Archive for the ‘Ahmad Stokin’ Category

Pengalaman Baru Junainah


OlehZaharian Osman

APABILA pertama kali ditawarkan berlakon untuk filem pendek, para pelakon yang dah biasa beraksi di depan kamera pun tidak tahu apa yang boleh dijangkakan.

Pelakon mapan seperti Junainah Jumari (gambar) dan Ahmad Stokin hanya ikut arahan tetapi sukar menggambarkan hasil imej lakonannya.

Namun setelah menonton hasil filem pendek lakonan mereka, Bapaku Sazali, mereka tersenyum gembira pula.

Junainah, 50 tahun, yang diperkenalkan pada seni lakonan ketika berusia 12 tahun, menyukai peranan terbaru beliau.

Kata Junainah, yang membawa watak isteri Sazali (Ahmad Stokin): ‘Tidak sangka watak isteri kali ini merubah tanggapan saya. Saya boleh lakukan lebih daripada apa yang sering saya lakukan sebelum ini.’

Baru-baru ini, bertempat di Scape (Orchard), penerbit dan karyawan filem bebas, Kelvin Ke Jinde, menayangkan tiga filem pendek, termasuk Bapakku Sazali hasil karya dan arahan Sazali Masraji.

Pengarah muda itu diberi mandat oleh Kelvin untuk mengarah filem ini sementara Kelvin sendiri bertindak sebagai pengarah fotografi dengan menggunakan kamera definisi tinggi (high definition).

Menurut Sazali Masraji: ‘Saya amat senang dengan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh semua pelakon. Sikap mereka cukup profesional.’

Ketika filem itu ditayangkan kepada kira- kira 100 para undangan yang terdiri daripada karyawan filem bebas, para pendukung watak, kru serta para penaja dan penonton nampak tertarik dan begitu asyik memberi tumpuan.

Seorang daripada mereka, Ellen Nicol, 83 tahun, dari Australia Barat, yang kebetulan bercuti di sini, mendapati filem Bapakku Sazali kaya dengan nilai ketimuran sebuah keluarga.

Konflik bapa (lakonan Ahmad Stokin) dan anak (Shah Iskandar) amat jelas terpancar sehingga beliau begitu terkesan dengan penghayatan watak serta nilai yang diterapkan karyawan muda filem hari ini.

Menurut Junainah lagi, walaupun isu konflik bapa-anak bukanlah baru, ia tetap tidak remeh.

Bagi pelakon muda, Shah Iskandar, 26 tahun, pengalaman berlakon di samping dua pelakon mapan ini pula memberi pengalaman yang cukup berharga.

‘Saya mendapat perspektif baru mengenai dunia lakonan setelah bergandingan dengan Ahmad Stokin dan Junainah Jumari. Dorongan yang diberikan mereka akan menjadi inspirasi berterusan untuk saya memperbaiki lakonan pada masa akan datang.’

Filem pendek ini dijangka menyertai festival filem pendek di Berlin, Jerman, lewat tahun ini.

Cyberita

Mas Stokin?


Oleh Nazri Hadi Saparin

SEJAK kebelakangan ini, pelawak setempat, Ahmad Stokin, sering mendapat perhatian ramai.

Bukan kerana popularitinya sebagai pelawak, tetapi kerana wajahnya yang mirip tahanan Jemaah Islamiyah (JI), Mas Selamat Kastari, yang melarikan diri.

Memburukkan lagi keadaan, beliau, yang nama sebenarnya ialah Ahmad Mawi, turut berjalan tempang akibat pembedahan pada lutut kanannya baru-baru ini.

Mas Selamat, yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road, tempang kaki kiri semasa berlari atau berjalan pantas.

Ketika dihubungi, pelawak berusia 51 tahun itu berkata beliau sering tertawa apabila ‘terperasan ada orang yang melihatnya semacam’.

Namun, kejadian yang menimpa seorang warga Bangladesh, Encik Md Iqbal Hussain, yang mirip seperti pemimpin JI itu dan turut berjalan tempang, belum berlaku kepada Encik Ahmad.

Akhbar The New Paper semalam melaporkan Selasa lalu polis telah memeriksa flat yang ditumpang Encik Iqbal, setelah menerima panggilan daripada orang ramai yang menyangka beliau Mas Selamat.

Kata Encik Ahmad:

‘Sejauh ini belum ada yang cuba tangkap saya atau hubungi polis. Mungkin kerana tingkah laku saya tidak mencurigakan.’

Menceritakan lebih lanjut, bapa dua anak itu berkata beliau pernah dihampiri seorang lelaki tua Cina yang ingin melihatnya secara dekat.

‘Terus dia cakap, ‘Wah, muka lu macam itu Mas Selamat’. Saya cakap, ‘Ye apek, saya tahu’ dan terus jalan,’ katanya sambil tertawa.

Bagaimanapun, Encik Ahmad, yang bekerja secara bebas, berkata kejadian yang menimpanya itu menunjukkan bahawa warga Singapura prihatin dan ingin membantu mengesan pemimpin JI tersebut.

‘Tapi saya harap mereka jangan keterlaluan dan sampai pukul bantai dia, takut orang yang mereka bantai tu saya!’ tambahnya berseloroh.

Powered by Cyberita