Beyonce Gembira Sejak Bersuami
LOS ANGELES: Selepas mendiamkan diri selama beberapa bulan, penyanyi terkenal, Beyonce Knowles akhirnya membuka mulut mengenai statusnya sebagai isteri kepada penyanyi rap, Jay Z yang dikahwininya April lalu.
Media tempatan melaporkan semalam, dalam temubual terbarunya, penyanyi jelita itu mengakui yang beliau amat bahagia dan gembira dengan gelaran sebagai seorang isteri.
Namun, Beyonce yang dikenali sebagai bekas anggota ‘Destiny’s Child’ sebelum mengorak karier sebagai penyanyi solo, turut berkongsi bagaimana sukarnya untuk menyesuaikan diri sebagai wanita berkahwin.
“Ini adalah episod baru bagi diri ini. Saya takut tetapi gembira. Saya berasakan seperti menjadi seorang wanita baru,” katanya.
Beyonce turut mendedahkan yang suaminya memainkan peranan penting dalam usahanya melahirkan album baru tidak lama lagi.
“Saya gembira kerana album baru itu mempunyai banyak lagu yang memaparkan emosi diri ini,” katanya. - Agensi
Berita Harian