Archive for the ‘Aaron Aziz’ Category
Lebih Banyak Drama Bermutu Di Astro
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

DEMI kepuasan penonton, Astro menggandakan slot jam
penyiaran drama dari 250 ke 500 jam tahun hadapan.
Stesen TV berbayar ini mengalu-alukan syarikat penerbitan tempatan menjadi pembekal telefilem kepada mereka
TIDAK dapat dinafikan sejak memulakan kempennya awal tahun ini, Astro Megadrama terus menjadi pilihan penonton setia stesen televisyen berbayar itu untuk menyaksikan lebih banyak drama bersiri dan telefilem terbitan produksi tempatan.
Semua drama bersiri itu adalah produk yang menjadi tarikan utama apabila jumlah penontonnya yang semakin bertambah pada saban tahun. Sebagai contoh, untuk tahun 2007, drama Durani berjaya mencapai angka 500 ribu penonton, manakala tahun ini pula, drama yang menggabungkan pelakon generasi baru dan lama seperti Scha Yahya, Nasha Aziz, Remy Ishak dan Hans Isaac berjudul Awan Dania menduduki senarai teratas apabila mencecah rating 700 ribu penonton.
Bukan itu saja, menerusi kempen itu juga saluran Astro ceria juga mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya memiliki drama mereka sendiri yang menjurus kepada kanak-kanak seperti Hikayat Putera Shazlan, Geng Bas Sekolah dan terbaru, Kapten Boleh.
Perkara ini didedahkan sendiri Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah pada majlis sidang media pelancaran Astro Megadrama 2009 di GSC Signature, The Gardens baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, Pengurus saluran Ceria, Azlin Reza Azmi dan Pengurus saluran Prima, Nizam Sani.

ZAINIR (dua dari kanan) bersama pelakon dan orang kuat syarikat produksi.
Sehubungan itu, bagi memenuhi kehendak penontonnya itu, Astro turut mengatur strategi baru yang secara tidak langsung menguntungkan banyak pihak.
“Untuk kempen ini pada tahun depan, kami akan menggandakan slot jam penyiaran drama bersiri dan telefilem untuk empat saluran dari 250 jam menjadi 500 jam.
“Bagaimanapun untuk tahun depan, kami akan menumpukan perhatian kepada penerbitan telefilem berbanding drama bersiri. Ini dilakukan kerana setakat ini jumlah drama bersiri yang kami terima masih boleh menampung keperluan sampai tahun 2010.
“Jadi kepada mana-mana syarikat produksi yang ingin menghantar kertas kerja bolehlah memfokuskan kepada penerbitan telefilem,”cadang Zainir.
Zainir juga bersetuju mengatakan penambahan ini juga bertujuan untuk mengurangkan elemen ulang siar drama mereka seperti yang berlaku sebelum ini.
“Namun ini bukanlah bererti yang kami akan menghapuskan polisi mengulang kembali drama yang pernah ditayangkan. Saban tahun, bilangan pelanggan baru kami akan bertambah.
“Jadi apabila kami melaksanakan polisi ini, secara tidak langsung kami memberi peluang kepada pelanggan baru kami menonton kembali drama yang pernah disiarkan di stesen kami suatu waktu dulu,” jelas Zainir.
Bagi memastikan produk yang disiarkan di stesen mereka terpelihara mutunya, beliau berkata mereka memerlukan banyak idea kreatif.
“Maka sebab itu kami turut membuka peluang kepada syarikat produksi baru supaya turut sama menghantar produk mereka untuk dinilai. Walaupun kami tahu perkara itu mungkin mengundang risiko namun kalau kita tidak beri mereka peluang sekarang, macam mana hendak mencari pelapis pada masa depan.
“Namun pada masa yang sama, kita tetap buka peluang itu kepada mereka yang berpengalaman. Akan tetapi, penilaian untuk mereka ini agak ketat berdasarkan pengalaman yang mereka miliki,” jelas Zainir sambil menegaskan mereka tidak akan berkompromi kepada mana-mana syarikat produksi yang mengambil sikap tangkap muat untuk drama terbitan mereka.
Ditanya apakah mereka pernah menghadapi situasi sedemikian, Zainir berkata jika adapun kebanyakannya berpunca daripada skrip yang tidak sesuai.
“Jika kita menolak skrip yang dibentangkan oleh sesebuah rumah produksi itu, kita tidak menolaknya mentah-mentah. Sebaliknya, kita akan menerangkan kepada mereka di manakah kesilapan dan kekurangan skrip berkenaan.
“Dari segi teknikal, kami lihat perkara itu semakin berkurangan dan saya percaya kebanyakan pengarah hari ini semakin kreatif dalam menghasilkan produk mereka,”pujinya.
Drama pertama Aaron Aziz tayang Februari
MENEPATI janji yang pernah dilafazkan sebelum ini, pembuka tirai Astro Megadrama 2009 bakal menyiarkan empat drama menarik dan menghiburkan. Bakal disiarkan di saluran Prima, empat drama itu adalah 2 Kali Aku Menyintaimu, Delima, Kasut Tumit Tinggi dan Cinta Gila.
Walaupun sekadar menonton drama itu, tidak mustahil semuanya mampu memikat hati penggemar drama tempatan di stesen TV berkenaan.
