Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon Gol dan Gincu, Nur Fazura Sharifuddin, 25, kelihatan marah apabila ternampak seorang wanita menggoda teman lelakinya sebelum berlaku pergaduhan di sebuah kelab malam, empat tahun lalu.

Perunding teknologi maklumat, Shahrizan Mohd Rodzi, 35, memberitahu Mahkamah Majistret di sini, semalam, dia ternampak seorang suri rumah, Geraldine Marina Wong bermesra dengan teman lelaki Fazura, Ahmad Razman Ahmad Razali yang juga anak bekas Menteri Besar Selangor.

Berikutan itu, Shahrizan menasihatkan Fazura supaya tidak menemui Geraldine bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Saksi kedua itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor R Rukumar dalam prosiding pembelaan di hadapan Majistret Aizatul Akma Maharani.

RUKUMAR: Selepas itu, apa yang berlaku?

SHAHRIZAN: Selang beberapa saat, saya ternampak Fazura berjalan ke arah Geraldine yang ketika itu kelihatan mabuk dan sedang menggoda Ahmad Razman sebelum terjadi pergaduhan itu.

RUKUMAR: Adakah kamu nampak kejadian tarik rambut dan tolak-menolak dalam pergaduhan itu?

SHAHRIZAN: Ya, semua orang nampak di kelab malam itu.

RUKUMAR: Dalam kejadian itu, berapa kali mereka bergaduh?

SHAHRIZAN: Dua kali…saya turut ternampak Fazura terjatuh dua kali sebelum menariknya dan mengarahkan Ahmad Razman mengawal Geraldine bagi meleraikan pergelutan itu.

RUKUMAR: Apakah keistimewaan Ahmad Razman hingga dua wanita berebut untuk mendapatnya?

SHAHRIZAN: Ahmad Razman memenuhi karakter lelaki idaman bagi semua wanita kerana senang didekati, periang, kelakar dan tampan.

RUKUMAR: Kerana Ahmad Razman mempunyai ciri-ciri begitu menyebabkan Fazura memukul Geraldine?

SHAHRIZAN: Ya.

Shahrizan turut memberitahu mahkamah dia tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana dia mengenali Fazura kira-kira lima tahun, manakala bersahabat dengan Geraldine hampir 20 tahun.

Menurutnya, dia tampil ke mahkamah untuk memberitahu perkara sebenar yang berlaku pada malam itu, selain membantu Fazura dan menyelesaikan masalah terbabit.

Katanya, beliau menganggap Fazura sebagai adik dan tidak mahu melihat pelakon itu menerima hukuman penjara dalam usia mudanya.

Mengikut pertuduhan, Fazura dituduh mencederakan Geraldine di Bar Luna, Pacific Regency Hotel and Apartments, Jalan Kia Peng di sini, jam 1.20 pagi, 19 Disember 2004.

Dia memenangi anugerah pelakon harapan Festival Filem Malaysia ke-17 pada Jun 2004, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, mahkamah membenarkan permohonan Peguam Mohd Fakhrul Azman yang mewakili Fazura supaya mengeluarkan waran tangkap terhadap dua orang lagi saksi iaitu Ahmad Razman dan S Anand, jika mereka masih gagal hadir perbicaraan pada 13 Jun ini.

Powered by Harian Metro