Awal Tolak Tawaran Teater Impak Maksima
Teks oleh Thani Hasbullah
KUALA LUMPUR, 23 OKT 2008: Demi memberikan sepenuh perhatian kepada program Sehati Berdansa 2, pelakon dan pengacara kacak, Awal Ashaari tidak akan muncul dalam teater muzikal Impak Maksima The Series, arahan Ahmad Idham yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB), tidak lama lagi.
Semua ini gara-gara khuatir tidak dapat memberi komitmen secara total setelah menerima tanggungjawab mengendalikan Sehati Berdansa 2 yang sedang bermula.
“Saya sangat teruja kerana dipilih mengacarakan 3 episod dalam Sehati Berdansa iaitu Kenali Sehati Berdansa, Di Sebalik Sehati Berdansa dan Memori Sehati Berdansa.
“Saya mengganggap tawaran dalam ketiga-tiga program tersebut adalah kepercayaan terhadap saya. Dengan jadual kerja dan rakaman yang ketat, keputusan untuk tidak berlakon dalam teater Impak Maksima sudah saya buat.
“Jadi, kita semua masih menunggu siapakah yang akan menjadi Ayie kelak dalam teater itu,” katanya.
Filem Impak Maksima sebelum ini mengisahkan konflik serta pergolakan yang terpaksa dilalui oleh dua beradik yatim piatu, Johari (Eizlan) dan Ayie (Awal). Sebagai bekas pelumba kereta, Johari berpegang teguh kepada amanah arwah ibu bapanya untuk membesarkan Ayie yang sedang menuntut di kolej.
Ayie yang masih berdarah muda bagamanapun menyimpan minat yang mendalam dalam dunia permotoran sehingga menyebabkan hubungan dua beradik ini seringkali dilanda masalah.
Menerusi Sehati Berdansa 2, Awal akan beraksi dengan pengacara sensasi, Fahrin Ahmad dan Linda Onn.
Murai