Archive for the ‘Akademi Fantasia’ Category

Tak Ikut Darah Muda


Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Pengalaman membuatkan Estranged semakin teliti untuk rakamkan lagu baru

INDUSTRI muzik menyaksikan satu revolusi apabila kumpulan ‘underground’ yang sebelum ini bergerak secara bersendirian kini memilih untuk ke pasaran arus perdana.

Langkah yang diatur kebanyakan kumpulan ‘underground’ ternyata satu keputusan bijak apabila kehadiran mereka diterima lantaran karya segar dan berbeza.

Sambutan positif itu juga menyebabkan kumpulan yang selama ini lebih selesa membawakan lagu Inggeris, beralih arah dengan menghasilkan lagu bahasa Melayu sekali gus memberi cabaran kepada artis rakaman.

Percubaan berani mereka nyata berbaloi seperti mana yang berlaku kepada kumpulan Estranged. Kumpulan yang dianggotai Richael L Gimbang (Rich), Solihuddin Hormat (Din), Azwin Andy Abdul Malik (Andy) dan Noor Hanafi Noor Hadi (Hanafi) memartabatkan aliran muzik underground lain apabila karya mereka Itu Kamu merangkul juara keseluruhan dan kategori pop rock pada Anugerah Juara Lagu ke 22 yang lalu.

Kejayaan manis sekali lagi dicapai apabila Itu Kamu ditabalkan sebagai Lagu Paling Popular pada Anugerah Planet Muzik 2008. Kejayaan demi kejayaan diraih menjadikan kumpulan yang ditubuhkan pada 2001 itu lebih bersemangat menghasilkan karya lebih mantap.

Akui mereka, In Hating Memory album yang belum cukup matang. Manakala Remain Unknown, album kedua mereka pula menyaksikan kematangan Estranged setelah pelbagai pengalaman ditimba.

“Estranged kini lebih profesional. Pengalaman menjadikan kami lebih teliti. In Hating Memory dihasilkan tergesa-gesa kerana mengikutkan darah muda, kebanyakan lagu dalam album itu dihasilkan ketika kami jamming.

“Masih lagi menyuntik unsur muzik yang sedikit keras, kali ini Estranged memastikan setiap lagu mempunyai konsep. Banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan anggota Estranged dan juga keadaan sekeliling memberi inspirasi kepada kami untuk menghasilkan lagu yang berkonsep.

“Dulu kami fikir nak main muzik saja, ikut darah muda. Tapi kali ini kami mahu hasilkan muzik yang lebih baik, kami buat lagu Melayu bukan untuk raih keuntungan tapi Estranged mahu lahirkan album yang ada jiwa.


PEMBABITAN Estranged dalam dunia muzik semakin mendapat pengiktirafan.

“Kami lahirkan lagu Melayu juga disebabkan permintaan daripada pendengar yang mahu dengar lagu Melayu yang terkandung dalam album kami,” kata mereka yang menanti hampir setahun untuk menyaksikan kehadiran Remain Unknown yang dihasilkan dengan tanggungan sendiri.

Biarpun lagu bahasa Melayu daripada Estranged sering kali muncul hit seperti Itu Kamu dan terbaru Aurora serta Yang Pernah, tetapi ia belum cukup membuatkan mereka melupakan lagu bahasa Inggeris.

Tetap utamakan album sendiri

KATA Estranged, mereka mahu penerimaan peminat yang seimbang. Besar visi empat anak muda ini untuk melihat nama Estranged menjengah pasaran antarabangsa.

disebabkan itu juga, Estranged terpaksa menolak tawaran syarikat tempatan. Mereka bimbang seandainya terikat satu hari nanti, impian untuk melangkah jauh terbantut. Apatah lagi sekiranya berdepan masalah dengan kontrak.

“Jika mereka menjanjikan kebaikan untuk kedua-dua belah pihak, kami terima. Bagaimanapun buat masa ini, kami lebih selesa tidak terikat dengan siapa-siapa. Sekiranya ada tawaran dari syarikat rakaman dari luar negara, kami akan terima. Estranged bukan berlagak tetapi ia secara tidak langsung mendekatkan impian kami untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa,” kata mereka.

