Hakim Gugur Kes Spears


LOS ANGELES: Seorang hakim semalam menggugurkan kes penyanyi kontroversi, Britney Spears yang didakwa memandu tanpa lesen, selepas juri gagal mencapai sebarang keputusan muktamad manakala pendakwa enggan meneruskan perbicaraan semula.

Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles James A Steele menolak dakwaan kecuaian terhadap penyanyi itu selepas 12 juri gagal mencapai persetujuan berhubung kes terbabit.

Dakwaan itu berpunca daripada insiden Ogos 2007 apabila Britney didakwa merosakkan sebuah kenderaan yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta dan didapati tidak memiliki lesen memandu California.

Penyanyi berusia 26 tahun itu memiliki lesen memandu Lousiana dan berdaftar sebagai penduduk bandar ini ketika kejadian.

Dakwaan langgar lari ditolak selepas Britney membayar pampasan kepada pemandunya akibat kerosakan, namun dakwaan memandu tanpa lesen sah dikekalkan.

Britney memilih perbicaraan juri selepas menolak perjanjian pengakuan untuk menjalani tempoh percubaan setahun dan denda AS$150 (RM532) serta rekod jenayah.

Selepas lapan jam membuat keputusan kelmarin, juri masih buntu dengan undian 10-2 yang memihak kepada penyanyi itu.

Hakim berkata: “Juri menemui jalan buntu dan saya mengisytiharkan kesilapan perbicaraan.

Jika disabitkan, Britney berdepan dengan hukuman p enjara sehingga enam bulan dan denda AS$1,000 (RM3,547). - Agensi

Berita Harian

Leave a Reply