Archive for the ‘Abby Abadi’ Category
Vie Zaraa Penyeri Hidup
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Kehadiran anak sulung menguatkan kebahagiaan Eizlan Yusof dan Vie Shanti
KEHIDUPAN rumah tangga pelakon, penerbit eksekutif dan ahli perniagaan, Eizlan Yusof, 37, dan isteri, Vie Shanti Haroon Khan, 22, cukup membahagiakan dengan kehadiran anak sulung mereka, Vie Zaraa.
Pada Sabtu ini, usia Zaraa genap lapan bulan. Kecomelan Zaraa yang diwarisi ibu bapanya, menambat minat ramai pihak yang ingin mengabadikan gambar dengannya.
Zaraa ibarat hadiah yang cukup bermakna dalam hidup mereka, biarpun akui Eizlan dia tidak menyangka dengan faktor usianya yang agak lanjut, dia mampu mendapatkan anak sulung ini dengan cepat. Berkahwin dengan isteri yang muda juga tidak menjadi masalah kepadanya, tambahan pula, isterinya cepat matang daripada usia sebenar.
Mengenai anak kedua, mereka ada merancang dan tidak pernah putus berusaha biarpun isterinya pernah mengalami saat getir apabila mengalami keguguran beberapa bulan lalu. Untuk tatapan peminat setia Eizlan, Hip paparkan gambar percutian bersama keluarga di Genting Highlands, baru-baru ini.
“Jangan tak tahu, Zaraa pun diminati ramai orang dan rezekinya luas. Kalau kami bawa dia berjalan-jalan, pasti dia akan menjadi tumpuan ramai terutamanya pelancong luar yang akan mengambil kesempatan bergambar dengannya. Kami masih merancang untuk mendapatkan adik buat Zaraa, ada rezeki, insya-Allah.
“Saya bersyukur mendapat isteri yang sangat memahami dan dia bijak menyesuaikan diri dengan situasi. Biarpun dia dilihat muda, saya tak pernah rasakan dia bersifat kebudak-budakan. Sekarang dia memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai suri rumah dan sesekali dia masih melakukan peragaan. Saya kena sporting dengan bidang yang diminatinya, selagi dia pandai menjaga diri dan memelihara maruah keluarga,” katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.
Baru saja selesai penggambaran filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly, Eizlan memegang watak sebagai Datuk Hisham di samping pelakon Maya Karin, Fazura dan Aaron Aziz.
Pada Ramadan lalu, Hip ternampak kelibat Eizlan dengan imej beruban di samping keluarganya berbuka puasa di sebuah premis makanan di KLCC. Rupa-rupanya, selain semula jadi berambut putih, Eizlan juga mengekalkannya atas permintaan Bernard demi tuntutan watak.
Sibuk kembangkan dunia perniagaan

GAMBAR kenangan sewaktu majlis pernikahan mereka di Kota Kinabalu, Sabah, pada Julai 2007.
Selain bergelar pelakon sejak 25 Oktober 1994, umum sedar bahawa Eizlan juga seorang penerbit eksekutif secara bebas dan baru saja menyiapkan sebuah skrip untuk sebuah telefilem di RTM berjudul Kalif. Pada masa sama, Eizlan bersama rakan kongsinya, Abdul Munaf Sultan yang juga anak kepada pengasas syarikat Agate menjalankan perniagaan arang batu.
“Mungkin orang ingat saya bekerja tetap sebagai penerbit kreatif di Pena Creatives Sdn Bhd sebelum ini hakikatnya saya tidak terikat dengan mana-mana syarikat dan bebas menerima tawaran. Selepas Pena Creatives, saya kerja di Fame Attraction, Gama Taktik dan bekerjasama dengan Ahmad Idham di bawah syarikat Excellent Pictures.
“Perniagaan itu dijalankan sejak hampir setahun di Jakarta dan Kalimantan Selatan di bawah syarikat Black Stone Dagangan. Kalau tidak terikat dengan penggambaran, saya akan ulang-alik ke sana untuk menguruskannya.
