Archive for the ‘Ako Mustapha’ Category
Ako Temu Jodoh Orang Sabah
SETELAH dua kali gagal dalam percintaan, pelakon dari seberang, Ako Mustapha, 37 tahun, akhirnya bertemu jodoh yang dinantikannya.
Sebelum ini Ako pernah menjalin hubungan cinta dengan seorang gadis manis bernama Halina Ali, yang juga pengurus peribadinya, lapor Harian Metro, namun hubungan mereka putus di tengah jalan.
Kemudian, beliau dihebohkan bakal sehidup semati dengan pelakon popular, Zuliana Abdul Aziz atau Jue, 25 tahun. Tetapi sekali lagi jalinan ini tidak sampai ke jenjang pelamin.
Bagaimanapun, kini, selepas menempuh cabaran awal gagal dalam percintaan, Ako akhirnya menemui pasangan yang sehati sejiwa dengannya. Beliau ialah seorang gadis Bajau dari Sandakan, Sabah, Kartina Abdullah atau Tina, 28 tahun.
Menurut Ako beliau kini menghitung hari untuk diijabkabulkan dengan wanita pujaannya itu selepas beberapa kali kecundang dalam percintaan.
‘Mengikut perancangan asal, majlis perkahwinan kami sepatutnya dilangsungkan Oktober lalu, tetapi disebabkan jadual kerja saya yang padat di samping tidak mempunyai masa sesuai, maka kami terpaksa tunda kepada awal tahun depan,’ ujar Ako.
Cyberita
Dua Drama Kanak-Kanak Di Astro Ceria
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

BABAK menarik dalam drama
Kapten Boleh yang dibintangi
Ako Mustapha.
ASTRO meneruskan kegemilangan dan tradisinya untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya dengan membariskan program bermutu menerusi pelbagai salurannya. Astro Ceria, saluran yang sinonim dengan penawaran rancangan kanak-kanak terbaik dari dalam dan luar negara untuk tontonan istimewa seisi keluarga.
Pada bulan ini, saluran yang melaungkan slogan ’Untuk Kita Aje’, Astro Ceria menceriakan setiap hari Sabtu dan Ahad dengan dua drama bersiri untuk tontonan istimewa kanak-kanak dan seisi keluarga yang berjudul Hikayat Putera Shazlan (musim kedua) dan Kapten Boleh.
Kapten Boleh mengisahkan tentang Awie, seorang kanak-kanak yang dilahirkan dengan memiliki pelbagai kuasa luar biasa yang berubah-ubah pada setiap masa. Awie pula ialah seorang yang baik hati tetapi keletahnya yang cuai memaksanya untuk menjadi superhero yang menyelamatkan pelbagai bencana dunia dengan bantuan tiga sahabatnya; Aiman, Fatin & Ijam. Keadaan semasa selalu dikucar-kacirkan oleh Profesor Mamat yang sentiasa menentang dan ingin menakluki dunia.
Bagi menjalani kehidupan yang normal, Awie memandu teksi untuk mencari nafkah selain menyelamatkan dunia dengan kuasa luar biasanya.
Drama bersiri Kapten Boleh ini padat dengan aksi mendebarkan dan melucukan terutama apabila kuasa Awie akan hilang dengan tidak semena-mena apabila mendengar perkataan ‘Alamak!’. Tambah melucukan lagi apabila Awie sering kali menggunakan khidmat nasihat dari rakan-rakannya yang jauh lebih muda mengenai penggunaan kuasanya.
Kapten Boleh dibintangi oleh Ako Mustapha sebagai Awie, Adi Iskandar sebagai Aiman, Puteri Khareeza sebagai Fatin, Muhammad Daniel sebagai Ijam, Azman Mohd Hassan sebagai Profesor Mamat dan Alfred Loh sebagai Aswadi.
Sementara itu, drama bersiri genre fantasi kanak-kanak, Hikayat Putera Shazlan kembali lagi dengan musim keduanya menyusuri kisah anak yatim yang terpaksa tinggal bersama keluarga ibu saudaranya yang jahat di ibu kota. Kehidupan Shazlan yang sukar bersama keluarga ibu saudaranya diubati apabila dia ditemani dengan sebuah Buku Ajaib yang berupaya menyelesaikan segala permasalahannya dengan kemunculan objek ajaib tertentu.
Kesinambungan dari musim pertama drama bersiri ini bakal menyaksikan masalah Shazlan akan bertambah dua kali ganda apabila sepasang kembar, Tiara dan Taufiq yang berpindah ke sebelah rumah Shazlan dan ini sebenarnya merumitkan keadaan.
Dalam setiap episod, penonton dapat menyaksikan bagaimana Shazlan menghadapi pelbagai situasi yang berlainan dengan bantuan buku ajaib walaupun objek ajaib yang dijelmakan oleh buku itu tidak pernah dapat menyelesaikan permasalahannya tetapi membimbingnya.
Hikayat Putera Shazlan dibintangi oleh Shafimie sebagai Shazlan, Abby Abadi yang memainkan watak ibu saudaranya yang berhati busuk dan tidak mempunyai cita rasa dalam fesyen bernama Mak Som.
Drama bersiri ini diserikan lagi dengan kemunculan Razak Ahmad sebagai Pak Tam, bapa saudaranya yang pemalas, Farhana Qismina sebagai Fasha, sepupunya yang manja dan tidak bertimbang rasa serta tiga lagi watak sebagai rakan-rakan karib Shazlan iaitu Satiya (Nasirudin Masir), Lydia (Ili Mariah Mohd Sharif) serta Aaron (Chan Qwi Teng).
Jangan lupa untuk menyaksikan dua buah drama bersiri kanak-kanak hebat ini eksklusif di Astro Ceria (saluran 611) pada jam 11.30 pagi, setiap Sabtu untuk Kapten Boleh (bermula 22 November) dan Ahad untuk Hikayat Putera Shazlan (bermula 16 November).
Berita Harian