Archive for the ‘Aliff Aziz’ Category

Minda: Evolusi Industri Muzik


Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Discovery Channel menerusi laporan khas menyatakan industri muzik dunia bakal berubah apabila aplikasi teknologi perkomputeran dan telefon bimbit digunakan sepenuhnya sebagai saluran utama bagi memasarkan lagu dihasilkan komposer.

Perkara ini dilakukan syarikat pengeluar komputer riba terkenal Apple menerusi aplikasi I-Tunes yang dibangunkan dan dipasarkan dalam tiga bentuk iaitu iPods, Macs dan iPhones.

Ternyata usaha dilakukan lima tahun lalu membuahkan hasil lumayan apabila Apple mencatat jualan mencecah RM5 bilion pada tahun pertama menerusi aplikasi dihasilkan.

Pendapatan diperoleh Apple menerusi pasaran muzik digital membolehkan royalti tinggi diagihkan kepada pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi.

Untuk tahun ini, Apple dijangka mencatat jualan lebih tinggi menerusi I-Tunes sehingga mencecah RM43 bilion sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada keuntungan syarikat pengeluar produk pengkomputeran itu.

Di Malaysia, pada saat kebanyakan syarikat rakaman mahupun penggiat industri muzik mengeluh membabitkan pasaran fizikal seperti album dan cakera padat tidak mendapat sambutan, penjualan lagu secara digital iaitu menerusi muat turun ke telefon bimbit dan internet terus mencatat peningkatan.

Sebelum ini, kebanyakan penggiat industri muzik bertelagah membabitkan kenyataan industri muzik tempatan semakin tenat dan diburukkan lagi dengan masalah cetak rompak.

Namun, tanpa disedari sebenarnya pasaran muzik menerusi muat turun dan internet mula memberikan keuntungan kepada syarikat rakaman dan penggiatnya dengan jualan keseluruhan RM20 juta sepanjang 2008.

Jumlah itu mewakili 25 peratus daripada pasaran besar industri.

Malah, kalau dihitung daripada penjualan single yang mencecah 450,000 unit menerusi muat turun dengan harga RM3 setiap satu, ia lebih menguntungkan daripada menjual album atau cakera padat dengan harga RM20 atau RM30 sekeping.

Sekiranya teknologi itu diguna pakai sepenuhnya, syarikat rakaman tempatan terhadap lagu dipasarkan, dalam masa lima tahun dari sekarang tidak mustahil kenyataan Pengerusi Majlis Muzik Malaysia (MMM), Datuk A Rahman Hassan, bahawa industri muzik mampu menjadi penyumbang ekonomi terbesar negara dengan pendapatan mencecah RM300 juta dalam masa tiga tahun bakal menjadi kenyataan.

Perkara itu dinyatakan Rahman ketika membentangkan kertas kerja berjudul Kerjaya Muzik Penjana Ekonomi di Seminar Seni Muzik Kebangsaan di Akademi Seni, Warisan dan Budaya (Aswara), Julai lalu.

Ia turut dipersetujui Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Sandy Monteiro, dengan menjelaskan pada saat Amerika Syarikat dan Eropah mencatat keuntungan besar menerusi teknologi itu, Malaysia masih lagi terkial-kial untuk menerimanya.

Bagaimanapun Sandy, sewaktu ditemui menjelaskan lima tahun lalu, walaupun masih baru, pasaran muzik digital sudah menyumbang kepada industri dua peratus.

Dalam tempoh itu, setiap tahun hingga sekarang, ia meningkat dengan pantas 15 hingga 30 peratus.

“Saya sudah mengenali teknologi itu lima tahun lalu sewaktu mengikuti seminar diadakan Sound Buzz di Singapura atas jemputan Creative Technologi yang menghasilkan alat sistem bunyi Zen.

“Dalam seminar itu, mereka menjangkakan dalam masa lapan tahun lagi, pasaran muzik akan berubah sepenuhnya dengan tiada jualan secara fizikal. Ini dianggap normal kerana kalau kita perhatikan setiap 25 tahun pasaran industri muzik akan berubah mengikut pengaruh perkembangan teknologi.

“Mengambil contoh, pada 60-an dulu kita ada piring hitam besar, kemudian kaset dan cakera padat dan sekarang pasaran melalui internet dan muat turun akan mengambil alih bentuk pasaran.

“Masalahnya dulu apabila balik ke Malaysia dan menerangkan kepada ahli mereka susah untuk menerimanya dengan alasan keberkesanan penggunaannya susah untuk dibuktikan dalam industri muzik tempatan.

