Semangat Beego
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
SIBUK di lokasi penggambaran siri Ezora yang menghiasi slot Akasia TV3, sedikit sebanyak melupakan Beego atau nama sebenarnya Aszerul Nizam Abdullah perihal kemelut rumah tangga yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Penggambaran yang memakan masa kira-kira tiga bulan sekitar Kuala Lumpur dan Hulu Langat itu menyuntik semangat anak muda ini untuk terus melayari kerjaya seninya seperti biasa.
Istilah malu tidak wujud dalam kamus hidupnya kerana dia yakin pasti ada hikmah di sebalik dugaan ini. Apa yang pasti dia lega kerana rezeki tidak putus meskipun kisah hidupnya jadi perhatian.
Menerusi drama arahan Ahmad Idham, Beego diberi kepercayaan memikul watak Reza, pemuda kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk merealisasikan impiannya mengahwini Ezora lakonan Nur Fazura.
Bagaimanapun setibanya di kota besar itu, dia bertemu dengan gadis berada, Leeya, lakonan Dynas. Godaan dan layanan mesra Leeya membuatkan Reza lupa seketika pada impiannya.
“Sudah sebulan saya berada di lokasi penggambaran Ezora. Alhamdulillah, saya tidak ada masalah menyesuaikan diri dengan pelakon siri ini walaupun ramai antara mereka tidak pernah belakon dengan saya sebelum ini.
“Ini kali kedua saya digandingkan dengan Fazura selepas drama Bicara Cinta arahan Rashid Sibir. Selesa bekerja dengannya yang tidak lokek ilmu dan suka membantu. Begitu juga dengan Dynas dan Zed Zaidi.
“Watak Reza terlalu berat tetapi cabaran terbesar adalah menggunakan intonasi berbeza ketika bertutur dengan Ezora, Leeya dan rakannya. Penonton akan nampak perbezaan ini jika menonton Ezora,” katanya.
Meskipun tiga tahun bergelumang dalam dunia lakonan, anak jati Johor ini menyifatkan dirinya masih hijau bahkan masih wujud perasaan malu setiap kali menonton lakonan sendiri.
Kata pelakon siri Puteri, Gitar Tua, Pendekar Lima, Mentari Jingga dan Akademi ini, banyak lagi yang perlu dipelajari dalam memantapkan mutu persembahan Justeru dia menjadikan lokasi dan pelakon lebih berpengalaman sebagai guru.
“Saya bersyukur kerana sudah ramai pengarah yang sudi memberi laluan kepada saya membintangi drama mereka. Kepercayaan yang diberikan tidak akan saya persiakan. Insya-Allah setiap tanggungjawab yang diberikan akan saya galas sebaik mungkin.
“Malah saya bertuah kerana Ahmad Idham meminta saya menyanyikan lagu untuk drama ini yang dicipta oleh Cat Farish. Sedikit sebanyak peluang yang diberikan dapat melepaskan rindu saya merakamkan lagu,” katanya yang berharap dapat melangsungkan karier sebagai penyanyi meskipun rezeki kini lebih berpihak pada lakonan.
Menyentuh persoalan rumah tangganya yang retak menanti belah, Beego memohon pengertian daripada media kerana kes ini masih dalam perbicaraan.
Pun begitu akuinya hati mana yang tidak sedih apatah lagi cabaran ini tidak pernah terlintas di fikirannya. Tanpa persediaan, dia terpaksa menerima hakikat, wanita yang dicintainya semakin menjauh.
“Sebagai manusia kita mampu merancang, andai diberi pilihan saya yakin tidak ada sesiapapun yang mahu perkara ini berlaku.
“Walaupun berat, saya kena tabah. Pasti ada hikmah di sebalik dugaan ini. Setidak-tidaknya ia menjadi saya lebih kuat dan sabar.
“Apa yang saya perjuangkan selama ini adalah untuk membersihkan kembali nama saya. Macam-macam cerita buruk mengenai saya menjadi buah mulut orang. Ada pihak yang sengaja memburukkan lagi keadaan dengan menabur fitnah yang bukan-bukan. Biarlah mereka terus bercakap, saya tak peduli.
“Fokus saya kini adalah karier dan syukurlah dugaan ini tidak menjejaskan periuk nasi saya,” katanya.
Powered by Harian Metro

July 28th, 2008 at 10:42 am
beego bawak sabar tentang kes perkahwinan yang akan d bicara kan nanti… kalau beego tak salah… pasti kebenaran akan menyebelahi beego insyallah… semoga lebih berjawa di masa hadapan…Amin