Archive for the ‘Agnes Monica’ Category
Nafi Popular Kerana Seksi Atau Gosip
Teks Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap
USAHA Winnie Kok atau Winnie K, 28, untuk menguasai industri muzik Nusantara dengan album Melayu, Engkau Ada Di Mana diterbitkan Trinity Optima Productions (TOP) menunjukkan sinar apabila kehadirannya diterima baik pihak media di Indonesia.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian penggiat muzik seberang terutama apabila Melly Goeslow ketika berkunjung ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan runut bunyi filem Cicakman 2 menjelaskan Winnie antara artis tempatan yang sudah mendapat tempat di sana.
Kenyataan diberikan Melly bagi menjawab soalan dibangkitkan media tempatan mengenai penerimaan artis seberang membabitkan isu 90/10 (lebih banyak lagu tempatan diputarkan di radio berbanding karya luar) yang dibangkitkan Presiden Karyawan, Freddie Fernandez sebelum ini.
Kenyataan Melly itu mungkin ada benarnya terutama apabila ada peminat tempatan menyaksikan bagaimana Winnie menjadi tumpuan media sewaktu penyanyi berasal dari Raub, Pahang itu hadir bagi menyaksikan konsert solo bintang terkenal seberang, Rossa yang diadakan, baru-baru ini.
Kebetulan Winnie berada satu bumbung dengan Rossa di Jakarta dan kumpulan Ungu hadir di konsert itu sebagai tanda sokongan.
Waktu sama dia dijemput stesen televisyen SCTV untuk menjayakan satu rancangan hiburan keesokan harinya.
Walaupun tidak melalui ruang permaidani merah disediakan di luar dewan konsert, tetapi ada wakil media di sana terlihat kelibat Winnie memanggilnya untuk dirakam gambar dan mengadakan temubual ringkas.
Begitupun menerusi cakap-cakap penggiat di sana, Winnie diterima media seberang bukan kerana bakatnya, tetapi lebih kepada gosip panasnya menjalin hubungan cinta dengan Once dari kumpulan Ungu dan penampilannya yang dianggap berani dan seksi.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Winnie sewaktu dihubungi menafikan dakwaan terbabit dengan menegaskan dia sering menjaga penampilannya seperti apa yang dilakukan di sini.
“Mereka berkata begitu mungkin kerana saya artis baru dan tidak ramai penyanyi tempatan dapat menembusi pasaran di sana.
“Saya percaya salah satu sebab saya boleh diterima kerana syarikat rakaman TOP amat terkenal di sana. “Sebagai orang baru sudah tentu saya rasa bertuah kerana dapat bernaung di bawah syarikat rakaman itu.
“TOP banyak mengetengahkan bakat dan lagu-lagu saya di sana terutama di televisyen. Di sana orang ramai mengenali saya kerana sering muncul di SCTV kerana ia banyak program bercorak hiburan. Stesen itu banyak mendokong kerjaya seni saya.
“Seperti juga Siti yang sebelum ini banyak menjayakan persembahan dianjurkan Trans TV. Nak dikata saya popular kerana gosip, rasanya cerita peribadi saya jarang sekali diketengahkan dalam rancangan bercorak infohiburan (seperti Melodi).
“Kalau benar ada, itu saya terpaksa akui kerana sekiranya ada isu panas membabitkan seseorang artis, ia akan didedahkan sehingga sebulan lamanya di televisyen.
“Walaupun saya suka menonton rancangan bercorak infohiburan di sana, tetapi cerita saya tidak pernah diketengahkan,” katanya.
Tegas Winnie lagi dia tidak pernah muncul dengan imej seksi sama ada sewaktu menjayakan persembahan atau bergambar untuk majalah di sana.
“Di sana mereka memang terbuka apabila membabitkan isu imej seksi dan menganggap penampilan menjolok mata adalah perkara biasa.
“Begitupun sepanjang berada di sana saya sudah jelaskan lebih awal kepada pihak pengurusan bahawa di sini Islam adalah agama rasmi dan tampil dengan pakaian yang mendedahkan dianggap keterlaluan.
“Memandangkan penduduk di sebarang majoritinya beragama Islam jadi saya lebih senang mengekalkan penampilan seperti di sini,” katanya.
Winnie tidak menolak kemungkinan besar dia dikaitkan dengan imej terbabit kerana September lalu menerusi majalah FHM keluaran Indonesia, dia tersenarai antara 100 artis wanita seksi di seluruh dunia.
Turut berada di dalam senarai itu pelakon popular seberang Dian Sastrowardoyo dan Agnes Monica.
“Kalau dilihat kembali adakah Dian seksi? Rasanya tidak, tetapi mereka tetap menyenaraikannya bersama-sama selebriti dunia terkenal lain termasuk Britney Spears dan Angelina Jolie. Tambahan pula undian dibuat pembaca majalah itu sendiri.
“Jika tidak silap, saya juga sebelum ini ada peminat seberang menghantar surat kepada TOP menyatakan dia gemar mendengar suara saya yang dianggapnya seksi.
“Jadi saya tidak tahu sama ada yang dianggap seksi itu adakah penampilan saya, suara atau wajah. Ia begitu subjektif untuk diperkatakan.
Harian Metro
Dengarnya…: Erwin Gutawa Cari 3 Diva Baru
Oleh Normah Becok
SEKALI sekala Cik Normah hendak juga berubah angin menyampaikan gosip dari seberang. Kebetulan Cik Normah baru saja bertemu dengan bekas kekasih Cik Normah zaman anak dara dulu. Dia ini memang pemuja setia Cik Normah walaupun kini Cik Normah sudah bersuami.
Maaf ya! Kalau nak kongsi gosip boleh tapi kalau nak ajak berkongsi Cik Normah, memang tak sesuai. Berbalik pada cerita teman Cik Normah ini, dia berkata sejak berkerat rotan berpatah arang dengan tiga diva terdahulu iaitu Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ, pengasasnya, Erwin Gutawa sedang mencari muka baru untuk dijadikan 3 Diva Junior. Khabarnya, bekas pengarah muzik teater P Ramlee The Musical ini sudah pun bertemu dengan dua calon sesuai. Mereka adalah penyanyi yang cukup popular di Malaysia, Rossa dan juga Agnes Monica. Dan Erwin juga sedang mengintai-intai siapakah calon ketiga yang paling layak untuk menerima anugerah yang paling glamor itu.
Wah! Ternganga Cik Normah apabila mendapat tahu cerita ini kerana bukan calang-calang penyanyi yang mampu menganggotai kumpulan itu. Kalau suara tak meletup, persembahan tak ‘vazz’ dan wajah tak cantik, jangan harap nak dapat gelaran tu.
Siapalah agaknya yang bertuah untuk jadi calon ketiga itu ya? Buat Pak Erwin, kalau benarlah dia sedang mencari calon ketiga, Cik Normah nak juga mencadangkan diri ini. Iyalah, apa kurangnya Cik Normah dengan yang dua orang itu. Cik Normah boleh nyanyi, showmanship pun hebat dan bukan saja cantik, tapi potongan badan masih bergetah, pendek kata tak banyak beza dengan si Rossa tu.
Lagipun apalah gunanya gelaran Diva yang Cik Normah dapat dari internet dan forum kalau tak mahu menggunakannya? Jadi nampaknya memang lengkaplah pakej untuk Cik Normah menyertai kumpulan itu.
Berita Harian