Archive for the ‘Adi Putra’ Category
Mesti Tonton: Tidak Senang Duduk
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

SATU demi satu pelajar ini maut dalam keadaan mengerikan gara-gara perbuatan mereka sendiri yang terselamat cuma Murni lakonan Liyana.
Histeria untuk penonton yang kuat semangat kerana sarat dengan adegan seram dan tegang
INFO
Judul: Histeria
Pelakon: Liyana Jasmay, Scha, Norisnainy, Ainul Aishah, Yanna, Talya, Adi Putra, Kazar, Vanida Imran, Namron, M Rajoli, Adlin Aman Ramlie dan Adman Salleh
Pengarah: James Lee
Genre: Seram/Thriller

BABAK Murni diserang histeria akibat diekori makhluk halus.
Tarikh tayangan: 18 Disember 2008
AMARAN untuk mereka yang ada penyakit lemah jantung dan juga kanak-kanak. Filem arahan James Lee ini memang tidak sesuai dengan dua golongan ini. Ada beberapa sebab membuatkan penulis berkata demikian tetapi paling ketara kerana filem Histeria banyak adegan mengerikan.
Percikan darah, babak pembunuhan kejam serta imej hantu yang menakutkan menjadikan filem Histeria setaraf dengan filem seram dari Hollywood. Malahan melihat dari poster sudah cukup membayangkan ketakutan yang bakal dialami penonton apabila menonton filem terbitan Tayangan Unggul ini.
Pengalaman menonton bersama rakan media sebelum ini sudah cukup membuktikan filem ini memang menyeramkan. Jika tidak masakan kebanyakan dari mereka menonton filem ini menerusi celahan jari sambil diiringi jerit dan pekik di dalam pawagam.
Walaupun sebelum ini James banyak menghasilkan filem bebas, namun apabila memasuki aliran arus perdana, dia bijak membaca selera khalayak mengenai filem bagaimanakah yang diinginkan. Memanfaatkan dengan sebaiknya skrip yang ditulis Amri Rohayat, James menggunakan kemahirannya sebagai pengarah berpengalaman untuk menggarap filem ini dengan lebih kemas.
Jalan cerita filem ini cukup mudah. Ia mengisahkan bagaimana tujuh pelajar perempuan yang nakal berdepan dengan kesilapan yang mereka cari sendiri. Tanpa diduga, niat mereka yang pada awalnya cuba untuk mempermainkan guru di kolej mereka akhirnya mengundang padah.
Alissa, Tini, Malini, Murni, Maryam, Jenny, dan Kerek yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai ‘Pink Flamingo’, berpura-pura terkena histeria hingga terpaksa dipanggil bomoh untuk memulihkan mereka. Pun begitu, sebelum kejadian itu berlaku mereka sebenarnya sudah melakukan sesuatu amalan kurafat iaitu menyeru busut yang terletak di hutan tidak jauh dari kolej mereka.
Sejak dari itu, pelbagai kejadian aneh berlaku dan lebih menakutkan satu demi satu pelajar terbabit dibunuh dengan kejam. Satu-satunya pelajar yang terselamat dalam kejadian ngeri itu adalah Murni dan itulah membuatkan dirinya dituduh mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan itu.
Tidak keterlaluan andai dikatakan Histeria adalah filem seram Melayu terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini. Jika selama ini kita hanya mendengar perkataan Histeria dan hanya mengetahuinya menerusi media massa, mungkin filem ini mampu menghuraikan maksud sebenar fenomena misteri itu.
Nasihat penulis, jangan menonton filem ini berseorangan dan selamat menjerit di pawagam.
Berita Harian
Fesyen Kreatif
Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
DARI kiri, Ikram, Adi Putra dan Dafi memperagakan fesyen Samuel.
SEBELUM ini ramai berpendapat, fesyen rekaan pakaian untuk lelaki begitu membosankan kerana sering memaparkan gaya atau potongan yang hampir sama apabila setiap kali tiba musim baru. Namun, aliran semasa menunjukkan gaya fesyen untuk lelaki kini juga tidak kurang hebatnya seperti mana juga fesyen pakaian wanita.
Bahkan, ada saja suntikan idea atau inspirasi baru yang diketengahkan dalam rekaan.
