Archive for the ‘Achik Spin’ Category

Duet Raya Tampil Kelainan


Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

NANTIKAN kemunculan Duet Raya di saluran RTM1 sempena Hari Raya ini.

AGAK jarang program hiburan yang menampilkan konsep duet artis popular lama dan baru dipersembahkan kepada penonton di kaca TV. Lantas, timbul idea menerbitkan program khas sebegitu oleh Nafalia Corporation Sdn. Bhd. untuk siaran saluran RTM1 sempena Aidilfitri ini yang berjudul Duet Raya.

Diberi peluang menyaksikan rakamannya baru-baru ini, jelas terbukti Duet Raya bakal menjadi tarikan penonton apabila disiarkan kelak.

Bayangkan apabila mendengar vokal lantang Ramlah Ram dan Farawahida bersatu di atas pentas dengan lagu Cahaya Aidilfitri yang diungkai penuh syahdu. Memang mengasyikkan dan mampu membuatkan fikiran melayang jauh.

Begitu juga dengan penyatuan vokal Nurul dan Deja Moss yang mantap dan menusuk ke sanubari. Lagu Rindu Syahdu Di Hari Raya dendangan dua penyanyi unggul itu nyata menyerap ke seluruh perasaan.

Namun paling meninggalkan nostalgia apabila papa rock Ramli Sarip tampil membuat kejutan ketika berduet dengan Ezlynn.

“Saya rasa lebih feeling kalau dibuat secara unplugged,” kata Ramli berterus-terang pada rakaman itu. Ternyata, mereka punya keserasian dengan paduan vokal yang mengusik jiwa menerusi lagu Senandung Hidup Berbudi.

Tidak lupa juga penampilan penuh serasi antara Fazley dan Liza Hanim. Gandingan mereka menghasilkan persembahan penuh santai dan ceria namun bertenaga dengan lagu Seribu Kemaafan.

Bintang-bintang muda masa kini turut mencuri tumpuan dalam program ini. Aksi Haziq dan Rosma tampak rancak dengan lagu Joget Cinta Sakti sebelum Dia Fadila dan Amir Sofaz meneruskan kemeriahan yang tak pernah surut dengan lagu Suasana Hari Raya.

Dan sebagai acara penutup, semua artis menyanyikan lagu-lagu medley bertemakan Hari Raya seperti Seloka Hari Raya, Suasana Riang Di Hari Raya dan Suasana Hari Raya mengakhiri kejayaan program berkenaan.

Dihoskan Shamsul Ghau-Ghau, Duet Raya turut berkisar nostalgia indah yang dilalui artis-artis yang terlibat itu satu ketika dulu.

Duet paling menghiburkan

“Kami ingin tampilkan kelainan berbanding program-program hiburan Hari Raya lain,” jawab ringkas Penerbit Eksekutif Nafalia Corporation Sdn. Bhd., Mohd. Najib Jaafar apabila ditanya mengapa menampilkan konsep duet.

Malah kata Najib, walaupun sebuah program Hari Raya, beberapa lagu-lagu popular semasa turut dihidangkan agar nampak segar dan menarik.

“Sebenarnya ramai yang tidak menyedari banyak koleksi lagu-lagu popular boleh dinyanyikan secara duet dan dijadikan satu program TV.

“Dan lebih istimewa, Duet Raya menampilkan vokal para artis secara live bagi menimbulkan mood kemeriahan program ini,” kata Najib yang kini aktif menghasilkan produk-produk TV untuk RTM.

Justeru, Najib berharap penonton tidak melepaskan peluang menonton program berkenaan yang menjanjikan hiburan santai yang menghiburkan.

“Saya pasti, dengan kelainan yang tersendiri, Duet Raya bakal menjadi program yang ditunggu-tunggu ramai pada Aidilfitri ini,” ujarnya optimis.

PROGRAM : Duet Raya

SALURAN: RTM1

TARIKH SIARAN: 14 Oktober 2007

WAKTU: 3 petang

ARAHAN : Kamarul Mas Ayu Azman

GENRE : Muzikal

SKRIP: Mohd. Najib Jaafar

PENERBIT EKSEKUTIF : Mohd. Najib Jaafar

ARTIS : Shamsul Ghau-Ghau sebagai hos, Ramli Sarip, Ramlah Ram, Deja Moss, Fazley, Liza Hanim, Nurul, Ezlynn, Farawahida, Siti Nordiana, Achik Spin, Dia Fadila dan Amir Sofaz.

LOKASI : Green Cow Studio

Powered by Utusan Malaysia

Siapa Juara Bintang Klasik Nasional 2007?


FINALIS Bintang Klasik Nasional 2007. Barisan depan dari kiri: Mohd. Zaidi Zen, Muhaizam Ahmad, Muhaimin Azzahan, Mohamad Hasnul Hassan, Rahayudean Rahmat dan Fazrul Misran.Belakang dari kiri: Nadia Adha Mohd. Abid, Eliana Marfika Mokhtarudin, Fify Emelia Shazlin Murshaidi, Anis Salwa Alaluddin, Dayangku Nurul Fattihah Umi Qalthum Pengiran Zainal Abidin dan Nurliza Usup.

SERAMAI 12 peserta akan bertanding bagi merebut gelaran juara Bintang Klasik Nasional 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pukul 8.30 malam ini.

Pertandingan akhir yang disertai enam peserta lelaki dan enam peserta wanita dari zon timur, tengah, selatan, utara, Sarawak dan Sabah itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan Radio Klasik Nasional.

Pemenang bagi kategori lelaki dan wanita akan menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. Naib johan akan mendapat RM5,000, trofi dan sijil, tempat ketiga menerima RM3,000, trofi dan sijil sementara enam pemenang saguhati masing-masing akan mendapat RM1,000, trofi dan sijil.

Kesemua peserta akan mendendangkan lagu malar segar yang ditentukan oleh pihak RTM dengan iringan Orkestra RTM.

Sementara itu markah akan dinilai oleh juri profesional berdasarkan mutu suara (50 peratus), pengawalan suara (25 peratus) dan penghayatan (25 peratus).

Selain bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam nyanyian lagu-lagu lama, Bintang Klasik Nasional 2007 juga bertujuan untuk memberi pendekatan kepada rakyat tempatan agar menghargai khazanah lagu-lagu Melayu lama agar tidak pupus ditelan zaman.

Menariknya, juara lelaki dan wanita Bintang Klasik Nasional akan mewakili negara ke pertandingan akhir Bintang Klasik Nusantara 2007 yang melibatkan penyertaan juara dari Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.

Pertandingan akhir Bintang Klasik Nusantara 2007 akan diadakan pada 7 September depan di PWTC pukul 8.30 malam.

Pada malam ini juga beberapa penyanyi undangan akan tampil memeriahkan pertandingan akhir Bintang Klasik Nasional 2007. Mereka ialah Ramli Sarip, Kopratasa, Sofaz, Achik Spin, Siti Nordiana, Siti Sarah, Haziq, Bob dan Velvet.

Powered by Utusan Malaysia