Remain Unknown dihasilkan anggota Estranged sepenuhnya tanpa khidmat komposer lain. Album itu kata mereka tidak berpaksikan cinta semata-mata tetapi Remain Unknown menyaksikan perjuangan mereka terhadap pemanasan global serta masalah sosial yang melanda masyarakat termasuk kes kehilangan kanak-kanak. Ia memuatkan sebanyak 13 buah lagu iaitu lima Melayu dan lapan Inggeris.

Mesej yang ingin disampaikan Estranged jelas tergambar di kulit album mereka. Wajah warga tua orang asli dari suku Temuan yang dirakamkan di Kuala Kubu Baru itu menunjukkan betapa seriusnya mereka dalam memperjuangkan mengenai alam sekitar.

Kata mereka, Remain Unknown bermaksud, banyak perkara yang masih tidak diketahui sebagaimana suku Temuan yang masih lagi wujud di Kuala Kubu Baru.

Mereka ini adalah ikon yang masih lagi menghargai alam sekitar.

Kewibawaan Estranged menghasilkan lagu Melayu menyebabkan beberapa penyanyi meminta mereka menyumbangkan lagu. Bagaimanapun kumpulan itu terpaksa menolak. Mereka mahu menumpukan perhatian kepada album sendiri dulu sebelum memikirkan mengenai orang lain.

INFO: Estranged

Muncul dengan album pertama pada 2005 berjudul In Hating Memory. Estranged kemudian kemudian tampil dengan album pek semula pada 2007 dan dari situ nama mereka selepas lagu Itu Kamu sering berkumandang di radio.

Pada tahun 2008 mereka tampil dengan album Remain Unknown. Dua lagu mereka, Yang Pernah dan Aurora semakin mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Sebelum dikenali seperti sekarang, Estranged bergerak secara underground sejak tahun 2001. Nama mereka mula dapat perhatian apabila Itu Kamu dipilih sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu 2007.

Estranged turut mencatat beberapa kejayaan lain. Mereka menerima pengiktirafan dalam Anugerah Planet Muzik 2008 untuk kategori Lagu Paling Popular (Itu Kamu) dan Kumpulan Paling Popular. Mereka juga dipilih sebagai Artis Inggeris Tempatan Terbaik pada Anugerah Era dan meraih kategori Video Terbaik dan Artis Rock Terbaik pada radio hitz.fm Malaysian English Top 10.

Estranged kini dianggotai Richael Lawrence Gimbang atau Rich (vokal), Solihuddin Hormat (bass), Nor Hanafi (gitar utama) dan Azwin Andy Malik (dram). Rich adalah antara peserta yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-3 yang dimenangi oleh Mawi.

Berita Harian

2009 Diharap Lebih Baik


Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap
ESOK, lembaran 2009 akan terbuka untuk mengisi episod suka dan duka sepanjang tahun setiap insan. Sama ada orang biasa, golongan kenamaan, profesional serta artis, tentunya ada menyemat azam untuk dicapai. Cuma, tidak tahu berjaya atau sebaliknya.

Apapun, tidak lengkap kemunculan tahun baru tanpa azam baru. Justeru, tinjauan dilakukan terhadap beberapa artis dan personaliti televisyen jelas menunjukkan azam penting untuk memastikan sasaran dalam hidup tercapai terutama, terhadap karier masing-masing.

Bagi pelakon Rusdi Ramli, dia mengharapkan 2009 lebih memajukan syarikatnya, Filmworks Sdn Bhd yang ditubuhkan bersama isteri, Sharon Anne Paul Abdullah. Bahkan, katanya dia juga mengharapkan kehidupan rumah tangga kekal bahagia.

“Saya mengharapkan kegembiraan dikecapi ini berpanjangan sampai bila-bila. Ini termasuk syarikat kami bertambah maju. Selebihnya, sukar hendak dikatakan kerana saya sebenarnya jarang buat azam. Bukan tidak percaya tetapi takut gagal mencapainya.