“Insya-Allah, kami akan mengembangkan perniagaan itu bersempena 2009 yang bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya yang bakal bergandingan dengan Abby Abadi dalam telefilem berjudul Air Mata Buaya.
Menurut Eizlan lagi, resolusi 2009 bagi dirinya ialah untuk sifar hutang dalam setiap apa yang dilakukan.
Masih tegar berjuang sebagai pelakon, Eizlan sedar dan menyambut baik kemunculan bakat baru yang bakal mewarnai persada seni.
Katanya, istilah ‘double standard’ atau pilih kasih sering berlaku, namun, semua di luar bidang kuasanya. Tambahnya lagi, penerbit drama atau filem pun akan mencari muka baru dan segar demi keuntungan atau mencari angin baru.
Apa terjadi kelibat pelakon senior yang berpengalaman masih diperlukan di dalam industri dan menurut Eizlan, Rosyam Nor adalah contoh terbaik yang masih diterima dan diberi peluang memegang watak hero.
“Saya melihat apa yang terjadi ini dari sudut pandangan positif, ia sebagai proses peralihan yang pasti berlaku seiring dengan peningkatan umur. Bagaimanapun, kelebihan yang ada kepada pelakon lama dalam aspek pengalaman dan kemahiran berbanding pelakon baru yang baru saja menapak. Macam Rosyam, dia masih unggul sebab prestasi lakonannya dianggap luar biasa.
“Kalau dilihat senario di luar negara, makin lama pelakon itu berada di dalam industri, maka semakin hebat dan unggul namanya. Ia berbeza dengan negara kita tapi sebagai penggiat seni, saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan bakat baru yang bakal menyemarakkan lagi generasi terdahulu,” katanya yang berkahwin dengan Vie Shanti pada 7 Julai 2007.
PROFIL: Eizlan Yusof
Tarikh Lahir: 14 Jun 1971
Asal: Kampung Baru, Kuala Lumpur
Tinggi: 180 sentimeter
Berat: 78 kilogram
Adik Beradik: Anak kedua daripada lima beradik
Status: Berkahwin
Isteri: Vie Shantie Haroon Khan
Tarikh Lahir: 27 Julai 1986
Kerjaya: Penerbit Eksekutif, pelakon dan model
Drama: Pembunuh Upahan, Sebesar Zarah, Senafas Takbir terakhir, Cik Mala Janda Berhias, Cikgu Rozie, Jaguh-Jaguh
Filem: Lurah Dendam, Panas, Perempuan Melayu Terakhir, Black Maria,Panas, Cahaya Cinta, Cinta, Impak Maksima, Pisau Cukur.
Berita Harian
Berita Cerai Gemparkan Peminat
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap
MELIHAT senario artis bercerai sepanjang 2008 cukup menakutkan. Dihitung secara keseluruhan hampir 18 artis tidak kira pelakon, penyanyi mahupun pengacara televisyen disahkan berpisah dengan pasangan masing-masing atau permohonan mereka masih dibicarakan di mahkamah syariah.
Lebih menyedihkan perkahwinan pasangan artis ini ada antaranya tidak sampai setahun pun usianya. Hal ini menimbulkan persoalan apakah benar hidup bersama orang popular tidak akan menjanjikan kebahagiaan atau perceraian mereka ini menjadi gambaran kepada masalah semakin meruncing dalam institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat tempatan sekarang?
Untuk menyenaraikan satu persatu perceraian artis yang berlaku dalam ruangan ini sepanjang 2008 mungkin tidak mencukupi kerana jumlah mereka terbabit terlalu ramai.
Untuk itu Rap menyenaraikan 10 perceraian artis mengikut susunan berdasarkan peristiwa yang dianggap mampu memberikan pengajaran kepada semua. Malah ada kes perceraian membabitkan artis ini agak pelik dan tidak kurang kontroversinya, terutama membabitkan punca ia berlaku.
