setiap persembahan ialah usaha untuk kita terus menghiburkan tetamu. Ironinya, ada tetamu yang datang itu ialah pelanggan baru kita yang berpotensi, yang boleh memberi saya peluang dan tawaran untuk persembahan seterusnya. Apabila di atas pentas, saya diibaratkan ‘menjual diri’ untuk persembahan akan datang,” katanya.

“Pada petang itu, Sheila menyanyikan 20 lagu, antaranya Kerinduan, Memori, Pengemis Cinta, Tua Sebelum Waktunya, Antara Anyir & Jakarta, Aku Cinta Padamu, Sinaran dan Bila Larut Malam. Di akhir persembahannya, Sheila mendendangkan lagu hit, Lagenda.

Sebelum kemunculan Sheila, mereka yang hadir di dewan PNB Darby Park dihiburkan dengan persembahan mencuit hati daripada AC Mizal. Ternyata tidak sia-sia kehadiran dan bayaran yang diberikan oleh tetamu demi menonton set persembahan yang dimulakan AC dan seterusnya disempurnakan dengan aksi hangat oleh Sheila. Semuanya cukup berbaloi dan terkesan. Memulakan persembahan dengan perarakan pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, AC persis penghibur ala Vegas yang melantunkan lagu permulaan berjudul, I Feel Good.

Melalui pentas ini, kredibiliti AC sebagai penghibur jelas terpancar. Aksi jenakanya yang spontan memang menghiburkan. Seiring dengan tanggungjawabnya sebagai pengacara AF6, elemen AF diterapkan menjadi landasan komedi yang dilihat sangat relevan dan tidak terlalu klise. Antaranya tarian Menuju Puncak dan kejutan mengumumkan pelajar yang bakal disingkirkan.

AC juga bijak berkomunikasi dan memikat hati tetamu yang datang. Satu persoalan timbul, kenapa AC tidak boleh mengadaptasikan apa yang dilakukan pada persembahan itu, diserap sewaktu dirinya menggalas peranan sebagai pengacara AF6. Mungkin juga di AF6, AC terikat dengan konsep dan kriteria yang harus dipatuhinya.

Selain menampilkan aksi jenaka yang mencuit hati, AC juga turut menyanyikan 15 buah lagu yang sebahagiannya disampaikan secara medley seperti lagu Bole Churiya, Singkong dan Keju, Zapin Budi, Sway, Fiona, Celebration, medley Kenangan Terindah, Dealova dan Dewi, Beautiful Girl dan That Thing You Do.

Kerjasama antara AC dan Sheila dilihat sangat berjaya dan menghiburkan. Tidak hairanlah jualan tiket untuk persembahan mereka habis dijual sekali gus menjadikan dewan dipenuhi dengan 1000 tetamu. Angka itu lebih bagus daripada gabungan AC bersama Mawi yang hanya disaksikan 700 tetamu ketika kedua-duanya mengadakan persembahan di tempat yang sama pada 8 April.

Pengurus Besar PNB Darby Park, Yusof Ramli berkata, untuk persembahan Sheila dan AC, sambutannya memang sangat baik sehingga jualan tiket terpaksa dihentikan lebih awal.

“Sambutan untuk persembahan Mawi dan AC juga memuaskan biarpun dihadiri 700 tetamu. Macam manapun, tidak dinafikan Sheila masih hebat. Penyanyi itu digemari oleh golongan korporat. Pemilihan AC Mizal pula kerana namanya yang sering menjadi sebutan. Tambahan lagi, AC sudah tiga kali menjayakan persembahan bersama kami sebelum ini,” katanya.

Powered by Berita Harian

Leave a Reply