“Saya faham dengan apa yang dinyatakan mereka kerana ada orang berlari pantas, ada orang suka berjalan dan tidak kurang juga merangkak. Tetapi kejayaan diraih Apple menerusi aplikasi dibangunkan saya rasa sudah berjaya membuka mata semua pihak,” katanya.

Begitupun, apa yang menjadi persoalan sekarang bagaimana RIM yang mewakili syarikat dan penggiat industri muzik untuk mengekang rakam rompak menerusi internet atau kaedah muat turun kerana ia lebih mudah dilakukan tanpa ada sebarang sekatan.

Selain itu, adakah RIM mempunyai undang-undang hak cipta membabitkan ‘media baru’ itu?

“Semua karya muzik dihasilkan dilindungi badan bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan kita mempunyai undang-undang untuknya.

“RIM sendiri ada pegawai khas yang diberi latihan agar mereka faham apa itu digital dan langkah yang boleh diambil agar rakam rompak menerusi ‘media baru’ itu dapat dibendung.

“Kami mempunyai alat khas untuk mengesan sekali gus menutup laman sesawang yang cuba menjual karya muzik secara haram,” katanya.

Pembangunan industri muzik bersama teknologi maklumat itu dipercayai akan mengembalikan dunia muzik tempatan pada tempatnya. Malah, kini artis tidak perlu menunggu menghasilkan album, sebaliknya dengan satu lagu yang baik mereka sudah mampu mencatatkan keuntungan, sekali gus memastikan kelangsungan kerjaya dalam bidang seni.

“Jika sekarang 10 album payah hendak dihasilkan tetapi apabila teknologi itu sudah digunakan sepenuhnya, kita akan lihat dalam setahun akan lahir 40 hingga 50 karyawan baru. Ini membuka ruang lebih besar kepada masyarakat untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Sony Music (M) Sdn Bhd, Adrian Lim mengakui sepanjang 2008 pendapatan terbesar diperoleh syarikat rakaman itu menerusi pasaran digital yang menguasai 30 peratus pendapatan.

Jualan secara fizikal iaitu album dan cakera padat tidak berganjak dengan menyumbang pendapatan 15 hingga 18 peratus kepada Sony Music.

“Saya akui dalam tempoh lima tahun ini, jualan karya muzik menerusi digital meningkat dengan begitu pantas. Sehinggakan tumpuan harus diberikan terhadapnya dan menubuhkan satu jabatan khas untuk menanganinya,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut, kata Adrian, kutipan tertinggi diperoleh artisnya, Aliff Aziz menerusi lagu Sayang-Sayang yang dijual 450,000 unit single.

“Penjualan single lebih menguntungkan berbanding album kerana daripada RM3 diperoleh, seringgit akan diserahkan kepada syarikat telekomunikasi, seringgit untuk syarikat rakaman dan selebihnya royalti untuk komposer, penulis lirik dan penyanyi.

“Pada syarikat rakaman 100,000 unit single, keuntungan diperoleh menyamai 20,000 unit jualan cakera padat. Bayangkan kalau lima lagu dimuatkan dalam album jualannya menerusi digital mencecah satu juta, ia memberikan pulangan sangat baik kepada syarikat.

“Bagaimanapun jualan menerusi media baru itu, muat turun ke telefon bimbit yang kebanyakannya dikendalikan syarikat telekomunikasi terkemuka menjadi penyumbang terbesar dan selebihnya menerusi i-Tunes dan laman sesawang,” katanya.

Menyentuh aspek keselamatan, Adrian berkata, ia tidak akan berlaku kerana syarikat telekomunikasi mempunyai alat khas untuk mengelak daripada berlakunya cetak rompak atau penipuan dan setiap pembelian turut direkodkan.

Beliau yakin industri muzik tempatan akan kembali mengulangi zaman kegemilangan seperti dikecapi syarikat rakaman sekitar 90-an menerusi teknologi baru itu memandangkan sudah menjadi budaya hidup masyarakat dunia, termasuk di Malaysia.

Harian Metro

Keringat 20 Tahun Berbaloi


Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
POPULARITI yang diraih golongan artis mungkin berbeza daripada penulis lirik dan komposer lagu yang boleh dikategorikan individu di belakang tadbir. Malah, tidak ramai yang menyedari tanpa mereka, lirik lagu dengan susunan melodi menarik pasti sukar dihasilkan walaupun persembahan lagu membabitkan penyanyi terkenal.

Justeru, bagi mengiktiraf karya mereka, Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Berhad (MACP) menganjurkan Majlis Malam Mesra MACP bertempat di Hotel One World Kuala Lumpur, malam Jumaat lalu.

Menerusi majlis itu, sebanyak 11 anugerah disampaikan kepada karyawan seni bagi mengiktiraf sumbangan dan kebolehan mereka dalam mencipta lagu, selain mengharumkan dunia hiburan tanah air.

