Rancangan Baru Astro Ria Dan Prima
BARU-BARU ini Wanda sempat menghadiri sidang akhbar mengumumkan rancangan baru Astro Ria dan Prima. Acara dilakukan pada waktu malam dalam keadaan santai di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.
Yang seronoknya, cara mereka mengumumkan program baru itu. Apabila dua Khairul – Khairul Mizan Shagul (Pengurus Saluran Astro Ria) dan Khairul Anwar Salleh (Pengurus Saluran Astro Prima) bersatu di atas pentas. Penuh bergaya.
Tapi yang buat Wanda lebih kagum tentunya kepada kumpulan pemikir yang menjadi tulang belakang untuk memastikan saluran-saluran Astro terus diminati.
Khususnya bagi saluran Ria dan Prima yang rata-rata diminati oleh penonton Melayu kerana mempunyai idea mantap dan baru dalam usaha menambahkan kepelbagaian himpunan programnya di saluran berbayar itu.
Iyalah, bukan senang nak bikin penonton terhibur dan lebih penting, terus setia menjadi pelanggan mereka. Sebab itu, sebaik sahaja tamat demam Akademi Fantasia 6, mereka terus menyediakan program baru untuk yang pastinya membuatkan penonton ‘tak angkat punggung’ depan televisyen.
Kerana mulai malam ini (25 Mei), kedua-dua saluran itu menyajikan tiga program baru yang dikendalikan tiga personaliti popular selain melancarkan program musim baru, AC Di Sini yang dikendalikan oleh AC Mizal.
Dua game show, Jangan Lupa Lirik! akan dikendalikan oleh pengacara nombor satu, Aznil Haji Nawawi serta Bolos oleh Zizan (Raja Lawak musim pertama) selain AC Di Sini untuk siaran Astro Ria dan Fikirlah Sendiri Nabil memberikan satu perspektif baru lawak gaya stand up comedy oleh juara Raja Lawak musim ini, Nabil yang akan disiarkan di Astro Prima.
Menyaksikan sedutan program- program itu, Wanda percaya, penonton setia kedua-dua saluran akan terhibur. Apalagi dalam visi dan objektif menjadikan saluran itu one- stop centre.
Bak kata Pengarah Ekesekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah, Astro bukan sahaja sinonim dengan program realiti nombor satu, Akademi Fantasia malahan juga disebut-sebut dengan kejayaan program berformat seperti Sehati Berdansa dan Raja Lawak dan terbaru, kempen Astro MegaDrama dengan himpunan drama tempatan bermutu.
Maka itu, mereka tentunya akan terus memperkenalkan variasi program dengan format baru mahupun adaptasi yang disuntik dengan elemen tempatan seperti Jangan Lupa Lirik! yang begitu popular di Barat serta Bolos daripada game show Jepun.
Dan yang pasti, siapa yang tak mahu tengok rancangan yang menyediakan hadiah bernilai RM1 juta andai berjaya menyanyikan lagu dengan betul dalam Jangan Lupa Lirik!
Nabil juga mungkin berjaya mencuri tumpuan apabila programnya mula ditayangkan sebab Wanda percaya, peminatnya suka dengan lawak selambanya yang bukan sahaja ‘ada isi’ tapi mencuit hati.
Powered by Utusan Malaysia