Archive for the ‘Acha Septriasa’ Category

Dengarnya…: Perihal Acha Septriasa


SEDANG Cik Normah ralit menghirup udara segar pagi Ahad lalu, kawan Cik Normah yang suka bagi cerita gossip, Donna Marcella berkongsi cerita lagi tapi kali ini mengenai bintang Indonesia, Acha Septriasa yang sedang belajar di sebuah universiti di Malaysia. Diakui memang susah untuk mendapatkan pelakon cantik ini untuk sesi temu bual atau fotografi.

Dulu pernah sekali kawan Cik Normah berjaya mendapatkan Acha digandingkan dengan Dafi yang turut belajar di tempat yang sama. Fotografi bersama mereka menjadi penghias muka pertama Hip sewaktu akhbar Berita Harian bersaiz kompak.

Selepas itu, nak dapatkan Acha lagi, yang ‘ado’lah jawabnya. Cik Normah dapat tahu, kawan daripada penerbitan lain pun ibarat tunggu sampai berjanggut nak dapatkan dia. Dalam susah untuk mendapatkannya ke sesi fotografi, Donna beritahu boleh pula Acha dilihat di pusat membeli belah. Tapi bab itu Cik Normah tak boleh kata apa, hak Achalah nak melepak dengan kawan-kawannya.

Sudahlah susah nak kasi nombor telefon bimbit miliknya, lalu ia menyukarkan wartawan untuk berhubung dengannya kerana ingin mendapatkan kisah terbaru termasuk berhubung kisah mengaitkan dirinya dengan Pasha (vokalis Ungu). Entahlah Cik Normah tak faham dengan Acha, budaknya baik tapi nak minta nombor telefon pun susah amat.

Sebenarnya Cik Normah tak kisah sangat pasal Acha. Bukan dia saja artis Indonesia yang datang dan balik di Malaysia. Boleh kata, hampir setiap bulan ada saja artis Indonesia datang ke Kuala Lumpur. Lagipun Cik Normah faham Acha datang ke Malaysia nak menuntut ilmu. Tapi Acha kena ingat dia harus mempromosikan lagu baru seperti Cinta Bertahan bersama syarikat naungannya, Warner Music. Donna beritahu, syarikat rakaman itu sendiri pun susah nak dapatkan Acha kerana difahamkan Acha dijaga oleh seorang wanita yang turut menguruskan sebuah kumpulan popular di negara kita.

Iyerlah, dalam hal macam ini, orang media tak susah hati pun kalau tak buat cerita pasal lagu baru Acha. Siapalah sangat Acha Septriasa tu. Bukan nama besar pun. Mungkin kakitangan Warner Music saja yang mungkin makan hati dengan karenah dia.

Berita Harian

Kiky, Dimas Lebar Kerjaya


Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
MESKIPUN bukan di hotel seperti tahun sebelumnya, majlis pelancaran wajah baru Lord’s Tailor dan ulang tahun ke-34 butik berkenaan, di Bangsar Shopping Centre, Khamis lalu, berlangsung dalam suasana cukup meriah.

Tambah menarik, dua bintang muda dari Indonesia iaitu, Moch Rizky Dradjat Martha (Kiky), 25 dan Dimas Kahlil Sudoyo Beck, 20, diterbangkan khas untuk menjayakan majlis yang disertai 23 selebriti popular tanah air termasuk peragawan terkenal tempatan.

Lebih daripada sebuah kunjungan, Kiky dan Dimas mengharapkan kehadiran mereka tidak berakhir setakat itu saja sebaliknya memasang impian untuk melebarkan kerjaya seni mereka di negara yang indah ini.

Kiky yang kali pertama mengunjungi Malaysia sewaktu menghadiri majlis persandingan Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari baru-baru ini, berbesar hati menerima pelawaan daripada Lord’s Tailor itu kerana kedatangannya kali ini menitipkan pengalaman cukup bermakna.

“Tujuan asal saya datang ke sini untuk memenuhi pelawaan Lord’s Tailor namun, saya dan Dimas sangat gembira kerana penganjur memperkenalkan kami kepada media di Malaysia. Sejak kedatangan tempoh hari jadual kami padat dengan sesi temubual dan fotografi.

“Justeru, kami berdua mengharapkan lanjutan kerjasama itu menjadi titik permulaan untuk kami melebarkan bakat di negara ini seterusnya diterima masyarakat di sini,” katanya

Mula diperkenalkan menerusi drama Doo Bee Doo dua tahun lalu, wajah jejaka kacukan Boston, Amerika Syarikat (sebelah bapa) dan Bandung, Indonesia (ibu), dapat disaksikan menerusi drama bersiri Olivia yang masih bersiaran di RTM2.

