Ezora Tidak Ciplak Telenovela Asing
Filem amerika Latin diberi perisa tempatan
SALAH faham mengenai format bagi slot telenovela Melayu, Akasia siaran TV3 menyebabkan penonton keliru dan beranggapan drama bersiri 60 episod arahan Ahmad Idham, Ezora menciplak siri telenovela asing.
Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Johari Salleh ketika ditanya mengenai hal itu berkata, kebanyakan drama yang menghiasi slot itu adalah adaptasi daripada siri popular Amerika Latin namun diberi perisa tempatan.
Bermula dengan Manjalara yang diadaptasi daripada drama bersiri popular Venezuela, Mi Gorda Bella, Spa Q dan Ezora juga mengambil langkah yang sama bagi memenuhi keperluan tontonan penonton setia saluran itu.
“Konsep untuk slot ini berpandukan drama bersiri Amerika Latin yang popular dan mendapat sambutan, malah mempunyai jalan cerita yang hampir sama dengan judul yang dipilih.
“Bagaimanapun, tidak semua jalan cerita siri popular itu diadaptasi sebaliknya penerbit diberi kebebasan untuk menyuntik elemen tempatan tanpa menjejaskan perjalanan cerita asal,” katanya.
Johari turut menekankan hanya 40 peratus daripada cerita asal dikekalkan, manakala selebihnya diolah semula untuk disesuaikan dengan budaya dan sensitiviti masyarakat tempatan.
Katanya, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana slot yang diperkenalkan hampir setahun lalu masih baru di kalangan penerbit tempatan terutama apabila produksi itu memakan masa yang panjang.
Sebagai stesen yang bertanggungjawab menggembleng tenaga untuk membantu memajukan penerbitan drama dan filem tempatan, TV3 cuba membentuk satu sistem atau format yang mudah difahami dalam menerbitkan telenovela.
“Slot ini perlu berbeza dan lari daripada slot drama seperti Lestari atau Cerekarama. Mungkin bagi slot drama bersiri seperti Lestari yang tidak diterbitkan dalam episod yang panjang, penerbit sudah terbiasa dan memahami kehendak TV3.
“Tetapi apabila membabitkan telenovela, ramai yang masih belum faham bagaimana mahu menghasilkan produksi berkualiti, tidak meleret dan pada masa sama memancing hati penonton.
“Justeru, untuk memudahkan semua itu kami mencari jalan dengan mengadaptasi drama bersiri Amerika Latin popular sebagai panduan kerana percaya kita juga mempunyai penerbit yang berkemampuan untuk menghasilkan produk berkualiti serta menarik apabila menemui formulanya,” katanya.
Dikelaskan di bawah jenama Women@TV3, Akasia katanya tidak hanya menyajikan hiburan kosong sebaliknya menampilkan drama bersiri sarat mesej dan falsafah jika diteliti.
Siri telenovela yang berorientasikan kekeluargaan itu membawa falsafah untuk menguatkan malah membangkitkan keyakinan dalam diri wanita kerana mereka juga mempunyai peranan besar sebagai anggota masyarakat.
Falsafah itu diterapkan dalam siri Manjalara yang menekankan kepada jati diri manakala Spa Q pula memperlihatkan kekuatan wanita untuk membantu teman sejenisnya ketika berdepan masalah.
“Bella pula mengingatkan kita ketika kejayaan dan kekayaan mengulit diri, kita masih punya tanggungjawab yang perlu dilunaskan dan jangan terlalu bermegah hingga mengambil lewa semua yang dimiliki.
“Ezora juga membawa mesej besar iaitu dalam setiap halangan, kita masih mampu menghadapinya. Cuma mesej itu belum menyerlah sepenuhnya kerana drama itu baru beberapa minggu ditayangkan,” katanya.
Johari berkata, slot itu menyediakan lima hingga enam judul untuk dipenuhi sepanjang tahun menyebabkan mereka terpaksa menempuh pelbagai cabaran untuk menyiapkannya.
Bagaimanapun, katanya, dalam hal itu mereka bernasib baik kerana mendapat kerjasama yang padu daripada syarikat produksi terpilih dan sering berbincang untuk mengatasi segala halangan yang mendatang.
“Kami menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada syarikat produksi tanpa menyekat kreativiti mereka dalam berkarya. Namun, setiap aspek tetap diberi tumpuan oleh TV3 kerana tidak mahu sebarang masalah timbul. Asalkan produksi itu tidak lari daripada format siri asal, itu sudah cukup melegakan hati kami,” katanya.
Johari berkata, selepas penghasilan Bella yang dibikin atas idea sendiri tanpa mencedok mana-mana penerbitan luar mereka yakin selepas ini akan lebih banyak produksi tampil dengan produk asli.
Bagaimanapun, katanya, semua itu memakan masa dan mensasarkan tahun depan drama yang menghiasi slot Akasia lebih bercirikan elemen tempatan.
“Ketika ini kita masih di peringkat percubaan. Memang akan ada kekurangan di sana sini, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus memberikan yang terbaik kepada penonton.
“Sekurang-kurangnya menerusi penerbitan slot ini TV3 menyediakan ruang yang besar kepada produksi tempatan untuk aktif menghasilkan karya bermutu dan diterima masyarakat,” katanya.
Ezora membariskan pelakon seperti Beego, Nur Fazura, Dynas, Zed Zaidi, Diana Rafar, Cat Farish dan eroz Khan sebagai pelakon utama.
Powered by Berita Harian

Leave a Reply