Archive for the ‘Afdlin Shauki’ Category

Siapalah Nabil Di Hati Diana Danielle


Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Juara Raja Lawak musim kedua ini menjadi pasangan kekasih dalam filem Kecoh Betul!

DALAM diam pelakon dan pelawak Nabil menyimpan perasaan kepada pelakon muda dan jelita, Diana Danielle.

Tidak hairanlah gadis secantik Diana ini pasti menjadi rebutan dan igauan setiap lelaki. Tambahan pula, gadis ini belum ‘dimiliki’ oleh sesiapa. Memang kalau dilihat, gaya Nabil dan Diana itu, sangat menarik sekiranya mereka berpasangan menjadi kekasih.

Namun, ‘Lu fikirlah sendiri’, adakah Nabil layak dengan gadis cantik seperti Diana? Bahkan Nabil sendiri seolah-olah tidak yakin untuk mendekati gadis itu walaupun hatinya menyimpan perasaan mendalam terhadapnya. Dia bimbang sekiranya diluahkan perasaan hatinya, ia tidak akan diterima oleh Diana yang sebenarnya boleh mencari jejaka lebih baik dari dirinya.

Disebabkan perbezaan darjat ini, memang agak kecoh juga ketika Nabil hendak memulakan kata-kata dengan Diana.

Inilah sebahagian daripada cerita dari filem terbaru lakonan mereka berjudul Kecoh Betul arahan S Baldev Singh dan Ikhzal Azfarel.


NABIL gementar pertama kali digandingkan dengan Danielle di layar perak.

Mereka dipertemukan lagi buat kali kedua menerusi filem ini terbitan White Merpati Entertainment (anak syarikat Sri Saheb Productions) yang sebelum ini pernah menghasilkan filem Akhirat.

Kali pertama dua pelakon muda itu digandingkan ialah dalam program raya iaitu Jiran Tetangga Raya yang turut membabitkan Datuk Aziz Sattar dan Saiful Apek. Mereka juga pernah ditemukan dalam majlis anjuran mempromosikan barang kemas Habib. Gandingan dan strategi meletakkan mereka sebagai teraju utama filem ini dilihat bersesuaian dengan populariti yang semakin meledak.

Menerusi Kecoh Betul! Diana memegang watak Dayana manakala Nabil sebagai Aiman. Dayana seorang gadis yang kuat semangat tetapi terjebak dengan kawan yang salah. Biarpun kehidupannya serba mewah, tetapi jiwanya tidak pernah tenteram.

Di alam nyata, Diana mengakui menyenangi sikap Nabil dan mereka cepat serasi apabila berkawan. Bagaimanapun, katanya sambil berseloroh, bukankah Nabil sudah berpunya. Namun begitu, Nabil pula dengan pantas menyifatkan perhubungan dengan Mira (kekasih yang dimaksudkan Danielle) masih baru bermula dan belum boleh dianggap sudah serius


DANIELLE ingin lupakan kontroversi yang melanda dirinya sebelum ini.

“Saya sukakan dia (Nabil), tapi tidaklah sampai hendak bercinta. Ini filem sulung yang mempertemukan kami di layar perak. Memang tidak kering gusi kalau berada dekat dengannya dan ada saja benda yang ingin diperkatakannya.

“Dia pun memang berbakat dan berkeyakinan diri yang tinggi,” katanya yang ditemui baru-baru ini di Kampung Baru ketika menjalani penggambaran filem Kecoh Betul!.

Sementara itu, Nabil pula mengakui dia suka memandang pelakon muda itu yang dianggapnya sangat cantik menyebabkan dia sedar siapalah dirinya kalau apabila hendak dikaitkan dengan Diana Danielle.

“Mujurlah kami hanya bercinta di dalam filem. Nak kata saya menyimpan perasaan terhadapnya, ia mungkin mustahil dan tak lebih sekadar angan-angan saja Mana mungkin saya boleh menjadi kekasih hatinya. Saya lihat dia ada kelas tersendiri dan ada orang yang lebih layak mendekatinya berbanding saya,” katanya yang cukup gembira dapat berlakon dengan Datuk Aziz Sattar.

