Archive for the ‘Aishwarya Rai’ Category
Kagum Lihat Patung ‘Hidup’
Oleh Roslan Ibrahim
lann@nstp.com.my
MAHUKAH anda bergambar bersama selebriti terkemuka dunia seperti Nicole Kidman, Leonardo DiCaprio, Kate Moss, Kylie Minogue, Jenniger Lopez, Madonna, Angelina Jolie, Tom Cruise, George Clooney, Cameron Diaz dan Michael Jackson?
Atau bergambar bersama aktor James Bond, Daniel Crais yang meletup dalam filem terbarunya, Quantum of Solace?
Begitu juga bersama pemimpin dunia seperti Tony Blair, Nelson Mandela, Ronald Regan, Margaret Thatcher, Vladimir Putin atau jaguh sukan dunia seperti Muhammad Ali, Tiger Woods atau Pele.
Tidak ketinggalan wajah selebriti Bollywood seperti Salman Khan, Amitabh Bachan, Shah Rukh Khan dan Aishwarya Rai.
Inilah peluang seumur hidup atau hanya sekadar angan-angan kerana hakikatnya terlalu sukar untuk berbuat demikian.
Namun, fantasi itu mungkin menjadi realiti jika anda berkunjung ke Madame Tussauds di Marylebone Street, London.
Walaupun hanya patung, ada pasti terpegun melihat dengan mata sendiri wajah dan tubuh selebriti terkenal dunia itu.
Ketika berkunjung ke United Kingdom untuk membuat liputan Pusat Pengajian Melayu Universiti Limkokwing, London, saya berpeluang mengunjungi muzium itu.
Saya pernah mendengar mengenai muzium itu dan peluang mengunjunginya seperti bulan jatuh ke riba.
“Alamak, macam betul-betul hidup…,” bisik hati saya macam tidak percaya melihat selebriti seperti Angelina Jolie, Brad Pitt, Nicole Kidman dan Jennifer Lopez di hadapan mata.
Rakan saya, Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said juga seperti tergamam melihat patung ‘hidup’ di Madame Tussauds itu.
Saya langsung tidak menghiraukan keadaan suhu yang mencecah empat darjah selsius kerana terlalu teruja melihat dan bergambar dengan selebriti terkemuka dunia itu walaupun kami hampir tiga jam di muzium itu.
Melihat aksi Muhammad Ali, saya teringat era kegemilangan legenda tinju dunia itu yang memang becok dan sering menimbulkan kontroversi.
Begitu juga aksi The Rock, ikon gusti dunia dengan gaya bersahaja.
Saya diberitahu bahawa saiz The Rock dan lain-lain selebiriti adalah ukuran sebenar yang diambil ketika membuat patung mereka.
Melihat aksi seksi Madonna atau Angelina Jolie bersama suaminya Brad Pitts dan Julia Roberts mengimbau kembali lakonan mereka dalam filem.
Puas di muzium Madame Tussauds, kami dibawa ke kelab bola sepak Chelsea, antara kelab terkemuka dunia yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Walaupun bukan pasukan pilihan saya dalam EPL, peluang mengunjungi kelab itu memberi saya pengalaman baru merasai suasana kehangatan bola sepak Inggeris.
Yang lucunya, ketika pemandu pelancong kelab berkenaan meminta kami mengangkat tangan jika penyokong Chelsea, saya, Zainor dan rakan dari Universiti Limkokwing, J terpaksa berbuat demikian atau anda akan disorak.
Kami melawat dan diberi penerangan mengenai tempat yang digunakan pemain Chelsea seperti Ballack, Lampard da Deco di bilik persalinan sebelum beraksi di padang.
Setiap pemain mempunyai laci tempat menyimpan barangan peribadi termasuk rantai leher dan cincin selain tempat untuk mengurut.
Memang beruntung pemain berkenaan kerana selain mendapat imbuhan lumayan, mereka dilayan seperti raja dengan pelbagai keistimewaan.
Peluang berjalan di dalam terowong ke padang utama seperti aksi sebenar perlawanan apabila pemain berjalan keluar dan menerima tepukan gemuruh peminat.
Bola sepak di England adalah suatu pelaburan dan industri menguntungkan, justeru tidak hairan pemain menerima imbuhan lumayan selain kecanggihan stadium dan kelab bola sepak di negara itu.
