Archive for the ‘Adlin Aman Ramlie’ Category
Kutipan Cicakman 2 Tersasar
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Norman yakin boleh capai lebih RM3 juta sehingga akhir tayangan
SEHINGGA Ahad lalu, filem Cicakman 2: Planet Hitam (C2PH) arahan Yusry Abdul Halim, terbitan KRU Studios memungut RM2.5 juta hasil tayangannya di kira-kira 70 skrin di Malaysia, Brunei dan Singapura.
Pungutan berkenaan dikatakan agak tersasar daripada ramalan awal Produser Eksekutifnya, Norman Abdul Halim. Berdasarkan kejayaan yang dilakukan dua filem mereka terdahulu, Cicak-Man dan Duyung, sepatutnya filem terbaru itu juga mampu memungut sehingga RM4 juta dalam tempoh yang sama.
Cicak-Man yang menemui penonton pada Disember 2006 akhirnya memungut kira-kira RM6.7 juta. Ia muncul filem pertama Malaysia menampilkan watak adiwira dalam bentuk kelakar. Ia juga menampilkan kira-kira 41 peratus elemen CGI. Percubaan berani KRU menampilkan sesuatu yang berbeza menerusi filem sulung mereka itu cukup berbaloi apabila peminat berpusu-pusu ke pawagam untuk menonton garapan Yusry.
Manakala Duyung yang diterbitkan KRU Studios dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd (kini Primeworks Studios) dan Line Clear Motion Pictures menemui penonton pada Mac lalu. Filem arahan Prof Madya A Razak Mohaideen yang digarap dalam bentuk komedi dan fantasi itu turut mencuri perhatian penonton, sehingga membolehkannya memungut kira-kira RM5 juta.
Kini, KRU Studios berharap, C2PH dapat melepasi angka RM3 juta dengan baki tayangan yang tinggal beberapa hari lagi. Ketika ini, filem terbabit bersaing hebat merebut penonton bersama filem bercorak thriller terbitan Tayangan Unggul, Histeria, daripada pengarah James Lee.
Selepas lima hari, Histeria yang menampilkan ramai pelakon remaja perempuan itu sudah pun memungut RM1.1 juta hasil tayangan di 47 skrin.
Menyentuh pungutan C2PH yang boleh dikatakan perlahan berbanding filem KRU Studios yang lalu, Norman berkata, faktor saingan sesama filem tempatan serta kaitannya dengan Skim Wajib Tayang, sebagaimana yang diperkatakan oleh Afdlin Shauki sebelum ini mempunyai kebenarannya.
Malah, kata Norman, saingan utama masih lagi daripada filem besar dari Amerika Syarikat, yang berkebetulan membanjiri pawagam sesuai dengan musim perayaan. Bersaing bersama C2PH ialah filem mega lakonan Keanu Reeves, The Day the Earth Stood Still, yang memungut hampir RM4 juta sehingga 21 Disember lalu.
“Pada amnya, semua produser mengharapkan pungutan yang lebih baik bagi filem yang ditayangkan sepanjang tahun ini. Namun, apa yang dapat kita lihat, pungutan beberapa filem adalah di bawah jangkaan sebenar. Seperti C2PH sendiri, ia sepatutnya mampu mencatat kutipan lebih baik.
“Begitupun, pungutan sebanyak RM2.5 bukanlah bermakna filem terbitan kami gagal. Malah kami menjangkakan, ia mampu melepasi RM3 juta dalam masa terdekat,” katanya.
C2PH sekali lagi menampilkan Saiful Apek sebagai tunjang, memegang watak lelaki yang memiliki kuasa luar biasa setelah terbabit dalam insiden di sebuah makmal.
Kali ini, Profesor Klon (Aznil Nawawi) kembali, bukan hanya untuk menjatuhkan kerajaan, seterusnya mengangkat dirinya sebagai pemerintah, bahkan dia turut merancang untuk mengawal bekalan air bersih dunia menerusi rancangan Planet Hitamnya. Kini, Cicakman mempunyai 72 saja untuk menyelamatkan dunia sebelum segala-galanya terlambat.
