Sasaran Sejuta Penonton
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

RRAMA, watak baru yang bakal menghangatkan Cicakman 2.
Cicakman 2: Planet Hitam memukau penonton pada tayangan perdana di Pusan
MELIHAT sedutan filem Cicakman 2: Planet Hitam di laman sesawang www.cicakman.com, hati berdebar kencang seketika. Terasa kagum melihat kesan khas yang dipaparkan, begitu juga aksi yang dipersembahkan. Berdasar kepada treler berkenaan, Cicakman 2 nyata lebih besar dan hangat berbanding filem pertama.
Maka, tidak hairan apabila ada pelajar di Pusan, Korea Selatan, ingin tahu apakah Malaysia sudah biasa menghasilkan filem adiwira seperti itu, apabila Cicakman 2 ditayangkan pada sesi tayangan perdana dunia dalam kategori Superhero di Asia pada Festival Filem Antarabangsa Pusan, berlangsung pada 2 hingga 10 Oktober.
Sebanyak 10 filem dalam genre itu ditayangkan pada festival ini dan Cicakman 2, satu-satunya filem dalam kategori itu yang diberi penghormatan mengisi slot tayangan perdana dunia pada festival kali ini.
Menurut penerbitnya, Norman Abdul Halim, apa yang orang luar tidak ketahui, Cicakman dan Cicakman 2 satu-satunya filem adiwira pernah diterbitkan di negara ini.
Walaupun masih dianggap baru dalam pembikinan filem berbentuk aksi adiwira, tetapi percubaan KRU Studios dilihat berjaya. Filem pertama membuktikan kejayaan dengan memungut lebih RM6 juta sewaktu ditayangkan kira-kira dua tahun lalu. Kini, peminat menunggu sambungannya yang dijadual memasuki pawagam mulai 11 Disember.
Bagi Norman, tayangan perdana dunia di Pusan itu sendiri cukup bermakna buat KRU Studios, apabila filem buatan Malaysia itu bukan hanya membuka mata penonton yang terdiri daripada penggiat industri dan orang awam (termasuk beberapa pelajar Malaysia di Korea), malah ia memungkinkan sejarah tercipta apabila sebuah filem arus perdana diedarkan secara meluas di lebih banyak negara Asia.
Panggung yang boleh memuatkan 250 orang diisi lebih 200 penonton apabila filem arahan Yusry itu ditayangkan 5 Oktober lalu. Dan, pada 7 Oktober pula, dua lagi sesi tayangan diadakan bagi filem berkenaan. Kehadiran ramai penonton itu sendiri sudah amat melegakan Norman, apatah lagi selepas menerima komen yang memberangsangkan daripada hadirin.
Sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada semalam (8 Oktober), Norman terlebih dulu sempat menghadiri acara pasaran filem yang diadakan sempena festival terbabit. Di situ, dia mengadakan perbincangan bersama tujuh pengedar dari Korea, Jepun, China, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Filipina yang menunjukkan minat membawa masuk filem itu ke negara masing-masing.
“Sehingga hari ini, selain Malaysia, kita sudah pun menerima pengesahan tiga negara Asean lain yang akan menayangkan Cicakman 2 iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia. Jadi, sekiranya kami mendapat edaran di beberapa lagi negara Asia, ia bakal muncul filem Asia arus perdana dari Malaysia yang lebih meluas edarannya.
“Bukan mudah untuk filem Asia mendapat edaran meluas. Selama ini, kita hanya diberikan ruang yang agak sempit menerusi tayangan di beberapa panggung saja. Hendak mendapat hak tayangan di 80 hingga 100 panggung, memang susah. Jadi, perbincangan yang kami adakan itu diharap menjadi langkah pertama untuk filem ini mencipta lembaran baru dalam pengedaran filem arus perdana Malaysia di luar negara,”ῠkatanya ketika dihubungi Hip dari Pusan, Korea Selatan.
Lebih menggembirakan penerbit muda ini apabila pihaknya turut menerima tawaran mengadakan kerjasama dari segi penerbitan daripada syarikat Jepun, manakala seorang penggiat industri terkemuka dari Hong Kong pula menawarkan kerjasama dari segi penerbitan dan pembiayaan kepada KRU Studios.
“Kami sebuah syarikat perfileman yang baru berusia tiga tahun. Apabila tawaran sedemikian datang kepada kami, tentunya ia penghargaan cukup tinggi. Mereka tampak yakin dengan kemampuan KRU Studios dalam industri ini. Kami pula tentunya akan mengambil tindakan terbaik demi kemajuan dunia perfileman kita sendiri,” ujarnya.
Norman yang berada di Korea bersama Yusry sejak 3 Oktober turut memberitahu, tempias sambutan baik diterima di Pusan diharap dapat dirasakan juga di negara sendiri apabila filem itu memasuki panggung tidak lama lagi. Malah katanya, Cicakman 2 bukan hanya santapan mata buat penonton Melayu, ia sebaliknya turut mensasarkan penonton bukan Melayu untuk berhibur bersama filem itu.
“Elemen aksi yang lebih banyak dimuatkan dalam filem ini diharap menjadi umpan terbaik bagi menarik perhatian orang ramai ke panggung,” katanya yang meletakkan sasaran 70 skrin bagi filem terbabit, berbanding 37 pawagam untuk edisi pertama.
Produser itu juga berharap filem terbarunya itu dapat menarik kira-kira sejuta penonton ke panggung apabila ia membuka tayangan pada musim cuti sekolah nanti.
“Filem Cicakman berjaya mengumpul 670 ribu penonton ke pawagam apabila ia ditayangkan awal Disember 2006. Jadi, dengan salinan yang lebih banyak dan pengalaman pengedaran yang dikutip sebelum ini, kami berharap sejuta penonton akan datang menonton filem kedua ini.
“Kami sedar, persaingan ketika itu amat hebat (pada masa yang sama filem Antoo Fighter dan Los & Faun juga ditayangkan), namun kami tetap punya keyakinan. Ia satu angka yang tinggi, tetapi tidak mustahil boleh dicapai,” katanya.
Cicakman 2: Planet Hitam diterbitkan KRU Studios dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd. Ia membariskan pelakon asal filem terbabit seperti Saiful Apek, Aznil Hj Nawawi, Fasha Sandha, Yusry, AC Mizal dan Adlin Aman Ramlie. Memeriahkan lagi filem kedua ialah Tamara Bleszynski, Sharifah Amani, Louisa Chong, Linda Onn dan ramai lagi.
INFO: Cicakman Bajet: RM1.8 jutaJumlah skrin: 37Jumlah penonton: 670,000Kutipan: RM6.7 juta
Cicakman 2Bajet: RM2.5 jutaJumlah skrin (sasaran): 70 Jumlah penonton: 1,000,000
Berita Harian