Rosma Tenang Bergelar Isteri


Oleh Zaidi Mohamad



SAAT MANIS: Khai menyarung cincin perkahwinan di jari manis Rosma selepas majlis akad nikah.

Khai harap kerjaya seni tidak terganggu selepas berumahtangga

AKHIRNYA, di Putrajaya menjadi tempat terpaterinya ikatan suami isteri di antara dua bintang realiti Akademi Fantasia, Mohd Khairul Nizam Mohammad Wahi (Khai), 29 dan Rosmayati Sidik (Rosma), 23 pada 26 April lalu.

Mereka selamat bertunang pada jam 10 pagi dan serentak dijalankan majlis pernikahan di Masjid Putra, Putrajaya disaksikan lebih 100 orang ahli keluarga dan kenalan kedua-dua belah pihak.

Disertakan juga wang hantaran berjumlah RM16,161.61, angka yang dipilih sebagai lambang tarikh hari lahir Rosma iaitu pada 16 April. Sebanyak sembilan dulang hantaran dibawa oleh pihak pengantin lelaki, dibalas dengan 11 dulang daripada keluarga pengantin perempuan.

Status Khai sebagai seorang suami disahkan apabila dia menerima akad nikah daripada Imam Besar Masjid Putrajaya, Abd Manaf Mat dengan sekali lafaz kira-kira jam 11.55 pagi di hadapan wali yang juga bapa Rosma, Sidik Abu Bakar.

Khai kelihatan menarik nafas lega apabila lafaz nikah disahkan. Dan, pastinya bermulalah satu fasa baru dalam kehidupannya iaitu menjadi lelaki yang bertanggungjawab ke atas seorang wanita yang menjadi isterinya.


BAHAGIA: Wajah gembira Khai dengan Rosma selepas diijab kabul.

“Syukur, Alhamdulillah tamat sudah debaran saya selepas diijabkabulkan. Lega dan berasa dada ini sangat lapang sekarang (selepas dinikahkan)

“Berakhirnya majlis pertunangan dan pernikahan tadi, bermulalah fasa baru untuk saya memikul tanggungjawab sebagai suami kepada Rosma. Segala rintangan dan dugaan yang kami depani selama bercinta selama ini sudah berakhir, kini kami harus mendepani alam rumah tangga pula,” kata Khai sejurus selepas majlis berakhir.

Selepas ini, mereka tinggal di kediaman Rosma di Seri Kembangan.

Sebagaimana impian setiap suami, Khai juga mengharapkan jalinan perkahwinan yang terjalin kekal selagi hayat di kandung badan. Pasangan ini juga merancang untuk berbulan madu di China atau Mesir.

“Mungkin dalam bulan depan, kami pergi berbulan madu di luar negara. Pakej bulan madu kami ditaja oleh Aura Seri. Saya teringin nak melawat tempat bersejarah seperti Tembok Besar China atau Piramid di Mesir. Tapi macam tak kena pula dengan ‘mood’ perkahwinan kami.

“Saya ikut saja ke mana destinasi yang diingini dia. Kalau dapat ke Venice atau Gold Coast pun ok juga,” katanya.

Berbeza dengan Khai, Rosma kelihatan begitu tenang saat akad nikah dilangsungkan. Air matanya tidak langsung tertumpah, namun terpancar sinar kebahagiaan yang bakal dilayarinya bersama arjuna kesayangannya.

Kelangsungan kepercayaan, kasih sayang, tolak ansur menjadi nadi cinta abadi mereka terus mekar. Pasangan muda ini juga mempunyai impian untuk memiliki empat anak, masing-masing dua lelaki dan perempuan.

“Saya sudah puas menangis. Air mata langsung tak tertumpah pada hari ini. Seperti Khai, saya juga bersyukur akhirnya segala yang dirancang menjadi biarpun beberapa hari sebelum majlis ini berlangsung kami berdepan dengan sedikit kesulitan. Namun, berkat kesabaran dan bantuan orang yang kami kenali, majlis ini dapat berjalan seperti yang sudah diatur,” jelas Rosma ditanya mengenai perasaannya selepas sah menjadi isteri kepada Khai.