“Jadi, selama ini saya senang menyerahkan segalanya pada ketentuan Tuhan saja. Sebab itu, apabila ada yang bertanya mengenai azam, tidak tahu apa perlu saya katakan untuk menjawabnya,” kata pelakon filem Waris jari Hantu yang berusia 38 tahun ini.

Pemenang tempat kedua program realiti TV, My Starz LG di TV3, Badri Ibrahim berkata, dia berazam impiannya untuk muncul dengan album solo pertama termakbul pada 2009. Menurutnya, perancangan sudah dibuat pada 2008 dan biarlah pelaksanaannya pada tahun baru.

Selain itu, katanya, dia juga mahu gigih bekerja untuk memastikan karier diceburinya berjaya. Malah, Badri, 28, berkata dia tidak menanam azam untuk tahun baru semata-mata tetapi setiap masa. Ia berikutan azam penting sebagai sasaran kejayaan.

Pengacara dan penerbit Malaysia Hari Ini (MHI), Ahmad Fedtri Yahya pula berkata, setiap tahun memang dia tidak ketinggalan membuat azam. Bukan itu saja, sudah menjadi kemestian pada dirinya untuk mencapai azam itu seperti yang diimpikan.

“Sebenarnya, setiap bulan saya akan pastikan apa saja yang diimpikan akan berjaya. Justeru, apabila ada azam, baru kerja seronok kerana ada matlamat ingin dicapai. Namun, bagi 2009, saya mahu hasilkan lebih banyak karya lagu dan mendalami bahasa.

“Saya bercadang mengikuti kelas bahasa Mandarin dan Thailand untuk lebih maju dalam karier dan kehidupan. Lagipun, dua bahasa ini memang saya suka dan minat. Selain itu, saya turut menyimpan hasrat terbabit dalam penulisan buku,” katanya.

Berusia 27 tahun, pemuda dari Pantai Remis, Perak ini berkata, setiap tahun dia memang sentiasa membuat sasaran. Katanya, ia penting untuk memotivasikan diri ke tahap lebih baik. Bahkan, setakat ini, Ahmad Fedtri bersyukur dengan apa diperolehnya.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon Farahdhiya Mohd Amin mengakui sama ada termakbul atau tidak azam dibuatnya, dia menerimanya dengan hati terbuka. Namun, katanya, dia lega apabila setiap tahun menanam azam dalam diri untuk terus berjaya.

“Justeru, apabila ada individu yang tidak membuat azam, saya berasakan mereka tiada visi dalam hidup. Sebagai manusia biasa, siapa yang pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, azam umpama mahu mengubah diri menjadi baik.

“Apapun, 2008 membawa tuah kepada saya apabila karier lakonan makin menyerlah dan banyak tawaran diterima. Namun, dalam masa sama, saya tidak pernah melupakan minat pada nyanyian. Sehubungan itu, 2009 saya akan muncul dengan album baru,” katanya.

Kata Farahdhiya, 24, dia mengharapkan albumnya kali ini diterima baik peminat. Walaupun, sibuk dengan penggambaran drama tetapi gadis manis ini berjanji turut memberi fokus kepada albumnya. Apa yang pasti, dua kariernya berkembang baik.

Bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Nur Heliza Helmi berkata biarpun tidak 100 peratus azamnya menjadi kenyataan setiap tahun, dia enggan berputus asa. Katanya, jika tahun terdahulu tidak berjaya, apa salahnya ia (azam) dibawa ke tahun berikutnya.

“Lebih-lebih lagi, saya seorang pelajar. Justeru, satu kewajipan pada diri ini menyemat azam untuk melonjakkan semangat belajar bersungguh-sungguh. Bagaimanapun, buat masa ini saya puas hati kerana karier dan pelajaran maju seiring,” katanya.

Kata gadis berusia 22 tahun yang juga mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains, Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini, selagi dia bergelar pelajar, setiap hari pasti berazam. Terutama, apabila menjelang peperiksaan kerana mahu lulus cemerlang.

Pengacara dan penyanyi, Rafidah Ibrahim atau Fida berkata, menyimpan azam untuk kecemerlangan diri banyak membantunya untuk meningkatkan usaha. Malah, akuinya menerusi azam itu, dia berjaya memperoleh pengalaman dalam hidup.

Harian Metro