Saya Tidak Menyebelahi Fazura, Geraldine - Saksi
KUALA LUMPUR 22 Mei - Perunding teknologi maklumat (IT), Shahrizan Mohd. Rodzi memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa dia tidak menyebelahi mana-mana pihak termasuk Fazura walaupun menganggap pelakon dan penyanyi itu seperti adiknya.
Beliau yang merupakan saksi kedua pembela menegaskan, semua keterangannya adalah berdasarkan fakta kerana dia berada di tempat kejadian semasa insiden pergaduhan antara Fazura dan Geraldine Mariana Wong berlaku.
”Saya hanya beri keterangan berdasarkan apa yang berlaku. Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-duanya, Fazura dan Geraldine adalah kawan saya.
”Saya berada di sini kerana semasa saya menemani Fazura ke balai polis dan apabila ditanya siapa saksi, Fazura memberitahu saya menyaksikan segalanya.
”Apabila polis berkenaan bertanya sekiranya saya mahu memberi kenyataan, saya kata ‘ok’ kerana saya memang berada di sana dan menyaksikan semua yang berlaku. Saya tidak tahu ia membawa saya ke peringkat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Cif Inspektor R. Rukumar pada sesi pemeriksaan balas. Pegawai pendakwa itu mempersoalkan mengapa Shahrizan, 35, menyebelahi Fazura yang hanya dikenalinya empat tahun lalu sedangkan dia telah berkawan dengan Geraldine sejak berusia 14 tahun.
Fazura atau Nur Fazura Sharifudin, 24, yang merupakan pelakon utama filem dan drama bersiri Gol & Gincu sedang membela diri atas tuduhan mencederakan Geraldine di Bar Luna Pacific Regency Hotel & Apartments, Jalan Kia Peng di sini kira-kira pukul 1.20 pagi, 19 Disember 2004.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut Shahrizan, sebagai seorang kawan, dia juga merasa bertanggungjawab serta ingin membantu Fazura.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak memilih menjadi saksi atas alasan persahabatan semata-mata, sebaliknya sebagai mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Sementara itu, jelasnya, dia tidak berkesempatan untuk menyapa Geraldine walau berniat untruk berbuat demikian kerana semuanya berlaku dengan pantas pada malam kejadian.
”Apabila saya menoleh, saya lihat Fazura berjalan ke arah Geraldine. Tiba-tiba mereka saling menarik rambut, tolak menolak sehingga kedua-duanya terjatuh sebelum Fazura berjalan ke pintu.
”Saya nampak Fazura hayunkan kasutnya ke muka Geraldine, tapi saya berpendapat perbuatan itu dilakukan kerana dia terkejut serta untuk mempertahankan diri selepas rambutnya ditarik dari belakang,” katanya.
Ditanya tentang keistimewaan Ahmad Razman Tan Sri Ahmad Razali (bekas teman lelaki Fazura) yang menjadi rebutan dua wanita, Shahrizan menjawab dengan pantas sehingga Majistret Aizatul Akmal Maharani menegurnya.
”Apa tadi…, periang, kelakar, kacak, semuanya ciri-ciri lelaki idaman tu, tapi perlahan sikit, saya nak catat,” kata Aizatul sambil disambut dengan suara ketawa oleh semua yang berada di mahkamah.
Perbicaraan bersambung pada 13 Jun ini.
habis
Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply