Fahrin, Linda Tolak Tepi Hal Peribadi


Teks oleh Thani Hasbullah

Pengacara rancangan Sehati Berdansa 2, Fahrin Ahmad, 29, dan Linda Onn, 31, menegaskan bahawa hal peribadi mereka sememangnya tidak boleh dicampuradukkan dalam hal kerja sekalipun hubungan intim mereka sudah terputus beberapa bulan.

Mereka seolah-olah sudah membuat persedian rapi untuk menghadapi pihak media sebelum menerima tawaran tersebut, apabila Fahrin dan Linda memberi jawapan yang hampir sama ketika diajukan soalan oleh wartawan.

“Kami malas untuk sensasikan cerita ini. Semuanya datang kerana untuk bekerja dan dibayar gaji. Ketika di lokasi, rakaman dan mesyuarat harus dilakukan dengan profesional dan hal di rumah harus diketepikan,” kata Linda dalam sidang media baru-baru ini.


Manakala Fahrin menjelaskan bahawa dirinya sudah letih untuk mengulas isu yang bukan daripada bidang kerjanya, malah menasihatkan pihak wartawan supaya tidak terus mengajukan soalan yang sama.

“Saya harus mengamalkan sikap profesional ketika bekerja. Soal peribadi sememangnya tidak boleh dicampuradukkan dalam hal-hal kerja. Saya sudah malas untuk mengulas isu-isu itu,” ujar Fahrin. 

Jelas terbukti Linda dan Fahrin semakin matang apabila memikul tugas sebagai hos Sehati Berdansa 2 selain Awal Ashaari. Ketiga-tiga mereka turut membantu menaikkan rating program itu.

Sehati Berdansa musim pertama juga telah menjadi program hiburan Astro yang paling banyak ditonton pada bulan Disember yang lalu.

Pada musim terbaru ini, 10 pasangan suami isteri di kalangan selebriti akan bertanding sesama mereka pada setiap minggu melalui irama cinta pada Malam Sehati Berdansa, bermula Sabtu ini, 25 Okt 2008. 

Mereka adalah pelakon Lisdawati & Fauzi Nawawi; Amyza Aznan & Khairil Izhar, Sabrina Ali & Mohamad Shahrin, Ani Maiyuni & Zairi Azmi, Ashed Def-Gab-C & Sharifah Noor Shima, peragawan Mazin Ameen Siraj & Ida Chairunisa P serta bintang bola sepak, Shahril Arsat & Noraini.

Tidak ketinggalan pasangan penyampai radio, Jamal Jamaludin & Noor Faridah, Khai & Rosma, serta bekas penyanyi Elite, Shasha Saidin & Salyo Priyanto.

 

 

 

Murai

Leave a Reply