Filem Kecoh Betul menjadi filem keenam lakonan Nabil dan watak Aiman yang dipegangnya adalah karakter dirinya sendiri yang bekerja sebagai budak penghantar surat atau Mat Despatch yang suka membawa motosikal dengan laju. Konflik cerita ini memuncak mengenai kisah meminjam wang daripada Along hingga Dayana diculik.

Paling mengujakan Nabil apabila dapat bergandingan dengan dua pelawak dari generasi berbeza, Aziz Sattar dan Saiful Apek.

Rezeki Diana Danielle dan Nabil mencurah

Biarpun sibuk dengan dunia lakonan, Diana masih sempat mencari masa untuk melaksanakan impiannya sebagai penyanyi. Bahkan, dia kini sedang giat bekerja sama dengan komposer dari Indonesia kerana wawasannya adalah untuk meluaskan kerjaya seninya di negara seberang itu.

Bagi tujuan itu, Diana mendapatkan khidmat daripada Tompi, Glen Fredly dan Pasha dari kumpulan Ungu yang masing-masing berusaha menghimpunkan bahan sesuai untuk dimuatkan dalam album sulungnya nanti.

Apa kurangnya Nabil yang semakin pantas menambat perhatian peminat dunia seni. Namanya menjadi sebutan selepas berjaya dinobatkan sebagai Juara Raja Lawak Astro musim kedua. Nabil terus unggul biarpun usia pembabitan belumpun sampai setahun. Bayangkan dalam tempoh singkat, aura jejaka kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini mampu menguasai stesen TV tempatan seperti di TV3, TV9, RTM dan Astro.

Rezekinya memang tidak putus, malah dek kesibukannya, Nabil terpaksa menolak hasrat menjadi pengacara majlis untuk majlis persandingan dan konsert khas sempena perkahwinan Mawi dan Ekin.

Masih mengacarakan Melodi bersama Fara Fauzana dan Wahid Senario, impiannya untuk beraksi di bawah arahan Adlin Aman Ramli menjadi kenyataan apabila dapat berlakon telefilem Sonata Labu Labi.

Selain menghabiskan baki penggambaran filem Kecoh Betul, bermula Januari juga Nabil akan terbabit dengan filem Momok arahan M Jamil. Dia juga akan membintangi filem Man Tera yang menggunakan konsep tiga dimensi atau 3D arahan Bade.

Nabil mempunyai kontrak selapa 18 bulan dengan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) bermula 2009 hingga pertengahan 2010. Bagi tempoh itu, dia akan membintangi tiga filem. Selain filem, Nabil juga akan muncul dengan program Studio Nabil dan program motivasi membabitkan Datuk Dr Mohd Fadhilah Kamsah di TV9 tidak lama lagi.

PROFIL: Ahmad Nabil Ahmad

Adik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradik

Umur: 25 tahun

Asal: Mambau, Seremban, Negeri Sembilan

Idola: Jerry Seinfeld dan Afdlin Shauki

Program kegemaran: Jerry Seinfeld Show, Raja Lawak

E-mel: nabiw_tx@ yahoo.com dan amatnabil@gmail.com

PROFIL: Diana Danielle

Nama penuh: Diana Danielle Danny Beeson

Tarikh lahir: 22 November 1991

Asal: Dilahirkan di Houston, Amerika Syarikat, namun dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berumur dua tahun

Darah campuran: Amerika (ayah) dan Melayu (ibu)

Keluarga: Anak tunggal

Komersial: Lampin Merries (ketika berusia sembilan bulan), Milo, Telekom Malaysia (TM), Hazeline Snow dan Fair & Lovely

Drama: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah (setiap Ahad, jam 9 malam di RTM2)

Filem: Idola (ketika berusia sembilan tahun), Evolusi KL Drift, Malaikat Maut (belum tayang), Bohsia (belum tayang) dan Setem (belum tayang)

Berita Harian

Kutipan Cicakman 2 Tersasar


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Norman yakin boleh capai lebih RM3 juta sehingga akhir tayangan

SEHINGGA Ahad lalu, filem Cicakman 2: Planet Hitam (C2PH) arahan Yusry Abdul Halim, terbitan KRU Studios memungut RM2.5 juta hasil tayangannya di kira-kira 70 skrin di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Pungutan berkenaan dikatakan agak tersasar daripada ramalan awal Produser Eksekutifnya, Norman Abdul Halim. Berdasarkan kejayaan yang dilakukan dua filem mereka terdahulu, Cicak-Man dan Duyung, sepatutnya filem terbaru itu juga mampu memungut sehingga RM4 juta dalam tempoh yang sama.

