Archive for the ‘AC Mizal’ Category
Kutipan Cicakman 2 Tersasar
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Norman yakin boleh capai lebih RM3 juta sehingga akhir tayangan
SEHINGGA Ahad lalu, filem Cicakman 2: Planet Hitam (C2PH) arahan Yusry Abdul Halim, terbitan KRU Studios memungut RM2.5 juta hasil tayangannya di kira-kira 70 skrin di Malaysia, Brunei dan Singapura.
Pungutan berkenaan dikatakan agak tersasar daripada ramalan awal Produser Eksekutifnya, Norman Abdul Halim. Berdasarkan kejayaan yang dilakukan dua filem mereka terdahulu, Cicak-Man dan Duyung, sepatutnya filem terbaru itu juga mampu memungut sehingga RM4 juta dalam tempoh yang sama.
Cicak-Man yang menemui penonton pada Disember 2006 akhirnya memungut kira-kira RM6.7 juta. Ia muncul filem pertama Malaysia menampilkan watak adiwira dalam bentuk kelakar. Ia juga menampilkan kira-kira 41 peratus elemen CGI. Percubaan berani KRU menampilkan sesuatu yang berbeza menerusi filem sulung mereka itu cukup berbaloi apabila peminat berpusu-pusu ke pawagam untuk menonton garapan Yusry.
Manakala Duyung yang diterbitkan KRU Studios dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd (kini Primeworks Studios) dan Line Clear Motion Pictures menemui penonton pada Mac lalu. Filem arahan Prof Madya A Razak Mohaideen yang digarap dalam bentuk komedi dan fantasi itu turut mencuri perhatian penonton, sehingga membolehkannya memungut kira-kira RM5 juta.
Kini, KRU Studios berharap, C2PH dapat melepasi angka RM3 juta dengan baki tayangan yang tinggal beberapa hari lagi. Ketika ini, filem terbabit bersaing hebat merebut penonton bersama filem bercorak thriller terbitan Tayangan Unggul, Histeria, daripada pengarah James Lee.
Selepas lima hari, Histeria yang menampilkan ramai pelakon remaja perempuan itu sudah pun memungut RM1.1 juta hasil tayangan di 47 skrin.
Menyentuh pungutan C2PH yang boleh dikatakan perlahan berbanding filem KRU Studios yang lalu, Norman berkata, faktor saingan sesama filem tempatan serta kaitannya dengan Skim Wajib Tayang, sebagaimana yang diperkatakan oleh Afdlin Shauki sebelum ini mempunyai kebenarannya.
Malah, kata Norman, saingan utama masih lagi daripada filem besar dari Amerika Syarikat, yang berkebetulan membanjiri pawagam sesuai dengan musim perayaan. Bersaing bersama C2PH ialah filem mega lakonan Keanu Reeves, The Day the Earth Stood Still, yang memungut hampir RM4 juta sehingga 21 Disember lalu.
“Pada amnya, semua produser mengharapkan pungutan yang lebih baik bagi filem yang ditayangkan sepanjang tahun ini. Namun, apa yang dapat kita lihat, pungutan beberapa filem adalah di bawah jangkaan sebenar. Seperti C2PH sendiri, ia sepatutnya mampu mencatat kutipan lebih baik.
“Begitupun, pungutan sebanyak RM2.5 bukanlah bermakna filem terbitan kami gagal. Malah kami menjangkakan, ia mampu melepasi RM3 juta dalam masa terdekat,” katanya.
C2PH sekali lagi menampilkan Saiful Apek sebagai tunjang, memegang watak lelaki yang memiliki kuasa luar biasa setelah terbabit dalam insiden di sebuah makmal.
Kali ini, Profesor Klon (Aznil Nawawi) kembali, bukan hanya untuk menjatuhkan kerajaan, seterusnya mengangkat dirinya sebagai pemerintah, bahkan dia turut merancang untuk mengawal bekalan air bersih dunia menerusi rancangan Planet Hitamnya. Kini, Cicakman mempunyai 72 saja untuk menyelamatkan dunia sebelum segala-galanya terlambat.
Selain Apek dan Aznil, filem terbabit juga membariskan Fasha Sandha, AC Mizal, Adlin Aman Ramlie, Louisa Chong, Julia Ziegler, Sharifah Amani dan Tamara Bleszynski sebagai pelakonnya. Pengarahnya sendiri, Yusry, turut muncul buat kali kedua menerusi filem adiwira kesukaan ramai ini.
Berita Harian
‘Usah Pakai Baju Perang’
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my
TAK SESUAI…pakaian inilah yang menyebabkan Shafnie
ditegur hakim, semalam.
SHAH ALAM: “Jangan pakai baju seperti hendak pergi berperang jika datang ke mahkamah,” tegur Hakim Syarie, Saarani Ismail kepada Shafnie Zanuddin, 33, bekas isteri AC Mizal di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.
Saarani berkata demikian apabila Shafnie hadir ke mahkamah dengan memakai baju kemeja putih berjalur hitam dan vest kelabu serta seluar hitam.
Saarani turut menasihatkan peguam syarie supaya menegur sekiranya anak guam mereka memakai pakaian tidak sesuai ke mahkamah dan meminta menukarnya.
“Jika hendak masuk ke mahkamah ini, pakaian haruslah sesuai. Jika pakaian anak guam tidak sesuai, peguam kenalah tegur.
“Ini pakai baju di dalam dan di luar, nampak macam pakaian hendak pergi berperang.
“Ingatan kepada peguam, jika pakaian anak guam mereka tidak sesuai, tegur dan minta salin…sempat kerana kes ini mula jam 9 pagi dan ini bukan hendak pergi membuat penggambaran,” katanya.
Terdahulu, Saarani menetapkan 13 Januari tahun depan untuk keputusan notis bantahan awal dikemukakan AC Mizal terhadap permohonan bekas isterinya untuk memenjarakannya selepas gagal mematuhi perintah Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat 22 Disember 2004 membayar tunggakan nafkah anaknya Muhammad Shafiq Iman, 12, dan Muhammad Shabil Iman, 9, RM50,000.
Ini berikutan, AC Mizal atau nama sebenar Mizal Zaini, 37, dan peguamnya Siti Aishah Din tidak hadir ke mahkamah, semalam.
Selain itu, Saarani menegur tindakan Siti Aishah berikutan memfailkan afidavit bantahan awal itu melalui faksimili yang diterimanya tiga hari lalu.
Peguam Azmi Mohd Rais yang mewakili Shafnie mendakwa tindakan Siti Aishah tidak profesional dan sepatutnya memfailkan afidavit secara teratur ke mahkamah.
Berikutan itu, Azmi meminta mahkamah menangguhkan untuk keputusan itu dan meminta kehadiran anak guamnya ditanggung dengan kos.
Menurutnya, pihaknya menerima surat Siti Aishah pada Isnin lalu yang menyatakan dia akan bertolak pulang dari Perlis, semalam kerana mempunyai urusan kerja di negeri berkenaan.
Justeru, Saarani membenarkan permohonan Azmi dan bersetuju kehadiran Shafnie akan ditanggung dengan kos yang akan ditaksir melalui pendaftar mahkamah.
Sementara itu, Shafnie dilihat hadir di mahkamah kira-kira jam 9 pagi, manakala kelibat AC Mizal tidak kelihatan sehingga kesnya disebut kira-kira jam 11.00 pagi.
Harian Metro