Selain berlakon, Kiky turut dikenali sebagai pengacara dan program kendaliannya, Dahsyat antara program muzik paling berjaya di Indonesia. Konsep program ini ternyata amat bersesuaian dengan jiwa Kiky yang meminati bidang nyanyian.

“Pada 2006 saya terbabit dalam kompilasi yang menampilkan 10 artis dari Indonesia. Sejak itu saya menyimpan hasrat untuk mempunyai album. Kecenderungan saya pada muzik R&B.

“Namun, jika diberi peluang mencuba nasib di Malaysia saya mahu membina nama sebagai pelakon bahkan tidak menolak seandainya ada pihak menawarkan peluang menjadi penyanyi atau hos,” katanya.

Sementara Dimas, menjadikan kejayaan Acha Septriasa, Irwansyah termasuk teman baiknya Afgan sebagai pemangkin untuk mencipta nama di negara ini.

“Daripada reaksi Afgan bercerita mengenai pengalamannya mengunjungi negara ini tempoh hari sudah cukup membuatkan saya tertarik dan teruja untuk datang ke Malaysia.

“Pun begitu, saya tidak tahu bagaimanakah cara untuk memasuki pasaran Malaysia kerana tiada kenalan terbabit dalam bidang seni.

“Namun hasrat saya bagai dimakbulkan Tuhan apabila pengurus saya bertemu Bill Bora yang mengunjungi Jakarta bersama Diana Danielle baru-baru ini. Lantas diundang untuk menjayakan majlis pelancaran ini.

“Selain memenuhi undangan fotografi saya juga menggunakan kesempatan ini untuk mempromosikan single pertama iaitu Ada Kamu yang sudah pun diputarkan di kebanyakan radio Indonesia.

“Saya berharap, pendengar negara ini menyukai lagu saya sekali gus menerima kedatangan saya di negara ini,” katanya.

Selain Kiky dan Dimas, majlis eksklusif itu turut dijayakan selebriti terkenal tempatan seperti Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Nazril Idrus, Dafi, Tony Eusoff, Syawal, John (Project Superstar) dan Andrew Tan (One In A Million).

Tidak melupakan tanggungjawab memperkenalkan artis baru, Lord’s Tailor turut memberi peluang kepada bintang muda seperti, Fizow yang melonjak menerusi drama Puteri Salju, Ashraf Muslim, Isam Idrys, Adam AF3, Aaron Aziz dan Owen Yap (personaliti ntv7) termasuk model tempatan, Aman, Azli dan Riz Ainuddin untuk memperagakan sut jenama itu.

Manakala, Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi yang menerima anugerah Powerful Women dan Powerful Men termasuk Diana Danielle diberi penghormatan merasmikan pembukaan sempena wajah baru Lord’s Tailor berserta ulang tahun ke-34 butik itu.

Memeriahkan lagi pelancaran itu ialah Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun dan Pengurus Besar Perisian & Industri Primeworks Studio, Azhar Borhan.

Pengarah dan Jualan Lord’s Tailor, Loh Lee Lee, berkata, selain meraikan majlis pelancaran sempena wajah baru Lord’s Tailor beserta ulang tahun ke-34 butik berkenaan, pelancaran itu juga memperkenalkan rekaan baru sut dan tuxedo mereka.

“Bila bercakap mengenai sut mahupun tuxedo, biasanya ia dikaitkan dengan warna hitam dan putih. Menyedari banyak majlis penganugerahan dan acara glamor membabitkan golongan selebriti, kami cuba tampilkan kelainan pada rekaan sut dan tuxedo.

“Misalnya memperkenalkan koleksi baru daripada fabrik koduroi dan baldu yang mempunyai pelbagai warna. Ia bersesuaian dengan acara hiburan yang kebanyakannya bertemakan ranggi atau lebih mirip kepada ‘glamor’. Potongan Sut dan tuxedo yang ‘trendy’ kini juga sesuai digayakan artis muda,” Katanya.

Sepanjang 34 tahun menguasai perniagaan rekaan sut dan tuxedo, Lord’s Tailor semakin menjadi pilihan selebriti sejak pembabitannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dua tahun lalu.

Jenama ini juga, menjadi pilihan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ketika melangsungkan persandingan dengan biduanita negara, Siti Nurhaliza.

Kerjasama Lord’s Tailor dan selebriti tempatan diteruskan dengan tajaan sut untuk majlis memotong kek di majlis persandingan Mawi pada 11 Januari ini di Hotel Palace Of The Golden Horses.

Harian Metro