Saksi Nafi Berpihak Kepada Fazura


KUALA LUMPUR: Seorang perunding teknologi maklumat memberitahu Mahkamah Majistret di sini, semalam keterangan yang diberikan tidak memihak kepada pelakon Gol dan Gincu, Nur Fazura Sharifuddin walaupun mereka sudah berkawan sejak empat tahun lalu.

Shahrizan Mohd Rodzi, 35, berkata beliau tampil memberi keterangan bagi pihak Fazura kerana tertuduh sudah meletakkan namanya sebagai seorang daripada saksi yang melihat pergaduhan dengan seorang suri rumah di sebuah kelab malam, empat tahun lalu.

Ketika menjawab soalan pegawai pendakwa, Shahrizan berkata ketika itu beliau menemani Fazura ke Balai Polis Dang Wangi bagi memberi keterangan terhadap laporan polis oleh mangsa, Geraldine Marina Wong selepas dihubungi oleh seorang anggota polis.

“Saya tidak akan memihak kepada sesiapa yang berkaitan dalam kes ini kerana saya juga mengenali mangsa sejak 20 tahun lalu ketika zaman persekolahan dan kami berkawan sehingga kini.

“Semua keterangan yang diberikan adalah berdasarkan fakta dan kejadian sebenar kerana ketika itu, saya berada di tempat kejadian bersama Fazura dan menyaksikan segala-galanya sehingga menghantar tertuduh pulang ke rumah kira-kira jam 12.30 pagi.

“Oleh itu, tiada sebab saya memberi keterangan berpihak kepada Fazura hanya kerana kami berkawan. Saya menganggap dia sebagai adik sama sekali tidak akan memberi keterangan berat sebelah kerana tidak mahu Fazura dipenjara,” katanya dalam prosiding di depan Majistret Aizatul Akmal Maharani.

Fazura yang diwakili Fakhrul Azman Abu Hassan dituduh mencederakan Geraldine, 33, di Bar Luna, Pacific Regency Hotel and Apartments, Jalan Kia Peng di sini jam 1.20 pagi 19 Disember 2004.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 13 Jun depan tarikh sambung bicara.

Powered by Berita Harian


Leave a comment

Your comment