Penghijrahan Hafiz Hamidun


Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@utusan.com.my

BERKEYAKINAN dan bercita-cita tinggi. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat terhadap bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Hafiz Hamidun yang berusia lewat umur remaja 24 tahun.

Penyanyi yang lebih mesra dengan panggilan Hafiz itu kini lahir dengan single terbaru, Kasih Belum Termiliki.

Merupakan single pertama untuk album keduanya yang bakal dikeluarkan pertengahan tahun ini, Hafiz yang ditemui baru-baru ini menyatakan konsep lagu berkenaan ialah pop.

Lagu itu merupakan ciptaannya sendiri dengan lirik ditulis oleh AD Samad.

“Saya betul-betul mengharapkan single ini dapat diterima baik oleh para peminat dan semua stesen radio tempatan.

“Tambahan pula, melodi lagu ini senang diingati dan saya benar-benar jaga penghasilannya sebab tidak mahu nampak kecacatan,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu lagi.

Menurut penyanyi kelahiran Perak itu, single tersebut telah pun diperdengarkan kepada peminatnya menerusi laman web rasmi, www.hafizhamidun.net dan ternyata usaha itu mendapat pujian dan komen yang memberangsangkan daripada peminat-peminatnya.

‘Peralihan’ daripada perjuangan irama nasyid ke irama pop bukan bererti Hafiz berasa kecewa dengan kegagalan memperjuangkan irama tersebut.

“Saya bukan kecewa, sebaliknya, saya mahu cuba memberi lebih pendedahan kepada diri saya untuk mencuba sesuatu yang berlainan memandangkan saya mempunyai banyak perancangan yang tidak hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata.

“Lagipun, rasanya tidak salah kalau saya mencuba. Kalau tiada rezeki dalam irama nasyid mungkin rezeki saya dalam irama pop pula,” kata Hafiz penuh optimis.

Album penuh

Bercerita mengenai album studionya lagi, kata Hafiz, sehingga kini dia baru menyiapkan enam buah lagu untuk dimuatkan dalam album solo keduanya.

Bagaimanapun, hanya single Kasih Belum Termiliki yang sempat dirakamkannya.

“Setakat ini, sudah 60 peratus siap. Hanya menunggu rakaman vokal sahaja.

“Insya-Allah, akan dikeluarkan pertengahan tahun ini, selewat-lewatnya pada Julai ini,” kata pengacara rancangan Tilawah Interaktif dan Forum Perdana Ehwal Islam di RTM1 itu lagi.

Sekitar Mac tahun lalu, Hafiz muncul dengan album solo pertamanya berjudul Hafiz Hamidun yang berkonsepkan pop nasyid.

Penghasilan album yang memuatkan 10 lagu termasuk Kesaktian Cinta dan Melihat Bintang itu melayakkan Hafiz sebagai antara calon akhir Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) baru-baru ini dalam kategori Album Nasyid Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik.

Lebih membanggakan apabila dia berjaya merangkul anugerah Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu Bukan Bahasa Melayu menerusi lagu The Last Breath dalam anugerah muzik paling berprestij itu.

RM8,000 untuk

single pertama

Melaburkan wang sendiri untuk menghasilkan single Kasih Belum Termiliki bukanlah masalah besar bagi bekas penuntut jurusan Matrikulasi Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Baginya, segalanya demi kepuasan dirinya, kata Hafiz: “Kalau nak diikutkan, produksi saya sepenuhnya adalah produksi tempatan.

“Jadi, jumlah tersebut tidaklah keterlaluan sangat. Yang penting pendengar dapat menilai kualiti muzik yang dihasilkan,” katanya.

Mahu buka perniagaan

Bercita-cita untuk bersara dan membuka perniagaan sendiri ketika usianya mencecah 40 tahun kelak bagaikan satu motivasi kepada Hafiz untuk mencuba yang terbaik di usia remajanya.

Mengakui berasa cemburu dengan kejayaan ramai rakan artis, kata Hafiz, dia tidak lupa bertanya kepada mereka tentang rahsia kejayaan.

“Sungguhpun berasa cemburu, namun saya jadikan perasaan itu sebagai pembakar semangat kepada saya untuk berusaha lebih keras lagi.

“Walaupun terpaksa mengorbankan usia remaja, saya tetap puas dan saya mengharapkan untuk tempoh tersebut, saya dapat tinggalkan sesuatu untuk industri muzik tanah air,” kata Hafiz mengakhiri perbualan.

Powered by Utusan Malaysia

4 Responses to “Penghijrahan Hafiz Hamidun”

  1. ika Says:

    abg hafiz memang berbakat besar…i love u abg hafiz

  2. dyna Says:

    semoga berjaya di dunia dan akhirat..Amin..

  3. akma Says:

    assalamualaikum…mmg betul abg hafiz nie mempunyai daya kreativiti yang sungguh luar biasa…krn dgn terciptanya album hasil titik peluh abg hafiz sendiri..xsemua org bleh buat seperti yang dilakukan olh abg hafiz nie…apapun cayok la abg hafiz…all the best in your life..insyaallah…

  4. pu3zana Says:

    sy mengikuti perjlnan seni hafiz dr mula kemasukan nya dlm unic. dia berbakat besar dlm seni suara dan kerja2 di sebalik tabir..x semua penyanyi blh melakukan perkara sepertinya..all d best hafiz..

Leave a Reply