Archive for the ‘Ahli Fiqir’ Category
Kepelbagaian Melodi Genre Muzik Rock
KOMEN: Album ini seakan-akan mahu meluahkan rasa Jinbara melalui lirik-lirik lagu yang ditampilkan dalam album ini iaitu tentang rasa cinta muda-mudi dan falsafah simbolik kehidupan.
Tetapi pada masa sama, kumpulan berasal dari Kemensah, Hulu Klang, Selangor, ini turut ingin memberitahu bahawa teras muzik rock yang mereka ketengahkan begitu bersifat terbuka.
Ini kerana, selain rock Jinbara turut menyelitkan elemen irama hip hop contohnya, menerusi duet dan kolaborasi dalam lagu Keringat yang menampilkan Daly daripada kumpulan Ahli Fiqir.
Paling menarik yang cuba diketengahkan oleh kumpulan ini ialah melalui lagu Tahu Tak Tahu Joget yang kuat dengan teras irama joget.
Lagu ini bukan lagu joget asli atau lagu lama yang dirosakkan dengan suntik muzik rock Jinbara, tetapi ia adalah lagu baru ciptaan mereka.
Jelas, elemen irama joget yang mempunyai rentak dan gaya serta identitinya sendiri itu boleh diguna pakai dan dimasukkan dalam genre muzik lain.
Selain itu, ada juga elemen melodi dari Timur Tengah ala-ala lagu Arab, contohnya menerusi lagu Cinta Kita yang sedikit tersasar daripada konsep rock Jinbara selama ini.
Sekian lama bergelar kumpulan rock, lagu-lagu slow rock seolah-olah wajib buat Jinbara, malah sejak era mereka bergelar kumpulan Tropika lagi di mana lagu Subuh menjadi pertaruhan dalam album yang mengandungi 11 lagu ini.
Keseluruhannya, album ini tidak bergantung sepenuhnya kepada konsep rock semata-mata, tetapi ia dipelbagaikan lagi bunyinya dengan elemen-elemen muzik lain. Mungkin ini gaya muzik rock gaya baru cetusan Jinbara.
Judul Album: Suara Kita
Artis: Jinbara
Konsep Muzik: Rock
Terbitan: Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd.
[***]
Utusan Malaysia
Jinbara Bukan Kampungan
Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

TIDAK mudah melatah, (dari kiri), Tia, Chepot, Ah Tan dan Anjang (belakang) menerima kritikan negatif terhadap Jinbara dengan hati terbuka.
SEJAK ditubuhkan lapan tahun lalu, nama dan reputasi grup yang menggelar diri mereka, Jinbara bukan asing lagi di hati pencinta jalur muzik rock.
Tidak dinafikan, sepanjang kemunculan mereka, khalayak yang berjaya dihimpunkan sebagai peminat rata-ratanya merupakan individu punya selera terhadap muzik rock Melayu.
Namun, ada sesetengah pihak yang ada perasaan skeptikal melihat pembabitan Jinbara sekadar memeriah arena muzik tempatan.
Lebih malang lagi, ada juga yang beranggapan Jinbara hanya grup yang sifatnya kekampungan. Tidak diketahui punca, itu sebaliknya realiti yang dihadapi Jinbara.
Tidak mudah melatah dengan tanggapan serong masyarakat, mereka menerima setiap kritikan dengan rasa terbuka tanpa dendam di hati.
Menurut pemain gitarnya, Cepot, mereka sedar tentang cakap nakal yang dilempar umum itu.
“Memang ada terdengar tanggapan Jinbara adalah pemuzik kampung, namun kami tidak mudah naik angin dengan kenyataan tersebut. Terpulang kepada kritikan ramai terhadap kami.
“Mereka bebas untuk berkata apa saja. Kami akui Jinbara kurang menawan hati orang-orang sekitar Lembah Klang kerana kami sering membuat persembahan di luar kota termasuk untuk masyarakat asli.
“Namun, kami mengandaikan isu Jinbara ibarat kumpulan kampung sebagai masalah atau skop yang kecil saja.”
Selain Chepot, Jinbara turut dianggotai Tia (vokal), Anjang (gitar utama), Akin (bass) dan Ah Tan (drum).
Mengukuh bicara, Chepot yang ditemui di studio Utusan Malaysia memberitahu, selain peminat muzik rock Melayu, kebanyakan pengikut Jinbara merupakan golongan pertengahan.
“Kami sedar pengikut Jinbara merupakan golongan makcik dan pakcik. Tapi tidak semestinya mereka berasal dari luar bandar atau kampung sahaja.
“Mereka menghargai muzik yang dibawakan grup kami tanpa prejudis. Maka, adalah penting untuk Jinbara menunjukkan apresiasi pada mereka menyokong perjalanan seni kami selama ini.”
Menggunakan strategi untuk membina nama dulu di luar KL, Jinbara kemudian ingin memenangi minat generasi baru dan peminat seluruh Lembah Klang.
Bagi mencapai impian itu, mereka perlu selari mengikuti deras perubahan seni terkini. Namun, ia bukan dilakukan secara mendadak. Sebaliknya sedikit demi sedikit supaya identiti Jinbara tidak luput.
“Untuk mengelakkan kami terus dilabel sebagai jaguh kampung, ada baiknya Jinbara melaksana beberapa perubahan secara perlahan-lahan.
“Pada masa sama, kelainan yang dilakukan itu tidak meluntur daripada konsep kemelayuan yang selama ini teguh dipegang Jinbara,” jelas Chepot.
Projek bersama Ahli FiqirBekerjasama dengan kumpulan Ahli Fiqir dalam album terbaru mereka, Suara Kita, pemain gitar utama Jinbara, Anjang memberitahu bahawa naskhah baru ini menonjolkan transisi baru Jinbara.
“Menerusi lagu Zakiah, kami bergandingan dengan Ahli Fiqir bagi menonjol kelainan album ini. Lantas ia mempelbagaikan kreativiti kami untuk peminat.
“Idea untuk bergabung tercetus apabila saya berbincang dengan Samsol (Ahli Fiqir). Lagu ini merupakan material baru dan bukannya karya malar-segar yang diberi suntikan elemen segar.
“Apa yang berlegar di fikiran saya ketika itu adalah lagu yang memiliki impak klasik rock dan masih tegar pengaruhnya hingga kini,” jelas Anjang.
Berasa gementar untuk menyampaikan lagu saduran, Jinbara perlu berhati-hati dalam menjaga keaslian lagu Zakiah dikekalkan.
“Jinbara bukan kumpulan yang gemar membawa karya berkonsep saduran tetapi khusus untuk projek khas bersama Ahli Fiqir sahaja.
“Hakikatnya bila unsur rap dan hip hop Ahli Fiqir diselit dalam Zakiah, nilai dan keaslian lagu ini dipertingkatkan. Ia juga mampu mengekal melodi asalnya dan bertambah dramatik dengan sentuhan Jinbara,” tambah Anjang.
Kosmo