Ning, Vernon Akhirnya Berpisah Jua
Teks oleh Haswari Ali
KUALA LUMPUR, 24 OKT 2008: ”Sedih memang sedih, sebab dah 10 tahun kami kerja bersama, tapi saya hormati keputusan Ning,” kata Vernon Kedit-Jolly berhubung perpisahan dengan artis jagaannya, Ning Baizura Hamzah.
Vernon yang ditemui di majlis hari raya anjuran NSTP, di Hotel JW Marriot, di sini, sebentar tadi berkata tidak semudah itu dia akan melupakan Ning kerana selama ini susah senang mereka tempuhi bersama-sama.
“Walaupun Ning & Associates (N & A) dibubarkan semalam, secara peribadi, hubungan kami tidak akan terus terputus. Ia cuma dari segi profesionalisma sahaja,” kata Vernon kepada murai.com.my.
Semalam penyanyi Awan Terpilu itu mengumumkan pembubaran N & A yang dibinanya bersama Vernon yang juga bekas rakan kongsinya, sejak 2 tahun lalu. Pembubaran itu bermakna Ning tidak lagi bernaung di bawah N & A, sebaliknya akan menjalani segala hal berkaitan kerjaya seninya secara sendirian.
Dalam sidang media itu Ning berkata, dia turut menarik diri daripada di bawah naungan Artistes United Record (AUR) yang turut diuruskan bersama Vernon. Ning berkata artis lain yang berada di bawah naungan AUR iaitu Nikki, Yanie & Nubhan akan terus kekal bersama syarikat pengurusan itu.
Pada masa yang sama Ning akan meneruskan kerjaya nyanyiannya secara solo dengan ditemani suami , Omar Sharif.
Berikut adalah teks ucapan Ning sempena pembubaran N&A dan pengundurannya bersama AUR serta Vernon.
“Salam
Terlebih dahulu, saya minta maaf kalau saya kena refer pada nota saya, kerana ini bukan pekara yang mudah untuk saya lakukan.. Jadi dalam situasi ini saya nak pastikan yang saya tak merepek dan membuang masa semua orang hari ini.
Selama 16 tahun dalam bidang seni, saya telah lalui berbagai pengalaman, pahit manis, positive and negative. Alhamdullillah saya sentiasa bersyukur kerana dikurniai oleh Allah dengan bakat yang seadanya, kematangan, keyakinan, kekuatan dan keinginan untuk sentiasa menambahkan ilmu untuk terus berjaya dalam bidang yang sangat saya sayangi ini.
Saya amat berterima kasih kerana dapat melakukan semua itu dengan adanya seorang sahabat, abang, business partner dan pengurus seperti Vernon Kedit. Hasil dari segala tunjuk ajar, kasih sayang, semangat yang beliau berikan dan segala pengalaman yang kami timba bersama selama lapan tahun telah memberi saya kekuatan dan keyakinan untuk berdikari.
Dengan ini, saya dan Vernon telah bersepakat untuk membubarkan Ning & Associates yang kami sayangi demi memulakan episod baru dalam kerjaya kami masing-masing. Ning & Associates yang kami bina bersama akan sentiasa menjadi tanda kejayaan Vernon Kedit dan Ning Baizura.
Artistes United Records juga telah saya serahkan bulat-bulat kepada Vernon, dan sesungguhnya saya yakin artiste-artiste di bawah naungan label ini akan terus berjaya dengan segala bimbingan dan tunjuk ajar seorang yang berkaliber seperti Vernon. Tentunya mereka akan mendapat yang terbaik yang pernah saya sendiri peroleh bersama beliau dulu.
Saya percaya, di lubuk hati Vernon, beliau pasti berbangga dengan kekuatan, keberanian dan azam saya untuk menguruskan kerjaya saya sendiri mulai dari sekarang. Namun ini tidak bermakna kami tidak akan bekerjasama lagi kerana industri kita ini kecil and we will always support each other.
Dari itu, dengan secara rasmi, saya ingin mengumumkan bahawa mulai hari ini, saya mulakan tanggungjawab utama saya iaitu menguruskan dan mengendalikan show-show saya sendiri. Ini bererti, sesiapa yang ingin menjemput saya membuat persembahan, sila hubungi nombor; 012-**** *** atau email kepada ningbaizura@rocketmail.com.
Saya akhiri dengan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada pihak media, teman-teman rapat, dan tentunya Vernon yang selama ini sentiasa memberi saya semangat dan sokongan yang tidak putus-putus. Saya harap anda semua akan terus menyokong dan berdoa untuk kejayaan kami masing-masing”.
Murai