Seminggu di London, saya turut mengunjungi beberapa tempat tumpuan pelancong, antaranya London On Eye, menaiki cruise di Sungai Thames, pusat perniagaan terkemuka Harrods, Tower Bridge dan Tower of London.
Dalam suasana sejuk yang mencengkam tulang, London seolah-olah muram menyambut Krismas berikutan kemelutan ekonomi dan kejatuhan mata wang paun sterling.
>Info
BAGAIMANA KE SANA
Hanya dua minit berjalan kaki dari stesen kereta api bawah tanah (tube) Baker Street. Stesen ini menggunakan laluan Bakerloo, Circle, Jubilee, Metropolitan dan Hammersmith & City. Ini membolehkan anda datang dengan mudah dari mana-mana destina di tengah London.
Jika menggunakan kereta api, jarak dari stesen Marylebone hanya 10 minit berjalan kaki ke Madame Tussauds.
Jika mahu menggunakan perkhidmatan bas dua tingkat, pastikan bas-bas berkenaan iaitu 13, 18, 27, 30, 74, 82, 113, 139 dan 274.
Jika menggunakan kenderaan sendiri, anda boleh mengambil laluan Marylebone. Laluan itu menyambung ke Jalan Euston dan Kings Cross.
Harian Metro
Fantasia Cinta Udd
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

XY - Ikon Lelaki meraikan cinta suci teruna dan dara. Lafaz cinta membawa ke jinjang pelamin… Cukup membahagiakan! Bersama model yang makin meniti nama di pentas peragaan tempatan dan antarabangsa, Udd Zainuddin berkongsi khayalan cinta agung, Laila-Majnun…
KATA dikota, janji dimeterai - begitulah bait yang tersimpul ketika menyambut kehadiran model, Mohamad Zainuddin atau lebih mesra dipanggil Udd Zainuddin bagi menjayakan sesi fotografi edisi perkahwinan XY - Ikon Lelaki kali ini.
Pagi yang cerah di Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur menjadi saksi transformasi gaya model kelahiran Sabak Bernam, Selangor ini.
Udd Zainuddin menyerlah dengan persalinan tuksedo rona salju lalu hanyut dalam ekspresi pesona pengantin lelaki. Lorong-lorong sibuk di kawasan segi tiga emas kota kosmopolitan ini menjadi saksi kerlipan lensa tatkala jejaka ini menyusun aksi.
Pelbagai pose bersahaja Udd membawa fikiran melayang kepada betapa indahnya cinta. Melangkah ke gerbang perkahwinan menjadi angan-angan pasangan bercinta. Tiada yang lebih membahagiakan andai hubungan cinta membawa kepada ikatan hidup berumah tangga.
Mengulas mengenai perkahwinan impian, Udd Zainuddin juga mahu membina mahligai perkahwinan mengikut acuan dan cita rasanya sendiri. Bagi model berusia 25 tahun ini, perkahwinan dalam taman menjadi idamannya meraikan tetamu dan keluarga pada hari bahagia.
“Biar tidak terlalu grand, cukup sekadar majlis itu diraikan secara sederhana bersama mereka yang penting dalam hidup saya dan pasangan kelak.
“Lebih penting, majlis itu memberi impak cukup bermakna kepada semua tetamu yang hadir,” kata Udd Zainuddin yang belum pasti bilakah masanya majlis penuh bersejarah itu akan diadakan.
Udd Zainuddin juga mengimpikan busana serba putih seperti tuksedo yang digayakan pagi itu. Nampak ‘terletak’ dan segak persalinan ilham Lord’s Tailor ini digayakan beliau. Sambil meniti lorong dan laluan sibuk di Jalan Alor dalam mencari lokasi sesuai mendapatkan mood, Udd Zainuddin terus bercerita perihal mahligai cinta idamannya.
Bersama XY - Ikon Lelaki, anak muda kacak ini menterjemah puisi cinta…
Bagaimana Udd Zainuddin melihat institusi perkahwinan?
Sebagai seorang Muslim, perkahwinan itu penting dalam mengukuh institusi rumah tangga. Hidup sebagai seorang lelaki Muslim juga lebih lengkap andai mampu hidup berdua… Memiliki isteri dan anak-anak. Namun, perkahwinan bukanlah bahan mainan kerana ia memerlukan tanggungjawab cukup besar dalam hidup.
Mengikut pandangan Udd Zainuddin, apakah antara halangan bagi seorang lelaki mendirikan rumah tangga?