Malah, bagi mereka yang selama ini ternanti-nanti lakonan wajah eksklusif Astro, Aaron Aziz, peluang itu terbuka luas menjelang Februari depan apabila drama bersiri lakonannya bersama Rita Rudaini, bakal menemui khalayak.
Tetamu yang hadir petang itu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis terkenal yang menyampaikan lagu tema untuk empat drama terbabit. Mereka adalah Amy Mastura, Nadia AF6, Alif OIAM dan Ebi.
Berita Harian
Drama Melayu 477 Jam
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap
WALAUPUN kebanyakan stesen televisyen mengurangkan perbelanjaan bagi menghadapi kemerosotan ekonomi pada 2009, Astro tetap menambah jumlah waktu tayangan drama Melayu di empat salurannya iaitu Ria, Prima, Oasis dan Ceria.
Pengumuman itu dibuat Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah di majlis sidang media pelancaran Megadrama yang diadakan baru-baru ini.
Katanya, sepanjang 2009, 477 jam waktu tayangan drama Melayu diperuntukkan berbanding tahun ini, 256 jam.
Berita ini pastinya disambut baik semua penggiat seni tempatan termasuk penerbit, pengarah, pelakon dan penulis skrip.
“Kami tidak berasakan kemelesetan ekonomi yang sudah mula dirasai ramai pihak mempengaruhi perbelanjaan Astro untuk mempertingkatkan mutu rancangan pada empat saluran berbahasa Melayu ini dengan membeli drama terbaik dihasilkan produksi tempatan.
“Saya turut mengharapkan situasi yang berlaku akan memberi kelebihan apabila kebanyakan daripada kita akan mengambil langkah berjimat-cermat dengan mencari bahan hiburan di dalam rumah.
“Kami turut percaya situasi yang membimbangkan ini akan membuatkan kebanyakan daripada kita lebih senang duduk di rumah dan menonton televisyen.
“Astro sendiri tidak bimbang untuk berbelanja lebih kerana menerusi statistik diperoleh menunjukkan jumlah penonton yang menyaksikan drama tempatan di empat saluran ini semakin meningkat.
“Mengambil contoh drama bersiri disiarkan Astro Ria sebelum ini seperti Graduan hanya ditonton sekitar 300,000 orang tetapi Awan Dania yang sedang ditayangkan sekarang, penontonnya meningkat kepada 700,000 setiap minggu,” katanya.
Astro juga tidak akan mengurangkan jumlah pembelian drama daripada produksi tempatan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada mutu karya dihasilkan penerbit dan pengarah.
“Hendak diikutkan memang jumlah pembelian tidak tinggi kerana selalunya drama dihasilkan tidak memerlukan kos besar. Kami melihat kepada latar drama itu sendiri kalau lokasinya digunakan menggambarkan zaman sekarang sudah tentu tidak banyak belanja dikeluarkan.
“Begitu juga seperti sistem yang kami gunakan sebelum ini. Produser diminta datang dan berbincang bersama pihak pengurusan rangkaian terlebih dulu bagi membolehkan kami menilai secara keseluruhan drama mahu dihasilkan.
“Sekiranya ia memerlukan belanja lebih kami akan bantu. Mengambil contoh, jika jalan cerita drama terbabit memerlukan teknik kesan khas atau imej penjanaan komputer (CGI) sudah tentu modalnya lebih besar. Kami menilai karya mahu dibeli dari sudut itu,” katanya.
Zainir turut menegaskan, kali ini Astro mencari lebih banyak drama berbentuk telefilem berbanding bersiri. Ini kerana katanya, nisbah drama bersiri disiarkan di kebanyakan saluran yang ada tidak seimbang.
Menyentuh mengenai drama sedia ada yang sering diulang tayang, kata Zainir perkara itu tetap akan dilakukan kerana setiap tahun mereka mempunyai hampir 250,000 pelanggan baru.
“Penonton sebelum ini memang sudah menonton apa yang kami tayang, tetapi tidak bagi pelanggan baru, jadi perkara ini kalau boleh kami cuba seimbangkan. Begitu juga dengan penonton sedia ada.
“Selalunya drama kami mula ditayangkan pada waktu petang, ada yang tidak berkesempatan menontonnya boleh menyaksikan drama itu pada jam 9 malam. Pada kami kalau boleh biar semua penonton berpeluang menyaksikan drama yang kami persembahkan,” katanya lagi.
Pada majlis itu Astro Megadrama mengumumkan empat drama bersiri baru yang menemui penonton bermula pertengahan Disember hingga pertengahan tahun hadapan.
Antaranya, Dua Kali Aku Mencintaimu menampilkan pelakon seperti Tony Eusoff, Fatin Nuratika dan Ebi AF5; Delima dibintangi Ezany Nizarif, Dhira Abu Zahar, Liza Abdullah, Noniswara dan Khairil Anwar.
Dua lagi drama bersiri yang ditayangkan sepanjang kempen Megadrama ini Kasut Tumit Tinggi menampilkan pelakon popular dan terbaik seperti Nanu Baharudin, Norish Karman, Amy Mastura dan Juliana Evens manakala Cinta Gila mengetengahkan gandingan dua pelakon sedang hangat namanya iaitu Aaron Aziz dan Rita Rudaini. Semua drama ini akan ditayangkan di saluran Astro Prima.
Harian Metro