Selain Apek dan Aznil, filem terbabit juga membariskan Fasha Sandha, AC Mizal, Adlin Aman Ramlie, Louisa Chong, Julia Ziegler, Sharifah Amani dan Tamara Bleszynski sebagai pelakonnya. Pengarahnya sendiri, Yusry, turut muncul buat kali kedua menerusi filem adiwira kesukaan ramai ini.
Berita Harian
Mesti Tonton: Tidak Senang Duduk
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

SATU demi satu pelajar ini maut dalam keadaan mengerikan gara-gara perbuatan mereka sendiri yang terselamat cuma Murni lakonan Liyana.
Histeria untuk penonton yang kuat semangat kerana sarat dengan adegan seram dan tegang
INFO
Judul: Histeria
Pelakon: Liyana Jasmay, Scha, Norisnainy, Ainul Aishah, Yanna, Talya, Adi Putra, Kazar, Vanida Imran, Namron, M Rajoli, Adlin Aman Ramlie dan Adman Salleh
Pengarah: James Lee
Genre: Seram/Thriller

BABAK Murni diserang histeria akibat diekori makhluk halus.
Tarikh tayangan: 18 Disember 2008
AMARAN untuk mereka yang ada penyakit lemah jantung dan juga kanak-kanak. Filem arahan James Lee ini memang tidak sesuai dengan dua golongan ini. Ada beberapa sebab membuatkan penulis berkata demikian tetapi paling ketara kerana filem Histeria banyak adegan mengerikan.
Percikan darah, babak pembunuhan kejam serta imej hantu yang menakutkan menjadikan filem Histeria setaraf dengan filem seram dari Hollywood. Malahan melihat dari poster sudah cukup membayangkan ketakutan yang bakal dialami penonton apabila menonton filem terbitan Tayangan Unggul ini.
Pengalaman menonton bersama rakan media sebelum ini sudah cukup membuktikan filem ini memang menyeramkan. Jika tidak masakan kebanyakan dari mereka menonton filem ini menerusi celahan jari sambil diiringi jerit dan pekik di dalam pawagam.
Walaupun sebelum ini James banyak menghasilkan filem bebas, namun apabila memasuki aliran arus perdana, dia bijak membaca selera khalayak mengenai filem bagaimanakah yang diinginkan. Memanfaatkan dengan sebaiknya skrip yang ditulis Amri Rohayat, James menggunakan kemahirannya sebagai pengarah berpengalaman untuk menggarap filem ini dengan lebih kemas.
Jalan cerita filem ini cukup mudah. Ia mengisahkan bagaimana tujuh pelajar perempuan yang nakal berdepan dengan kesilapan yang mereka cari sendiri. Tanpa diduga, niat mereka yang pada awalnya cuba untuk mempermainkan guru di kolej mereka akhirnya mengundang padah.
Alissa, Tini, Malini, Murni, Maryam, Jenny, dan Kerek yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai ‘Pink Flamingo’, berpura-pura terkena histeria hingga terpaksa dipanggil bomoh untuk memulihkan mereka. Pun begitu, sebelum kejadian itu berlaku mereka sebenarnya sudah melakukan sesuatu amalan kurafat iaitu menyeru busut yang terletak di hutan tidak jauh dari kolej mereka.
Sejak dari itu, pelbagai kejadian aneh berlaku dan lebih menakutkan satu demi satu pelajar terbabit dibunuh dengan kejam. Satu-satunya pelajar yang terselamat dalam kejadian ngeri itu adalah Murni dan itulah membuatkan dirinya dituduh mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan itu.
Tidak keterlaluan andai dikatakan Histeria adalah filem seram Melayu terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini. Jika selama ini kita hanya mendengar perkataan Histeria dan hanya mengetahuinya menerusi media massa, mungkin filem ini mampu menghuraikan maksud sebenar fenomena misteri itu.
Nasihat penulis, jangan menonton filem ini berseorangan dan selamat menjerit di pawagam.
Berita Harian