Faktor utama, semestinya kedudukan kewangan dan kerjaya tidak stabil. Apatah lagi, kos sara diri yang tinggi terutama di Kuala Lumpur. Jika berpendapatan RM1,000 sebulan, memang tidak mampu untuk mendirikan rumah tangga. Jadi, secara tidak langsung menjadi trend sekarang berkahwin lewat.
Waktu sesuai bagi seorang lelaki untuk menamatkan zaman bujang?
Kalau dan diikutkan kepada trend semasa, umur 30 tahun adalah waktu ideal untuk menamatkan zaman bujang. Mungkin pada waktu itu kedudukan kewangan sudah kukuh dan kerjaya pun stabil. Tetapi ramai juga yang berkahwin pada usia 20-an. Jangan sampai melebihi usia 35 tahun.
Impian perkahwinan Udd Zainuddin sendiri bagaimana?
Seperti ramai lelaki lain, saya juga impikan melangsungkan perkahwinan mengikut konsep dalam taman dengan rona putih sebagai tema keseluruhan. Ia akan dihadiri tetamu merangkumi teman rapat dan keluarga. Lebih manis, perkahwinan ini diadakan di pulau. Biar sederhana tetapi menarik!
Berapa lama agaknya tempoh sesuai merancang perkahwinan?
Bagi saya, cukup sekadar tiga bulan. Pastikan dalam tempoh itu pasangan pengantin ada membuat perancangan yang tepat untuk memastikan majlis yang dirancang berjalan lancar.
Bagaimana pula dengan Udd Zainuddin. Bilakah detik untuk menamatkan zaman bujang?
Mungkin pada usia awal 30-an. Sekarang ini baru berusia 25 tahun (tergelak). Banyak lagi masa!
Lokasi bulan madu pilihan Udd Zainuddin?
Saya menggemari pantai. Ini kerana saya suka cahaya matahari dan boleh berjemur bersama-sama. Sangat indah andai dapat menikmati bulan madu di pulau persendirian untuk suasana lebih romantik.
Terangkan personaliti diri anda?
Saya seorang yang sangat simple tetapi bekerja keras. Suka menyahut cabaran dalam apa juga situasi termasuklah dalam bidang modelling.
Wanita mengikut kaca mata Udd Zainuddin?
Tidak lengkap hidup seorang lelaki tanpa wanita di sisi. Mereka hadir sebagai penyeri hidup yang membantu, memberi dorongan dan hidup suka duka bersama.
Adakah Udd Zainuddin seorang yang romantik?
Saya tidak suka menunjukkan sifat romantik. Ia hadir sesekali (tergelak). Bagi saya, tidak perlulah menunjukkan sifat romantik keterlaluan. Cara kita melayani pasangan juga sudah wajar dilihat romantik.
Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya Udd sebagai model?
Saya hanya terbabit secara profesional sejak dua tahun lalu. Bermula dengan pertunjukan fesyen batik pada 2005, pelbagai tawaran diterima selepas itu. Mungkin ramai melihat kerjaya sebagai model diulit glam dan kemasyhuran, saya pula hanya melihat dari sudut profesional dan wang.
Siapa yang banyak mendorong dalam dunia modelling?
Saya tidak mendapat latihan secara profesional. Semua dilakukan sendiri dan mendapat tunjuk ajar daripada angkatan model terkenal seperti Mazen, Fahmi, Tengku Azura, Tinie dan ramai lagi.
Senario model di Malaysia?
Ramai pelanggan inginkan model antarabangsa berbanding model tempatan. Berbanding di luar negara wajah Asia lebih menyerlah. Sementara itu, bayaran untuk model tempatan juga jauh lebih rendah berbanding khidmat sama diberikan di luar negara. Tidak perlu jauh, di Singapura saja sudah jauh lebih lumayan.
Biodata
Nama: Mohamad Zainuddin
Nama komersial: Udd Zainuddin
Umur: 25 tahun
Tarikh lahir: 17 Ogos 1983
Tempat lahir: Sabak Bernam, Selangor
Tinggi: 184 sentimeter
Berat: 73 kilogram
Saiz baju: M/L
Saiz kasut: 10
Udd Zainuddin mengenai…
Model idola - Marcus Schenkenberg
Tiga wanita pilihan - Angelina Jolie, Sammi Cheng, Aishwarya Rai
Solekan : Vicki Tang (menggunakan solekan Maybelline)
Pakaian : Lord’s Tailor (The Ampwalk (Ampang Walk) 03 - 2166 1918
Berita Harian