“Soal anak? Kalau ada rezeki, kami mahu secepat mungkin. Kalau boleh tahun ini kami mensyukuri nikmat itu. Bercakap soal teringin, kami idamkan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan itu sudah memadai. Selepas ini kami akan kembali sibuk dengan jadual tugas aktiviti seni,” katanya yang anggun mengenakan busana rekaan D’Risik sambil Khai sekadar tersenyum mendengar kata-kata isterinya itu.

Selepas selesai pernikahan ini, mereka akan mengadakan majlis resepsi berkonsepkan moden kontemporari di Dewan Persidangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PICC), dihadiri lebih 800 orang tetamu semalam (27 April). Pada majlis itu, mereka menggayakan busana rekaan D’Risik. Manakala untuk acara memotong kek, pereka Calvin Thoo sudi menaja persalinan moden.

Apa kata Zarina

BEBERAPA tahun dulu, pernah melata kisah jalinan cinta yang kononnya pernah terjalin di antara Khai dan Zarina.

Kedua-duanya menjadi pasangan kekasih yang cukup hangat, terutama apabila digandingkan dalam filem Cinta Fotokopi.

Namun, kini semuanya sudah menjadi kenangan. Jodoh lebih kuat menyebelahi Khai dan Rosma. Sebagai rakan seperjuangan, Zarina sempat menitipkan doa kepada pasangan bahagia itu.

“Saya doakan mereka bahagia hingga ke akhir hayat. Insya-Allah. Semoga mereka dapat cahaya mata yang ramai dan murah rezeki.

“Saya harap mereka pun sama-sama doakan saya cepat mendapat jodoh,” demikian ungkap Zarina ringkas yang mengaku kembali solo setelah cinta hatinya tidak berkekalan.

Membuktikan tanda sokongan sebagai kawan sejati kepada kedua-duanya, Zarina berkata, dia sudi meluangkan masa untuk menghadiri majlis persandingan Khai dan Rosma nanti.

FAKTA

Perkahwinan Khai dan Rosma

Hantaran pengantin lelaki (9)

  • Telekung
  • Kuih bahulu berbentuk ikan
  • Manisan berbentuk buah anggur
  • Sejadah
  • Potpouri
  • Sirih junjung
  • Kasut tumit tinggi jenama Guess
  • Beg tangan Guess
  • Senaskah Al-Quran

    Hantaran pengantin perempuan (11)

  • Sebiji kek
  • Sirih junjung
  • Minyak wangi Calvin Klein
  • Senaskah Al-Quran
  • Sejadah
  • Coklat Ferrero Roche
  • Kasut dan tali pinggang
  • Potpouri
  • Buah epal
  • Puding
  • Coklat berbentuk buah durian

    Di sebalik majlis

  • Sahri, Nurul dan Adifashla antara bintang Akademi Fantasia yang datang ke majlis pertunangan dan pernikahan.
  • Bapa Khai, Mohammad Wahi Abdul Wahid yang ditemui bersyukur majlis berlangsung dengan lancar. Sebagai bapa, dia gembira dengan pilihan Khai dan menyenangi menantunya, Rosma yang berbudi bahasa, menghormati orang tua dan tidak banyak karenah.
  • Butik Elynnz Collections menaja inai, banting dan bekerjasama dengan D’Fizie Collections untuk penyediaan pelamin, set meja makan beradab dan dekorasi.
  • Selain menaja pakej berbulan madu, Aura Seri juga menaja kereta sebuah kereta mewah untuk dinaiki Khai dan Rosma semasa perarakan untuk majlis resepsi dan diiring 15 motosikal berkuasa tinggi dari Kuantan. Konvoi itu berarak dari sebuah hotel di Putrajaya hingga ke PICC.

    Powered by Berita Harian

    Leave a Reply