Pastinya sepanjang 2008, perceraian antara dua pelakon popular Mohamed Norhakim Zaidon, 32, atau
Norman Hakim dan Arbaiyah Abdul Manan, 30, atau Abby Abadi paling menjadi perhatian kerana ia berlaku penuh drama dan puncanya pula agak mengaibkan.
Segalanya bermula apabila Norman ditangkap basah bersama pelakon muda, Memey Suhaiza, 20, yang juga anak saudara dramatis Darling Ngasri.
Bagaimanapun, kes itu belum dibicarakan di mahkamah.
Dalam diam masalah rumah tangga Norman dan Abby sebenarnya sudah berlanjutan sebelum ini apabila pelakon utama filem dan drama Pasrah itu dilaporkan tidak pulang ke rumah hampir lapan bulan. Malah sewaktu Abby melahirkan anak ketiga mereka, Norman tiada di sisi.
Norman turut dikatakan sudah lama menjalinkan hubungan dengan Memey tanpa pengetahuan Abby dan beberapa hari selepas mereka ditangkap basah, Abby mohon cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Ia disahkan 18 Disember lalu selepas Norman melafazkan cerai terhadap Abby di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammed.
Isu perpisahan atau perceraian Aziz M Osman, 44, dengan isteri barunya, iaitu seorang ustazah dari Kuala Terengganu, Nor Radhiah Ramli, 22, yang dinikahinya pada 16 Ogos lalu membuatkan ramai pihak terkejut.
Sebelum ini, tanpa diketahui pihak media mereka dikatakan bahagia selepas mendirikan rumah tangga dan pernikahan itu atas restu keluarga kedua-dua belah pihak. Bagaimanapun, tidak sampai tiga bulan hidup berumah tangga, mereka diberitakan sudah bercerai.
Punca perceraian ini dikatakan kerana Nor Radhiah masih dalam edah selepas bercerai dengan suami terdahulu, sementara guru agama itu tampil memberitahu Harian Metro dan menyatakan perkahwinannya dengan suami terdahulu tidak sah.
Selain masalah yang agak rumit dalam perkahwinan kedua Aziz ini, ada pihak mendakwa pengarah terkenal itu berasa tertipu oleh isterinya kerana tidak tahu yang Nor Radhiah pernah berkahwin sebelum ini hingga bekas suami ustazah itu sendiri memberitahunya.
Perceraian berlaku antara pelakon muda semakin mencipta nama, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 28, atau Beego dan bekas isterinya, Intan Shahira Mohd Shahru, 27, cukup panas apabila persengketaan antara mereka turut dibawa ketika kes dibicarakan.
Sebelum itu Intan memfailkan permohonan cerai kerana berasakan suaminya tidak bertanggungjawab, panas baran dan terlalu mengongkong serta disebabkan perkahwinan itu dia berhutang dengan bank, selain wang simpanannya habis.
Pelbagai tuduhan yang memburukkan kedua-dua belah pihak dilemparkan di mahkamah sehingga menjadi perhatian wakil media dan peminat. Dalam kenyataannya Intan berkata dia bimbang untuk berkahwin dengan Beego sebelum perkahwinan itu dilangsungkan tetapi ia terpaksa diteruskan kerana tidak mahu menanggung malu.
Intan mendedahkan Beego dianggap tidak bertanggungjawab sehingga dia terpaksa menggunakan wang sendiri, selain berhutang dengan bank untuk majlis perkahwinan mereka.
Beego yang didakwa suka berfoya-foya selepas berkahwin dan tidak mahu berubah dikatakan menjadi punca utama perceraian mereka.
Pertengahan Ogos lalu Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan lafaz cerai diucapkan suami pelakon sitkom komedi Puteri, Nora Mohd Danish Hanif, 26, atau Nora Danish pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua.
Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail membuat keputusan itu selepas mengesahkan dua lafaz talak oleh suami Nora, Rizal Ashram Ramli, 32, berbunyi ‘I ceraikan you’ pada Februari dan ‘Saya ceraikan awak’ pada Jun lalu sebagai sah.
