Archive for the ‘Alias Kadir’ Category
Dari Lawak Ke Dakwah
Osman Kong
ubah haluan dari anak seni
ke bidang agama
OlehKamali Hudi
DARIPADA seni hiburan kepada dunia dakwah adalah satu perubahan gaya hidup yang besar tetapi itulah yang dilalui oleh pelakon dan pelawak tempatan, Syed Osman Alsagoff atau lebih dikenali sebagai Osman Kong, 52 tahun.
Beliau kini sibuk mengikuti kursus diploma pengurusan dakwah di dalam negeri.
Perubahan diri Osman daripada seorang anak seni kepada penggiat dakwah sebenarnya berputik sejak beliau mencecah usia 40 tahun.
Ini memandangkan beberapa anggota keluarganya aktif dalam bidang dakwah seperti Ustaz Syed Nassir dan Allahyarham Ustaz Amir Hamzah, katanya.
Lantas, hatinya turut terbuka untuk sama-sama bergiat dalam dakwah di masjid-masjid.
Beliau juga mengikuti kursus pengurusan jenazah dan pengebumian di beberapa buah masjid dan melakukan kerja-kerja memandikan jenazah dan urusan pengebumian sejak sembilan tahun lalu.
Menurut Osman, beliau bersyukur dapat mengubah kegiatannya yang memberi peluang kepadanya bertemu lebih ramai anggota masyarakat dengan pelbagai kisah kehidupan mereka.
‘Ini membantu mengukuhkan lagi iman saya,’ katanya.
Osman mula bergiat dalam dunia hiburan Melayu sebagai jurugambar dan wartawan bebas untuk majalah bulanan seperti Panorama dan Mastika Filem pada tahun 1970-an.
Sejak bergiat dalam lapangan itu dalam usia 20-an tahun, beliau bercampur dengan ramai penggiat seni hiburan dan ini mendorongnya untuk sama-sama menceburi bidang seni.
Panggilan Osman Kong datangnya daripada sebutan ‘kong’ yang biasa digunakan oleh penggemar burung untuk menggambarkan burung mereka yang ‘bagus’.
Bermula dengan penyertaan dalam peraduan lawak jenaka pada awal 1980-an dengan bimbingan Allahyarham pelawak Mahmood Kicap, beliau kemudian menyertai peraduan drama pentas anjuran Sriwana di Pusat Drama di Fort Canning.
Dalam peraduan itu, beliau dipilih sebagai pelakon pembantu terbaik, sekali gus membuka peluang baginya berlakon dalam teater komedi bersama pelakon-pelakon lain.
Lakonannya mendapat perhatian daripada penerbit televisyen dan beliau kemudian diundang berlakon dalam drama-drama televisyen pula.
Pelibatannya dalam drama komedi seperti Ekonotenat dan bersama Group Cair terdiri daripada Yusof Bai, Alias Kadir, Allahyarham Ishak Amat dan beberapa orang lagi, meluaskan lagi peluangnya dalam bidang lakonan sehingga beliau mendapat tawaran berlakon dalam drama Malaysia seperti Abang Long di samping Salleh Yaakob.
Mengenai kenangan manisnya dalam bidang hiburan, Osman berkata ia adalah ketika beliau mendapat tawaran berlakon dalam teater komedi Rappers Tua di televisyen.
Cyberita
Konsert Hanafie Hebat, Bertenaga
DENGAR-DENGAR
Konsert Hanafie hebat, bertenaga
By Jo Santai
TERNYATA ‘Masih Ada Rindu’ di kalangan para peminat penyanyi mapan, Hanafie Warren, terhadap lagu-lagu nyanyian beliau.
Segala persoalan sama ada Hanafie masih diminati dan dirindui peminat terjawab apabila penyanyi bersuara lunak itu beraksi dalam konsert di Top 5 Orchard Towers pada 5 Julai lalu.
Kira-kira 400 penonton datang menyaksikan konsert tiga jam dan pastinya berpuas hati kerana disajikan dengan persembahan serta nyanyian daripada vokal Hanafie Warren yang masih mantap. Tentu sekali, lagu popularnya, Masih Ada Rindu, didendangkan.
Sebanyak 18 lagu yang di persembahkan termasuk lagu-lagu lama dan daripada album terbaru, Eufonu, serta beberapa lagu Inggeris rok klasik.
‘Terus-terang mulanya saya berasa gementar. Tetapi setelah menyanyikan lagu pembukaan dan menerima reaksi hangat orang ramai, saya mula selesa.
‘Permainan bertenaga daripada ahli muzik yang mengiringi saya juga amat membantu menaikkan semangat saya,’ cerita Hanafie ketika ditemui di akhir konsert.
Beliau dan para pemuzik pengiringnya mengambil masa tiga bulan berlatih untuk memantapkan konsep persembahan.
Perasaan gementar itu menjadi ghairah sehingga Hanafie sendiri mengakui 18 lagu yang disiapkan tidak mencukupi untuk memuaskan hati penonton. Apatah lagi beliau melihat ramai peminatnya masih mengingati lirik lagu-lagu lamanya.
‘Saya rasa berbesar hati kerana peminat tak lupa lagu-lagu popular saya. Sokongan mereka menguatkan semangat saya untuk teruskan perjuangan dalam bidang muzik.
‘Saya juga ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada pemuzik pada malam konsert saya iaitu Leng, Najib, Bo dan Ajib kerana membuat konsert malam ini lebih hebat dan bertenaga,’ tambahnya lagi.
Konsert anjuran MCC Events & Production itu turut mengetengahkan artis-artis undangan seperti kumpulan Inka, Alias Kadir dan Mazni.
Hanafie, yang sempat menjadi juri Anugerah Band peringkat separuh akhir, turut memberi komen mengenai bakat-bakat tempatan yang berjaya dicungkil menerusi pertandingan yang baru berakhir itu.
‘Saya harap bakat kumpulan-kumpulan ini tidak dipersia-siakan dan dilupakan setelah rancangan Anugerah Band berakhir. Penulis difahamkan Hanafie Warren dan pihak MCC & Production juga dalam perangkaan untuk mengadakan konsert di Pulau Pangkor, Perak; Batam dan beberapa daerah di Indonesia serta memenuhi acara sempena Hari Raya iaitu Beraya Bersama Rockers & Classic Rock II.
Cyberita