Pereka untuk pakaian lelaki kini bukan saja gemar melakukan eksperimen tetapi juga semakin berani meluahkan hasil rekaan yang unik, berbeza dan menarik perhatian untuk digayakan golongan Adam. Tidak kecuali juga dengan pereka terkenal dari Indonesia, Samuel Wattimena yang berpengalaman 20 tahun dalam dunia fesyen dan enam tahun menumpukan menghasilkan rekaan pakaian khusus untuk lelaki.
Himpunan rekaan terkini, Samuel diperagakan pada Festival Fesyen Malaysia (IFF) yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini menyaksikan satu lagi kreativiti segar dan boleh menjadi ikutan masyarakat di negara ini.
Pada acara hebat itu, pereka yang membina nama sejak 1980 dan menjadi pemenang pertama memenangi pertandingan reka cipta fesyen yang julung kali pernah di adakan di Indonesia pada ketika itu, menampilkan 36 himpunan rekaan pakaian lelaki dengan pelbagai ragam menarik.
Pereka yang berasal dari Maluku ini berkata, minatnya untuk menumpukan menghasilkan pakaian lelaki bermula apabila mendapati dirinya sendiri sukar sekali mencari gaya rekaan yang sesuai. Justeru, selain menghasilkan rekaan pakaian untuk artis terkenal di Indonesia, Samuel juga serius menghasilkan lebih banyak rekaan menarik untuk lelaki.
AZHAR Sulaiman (kiri) dan satu lagi gaya santai digayakan oleh Danny X Factor.
Memperkatakan rekaan dipersembahkan sempena IFF, katanya ia memperlihatkan himpunan baju dan celana alternatif untuk lelaki yang menggarapkan dari sentuhan moden hinggalah konservatif. Gaya alternatif diketengahkan bukan saja menumpukan dari segi potongan tetapi turut merangkumi campuran warna, gabungan tekstil dan corak dalam rekaan.
“Himpunan pakaian direka adalah sebagai penyelesaian kepada individu untuk menyerlahkan gaya penampilan alternatif. Idea asas keseluruhannya ialah menampilkan gaya eksotik ketimuran kerana saya berpendapat, ada banyak yang menarik untuk diketengahkan dan dipaparkan termasuk kebudayaannya, unsur mistik dan artistik.
Berbanding dengan dunia barat yang sudah terperangkap dengan pembangunan industrinya,” katanya ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen berkenaan.
Samuel berkata, pada masa sama rekaannya turut menyuntik elemen moden agar ia sesuai dengan ciri dan cita masa kini, di samping memperlihatkan satu kelainan atau pembaharuan dalam rekaan.
Dari segi penggunaan fabrik, katanya lebih senang menggunakan hasil tempatan termasuk dari Sumatera, Sulawesi, Nusa Tenggara dan Makasar kerana secara tidak langsung ia dapat memperkayakan budaya timur dan berfikiran lebih kreatif lagi dalam menghasilkan rekaan yang unik.
Rekaan Samuel juga banyak memaparkan keindahan sulaman bagi membangkitkan lagi ciri eksotik dan artistik dalam rekaan. Potongannya juga lebih terperinci tetapi memberikan impak gaya segak seorang lelaki apabila digayakan.
“Antara unsur tradisional yang saya terapkan dalam rekaan ialah potongan celana galembong atau kembang. Gaya potongan seperti di inspirasi daripada pemakaian sarung. Selain itu ada celana ikat yang menampilkan material batik bercorak mega mendung. Celana ikat seperti itu lazimnya, popular di sebelah Sulawesi,” katanya.
Apa yang nyata, himpunan rekaan Samuel memang ada gaya tersendiri dan diterjemahkan dengan gaya yang cukup hebat untuk digayakan lelaki metropolitan masa kini.
Lebih istimewa, himpunan itu diperagakan 17 selebriti lelaki dan seorang model dari Indonesia. Antara barisan selebriti yang memperagakan rekaan itu ialah Azhar Sulaiman, Eizlan Yusof, Ako Mustafa, Tony Yusof, Rashidi Ishak, Ikram Dinzly, Nazril Idris, Riezman, Danny X Factor, Azizan Nin dan Adi Putra.
Berita Harian