Leona Tidak Mudah ‘Naik Tocang’


OlehHaryani Ismail

ADA yang menggelarnya Mariah Carey Jr atau Whitney Houston Jr.

Leona Lewis, 23 tahun, adalah bintang muda yang namanya mulai dipuja dan dijulang sebagai antara ‘bakat harapan’ yang berpotensi tinggi.

Saya sendiri bertemu dengan penyanyi merendah diri ini yang bakatnya dicungkil daripada program realiti, The X Factor.

Baru-baru ini, penyanyi berambut keriting dan lembut apabila berbicara itu telah menerima anugerah ‘Bintang Harapan’ pada Anugerah MTV Asia di Genting Highlands.

‘Saya rasa gembira dan terharu disamakan seperti bintang mapan yang berjaya, iaitu Mariah Carey.

‘Selepas program The X Factor, segalanya bergerak pantas bagi saya. Ia bukanlah sesuatu yang mudah ditangani anak muda seperti saya tetapi saya mencuba sedaya upaya saya,’ jelas Leona dalam sesi sidang akhbar di Hotel Theme Park, Genting Highlands.

Single Leona, A Moment Like This, telah memecahkan rekod dunia selepas ia dimuat turunkan lebih 50,000 kali dalam masa setengah jam.

Single keduanya, Bleeding Love, pula single paling laris di United Kingdom tahun lalu.

Adakah populariti yang cepat dikecapinya itu akan menjejas kehidupan peribadinya?

Leona yang menjalin hubungan dengan seorang pembaik elektrik, Lou Al-Chamaa, yang dikenalinya sejak usianya 10 tahun, tidak fikir begitu.

‘Saya seronok dengan apa yang saya lakukan buat masa ini. Saya akur keadaan telah berubah secara dramatik sejak dua tahun lalu. Saya terasa bagaikan bermimpi, adakalanya.

‘Namun, saya jenis yang akan berusaha gigih, melalui hari demi hari sebagai perjalanan yang harus direntasi dengan tabah.

‘Saya tidak akan mengambil mudah populariti yang dikecapi,’ katanya lagi.

Leona yang meraih inspirasi daripada penyanyi mapan seperti Stevie Wonder dan Alicia Keys, tentunya berasa terharu dipilih bersama pemain bola, David Beckham, mewakili London dalam acara penutup Sukan Olimpik di Beijing Ahad ini.

Sukan Olimpik 2012 dijadualkan berlangsung di London dan Leona serta David adalah wakil penyerahan hak Olimpik itu.

Apa lagi yang anda perlu tahu tentang Leona?

‘Saya paling suka tahu rebus, sayur-sayuran serta makanan pedas!’ katanya yang dipilih sebagai Penggemar Sayur Paling Seksi 2008 (anjuran pertubuhan hak haiwan sedunia), seiringan dengan vokalis Red Hot Chili Peppers, Anthony Kiedis.

Cyberita

Leave a Reply