Menariknya perceraian ini berlaku sewaktu Nora disahkan mengandung tiga bulan dan kerana itu talak hanya jatuh apabila bayi dalam kandungan dilahirkan.
Usia perkahwinan Nora juga tidak panjang, hanya dalam beberapa bulan dan pelakon terkenal Fasha Sandha dikatakan menjadi punca apabila sebelum itu didakwa cuba bermain mata dengan Rizal.
Bagaimanapun, apabila bercerai, kedua-dua pihak menafikan wujudnya orang ketiga dalam perceraian mereka.
Perceraian menerusi SMS yang sering berlaku kebelakangan ini turut terjadi kepada pelakon Nasrizal Ngasri, 28, atau Bell apabila lafaz yang dinyatakan kepada bekas isterinya, Nur Farhana Mahamad Fauri atau Sasha disahkan Mahkamah Rendah Syariah.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Bell berkata SMS dihantar pada jam 3 petang, 22 Oktober lalu, dengan berkata: ‘Aku ceraikan kau. Thank You (terima kasih). Selamat berjaya.’ dibuat tanpa niat. Namun, ibarat kata pepatah terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata bawa binasa.
Desas-desus mengenai krisis rumah tangga pelakon Norish Karman atau nama sebenarnya Nor’ Ashikin Karman dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, terjawab apabila kes permohonan cerai mereka dikesan media apabila ia tersenarai di Dewan Sulh Mahkamah Rendah Syariah.
Pelbagai dakwaan dan cerita panas turut timbul sepanjang kontroversi perceraian Norish dan bekas suaminya. Ada pihak mendakwa Norish menuntut cerai kerana suaminya tidak lagi ‘berduit’ seperti dulu dan tidak kurang hubungan rapatnya dengan abang kepada penyanyi dan pelakon popular, Faradhiya menjadi faktor penyumbang. Bagaimanapun, kes perceraian mereka akhirnya berjalan dengan baik dan aman.
Tahun lalu gempar apabila penyanyi Azharina dikatakan bernikah dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Kelantan yang hanya dikenali dengan nama Datuk S. Hanya sekeping gambar mereka diijabkabulkan di dalam bilik hotel dan diedarkan di Internet menjadi bukti.
Pertengahan tahun ini Azharina mengakui sudah berpisah dengan suaminya tetapi enggan komen lanjut mengenai puncanya. Penyanyi berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu juga menegaskan hubungannya dengan bekas suami masih baik hingga kini.
Teka-teki mengenai status perkahwinan pelakon drama popular, Jasmin Hamid dengan Ian Rashid Macquistan, 35, terlerai apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini, mengesahkan perceraian pasangan itu pada 4 Februari lalu. Menurut sumber, Jasmin atau nama sebenarnya, Jasmiah Abd Rashid, 33, memfailkan cerai taklik ke atas suaminya di mahkamah itu pada 25 Januari lalu.
Selepas setahun dua minggu mendirikan rumah tangga penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 28 disahkan bercerai dengan bekas suaminya, seorang pakar respiratori, Dr Fariz Yahya, 30, dengan alasan sudah tidak lagi mempunyai persefahaman antara mereka. Bagaimanapun, perceraian mereka berlaku dengan cara baik
Penyanyi popular 1980-an, Siti Fairus Sheikh Mohamed atau Siti Fairuz disahkan bercerai dengan suaminya Mohamad Zainuddin Kordi, 45 pada 30 Mac lalu selepas Hakim Syarie, Jamil Ahmad mendapati kenyataan diberikan Zainuddin ‘kalau you nyanyi lagi, jatuh talak’ pada 1993 mempunyai niat untuk menceraikan isterinya. Namun punca sebenar perceraian ini adalah bekas suami Siti Fairus dikatakan mahu mengahwini wanita lain.
Harian Metro