Cicak-Man yang menemui penonton pada Disember 2006 akhirnya memungut kira-kira RM6.7 juta. Ia muncul filem pertama Malaysia menampilkan watak adiwira dalam bentuk kelakar. Ia juga menampilkan kira-kira 41 peratus elemen CGI. Percubaan berani KRU menampilkan sesuatu yang berbeza menerusi filem sulung mereka itu cukup berbaloi apabila peminat berpusu-pusu ke pawagam untuk menonton garapan Yusry.

Manakala Duyung yang diterbitkan KRU Studios dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd (kini Primeworks Studios) dan Line Clear Motion Pictures menemui penonton pada Mac lalu. Filem arahan Prof Madya A Razak Mohaideen yang digarap dalam bentuk komedi dan fantasi itu turut mencuri perhatian penonton, sehingga membolehkannya memungut kira-kira RM5 juta.

Kini, KRU Studios berharap, C2PH dapat melepasi angka RM3 juta dengan baki tayangan yang tinggal beberapa hari lagi. Ketika ini, filem terbabit bersaing hebat merebut penonton bersama filem bercorak thriller terbitan Tayangan Unggul, Histeria, daripada pengarah James Lee.

Selepas lima hari, Histeria yang menampilkan ramai pelakon remaja perempuan itu sudah pun memungut RM1.1 juta hasil tayangan di 47 skrin.

Menyentuh pungutan C2PH yang boleh dikatakan perlahan berbanding filem KRU Studios yang lalu, Norman berkata, faktor saingan sesama filem tempatan serta kaitannya dengan Skim Wajib Tayang, sebagaimana yang diperkatakan oleh Afdlin Shauki sebelum ini mempunyai kebenarannya.

Malah, kata Norman, saingan utama masih lagi daripada filem besar dari Amerika Syarikat, yang berkebetulan membanjiri pawagam sesuai dengan musim perayaan. Bersaing bersama C2PH ialah filem mega lakonan Keanu Reeves, The Day the Earth Stood Still, yang memungut hampir RM4 juta sehingga 21 Disember lalu.

“Pada amnya, semua produser mengharapkan pungutan yang lebih baik bagi filem yang ditayangkan sepanjang tahun ini. Namun, apa yang dapat kita lihat, pungutan beberapa filem adalah di bawah jangkaan sebenar. Seperti C2PH sendiri, ia sepatutnya mampu mencatat kutipan lebih baik.

“Begitupun, pungutan sebanyak RM2.5 bukanlah bermakna filem terbitan kami gagal. Malah kami menjangkakan, ia mampu melepasi RM3 juta dalam masa terdekat,” katanya.

C2PH sekali lagi menampilkan Saiful Apek sebagai tunjang, memegang watak lelaki yang memiliki kuasa luar biasa setelah terbabit dalam insiden di sebuah makmal.

Kali ini, Profesor Klon (Aznil Nawawi) kembali, bukan hanya untuk menjatuhkan kerajaan, seterusnya mengangkat dirinya sebagai pemerintah, bahkan dia turut merancang untuk mengawal bekalan air bersih dunia menerusi rancangan Planet Hitamnya. Kini, Cicakman mempunyai 72 saja untuk menyelamatkan dunia sebelum segala-galanya terlambat.

Selain Apek dan Aznil, filem terbabit juga membariskan Fasha Sandha, AC Mizal, Adlin Aman Ramlie, Louisa Chong, Julia Ziegler, Sharifah Amani dan Tamara Bleszynski sebagai pelakonnya. Pengarahnya sendiri, Yusry, turut muncul buat kali kedua menerusi filem adiwira kesukaan ramai ini.

Berita Harian