Pemenang bagi semua kategori dipilih berdasarkan keputusan pengagihan MACP pada Julai lalu kecuali penerima Anugerah Pencipta Muda Berpotensi (berusia 25 tahun ke bawah) dan Anugerah Nadi Cipta yang dipilih Lembaga Pengarah MACP.

Pemenang Anugerah Nadi Cipta, Hashim Said atau S Atan, 59, cukup terharu apabila dianugerahkan pengiktirafan itu lebih-lebih lagi selepas dua dekad terbabit dalam bidang seni malah mengakui sumbangan dan penat lelah karyawan seni dihargai menerusi majlis anugerah seperti itu.

“Jika dulu ketika peringkat awal pembabitan saya dalam bidang ini, memang tiada anugerah dan tiada individu yang mengiktiraf hasil kerja seni ini.

“Saya bersyukur kerana sejak terbabit dalam bidang ini bermula 1972 dan menghasilkan kira-kira 1,000 lagu, masyarakat semakin mengiktiraf sumbangan komposer.

“Memang saya akui biasanya orang akan kenal artis dulu daripada komposer kecuali jika penyampai radio memaklumkan kepada pendengar nama komposer lagu terbabit atau membeli album di kedai, baru orang kenal siapa komposer lagu berkenaan. Saya tidak kisah sangat soal itu. Apa yang lebih penting, lagu yang dicipta mendapat sambutan baik dan kerap disiarkan di radio.

“Hendak diikutkan sekitar 70-an dulu, memang tidak ramai komposer berbanding hari ini. Persaingan pula tertumpu kepada penghasilan lagu berentak Melayu Asli atau pop.

“Saya pula banyak menghasilkan beberapa lagu Melayu termasuk lagu raya yang dinyanyikan Black Dog Bone, Datuk Sharifah Aini dan Carefree.

“Saya sentiasa menyelitkan lagu berentak joget dalam setiap karya terbaru. Saya berpendapat, lagu asli perlu sentiasa dihidupkan. Kebanyakan komposer sekarang banyak menghasilkan lagu Melayu. Tidak dinafikan, lagu asli masih mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar.

“Malah lagu asli dalam album kompilasi, Deli 1 & 2 yang menampilkan Allahyarham Sudirman, Jalil Hamid, Herman Tino dan Datuk Sharifah Aini yang dihasilkan sekitar 1978 sehingga sekarang masih terjual,” katanya.

Hadir bersama isterinya, Norizan Yeob, 44, pada majlis itu, sekali gus menyaksikan anugerah pengiktirafan ketiga yang dimenangi selepas Anugerah Lagu Terbanyak MACP pertama dan Anugerah Wirama Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-13.

Dia mengakui masih ramai komposer hebat dan berbakat era ini. Begitupun, memaklumkan kehampaan terhadap pengaruh lagu luar terutama Indonesia yang kerap disiarkan di beberapa stesen radio tempatan yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada karyawan seni tempatan.

S Atan yang dilahirkan di Singapura pada 1 Ogos 1949 tertarik dengan dunia muzik sejak zaman sekolah rendah lagi. Antara karya popularnya ialah Dulu dan Sekarang nyanyian Black Dog Bone, Pandang-pandang dan Jeling-Jeling (Datuk SM Salim dan Datuk Siti Nurhaliza) dan Assalamualaikum (Jamal Abdillah). Beliau juga menghasilkan lagu untuk filem Pertentangan arahan Salleh Ghani.

Dia kini dalam rangka menyiapkan projek lagu-lagu asli untuk Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKwa), dan konsert album untuk lagu A Ramlie yang akan dinyanyikan semula pendatang baru.

Bagi pemenang Anugerah Komposer Muda Berpotensi pula, Zarimi Zahari, 24, atau Zimi Sofaz walaupun langsung tidak menyangka dinobatkan anugerah itu, sekali gus sebagai pendorong kepadanya untuk terus berkarya pada masa depan.

Walaupun baru tiga tahun terbabit dalam bidang itu, Zimi yang juga vokalis kedua dan gitaris kumpulan Sofaz sudah menghasilkan lebih 30 lagu bermula dengan Sedarilah daripada album pertama Sofaz diikuti Cinta, Dan Pasti, Rasakan dan Salahku selain lagu hit Izwan Pilus, Indah Lelapku serta penulis lirik untuk Nita, Lips, Aliff Aziz dan kumpulan daripada Singapura, Refalina.

“Anugerah ini memang bagus untuk memberi dorongan dan semangat kepada komposer muda. Mungkin kekuatan lagu saya ringkas dan mudah didengar. Saya masih ingat lagi pesan Arwah Loloq ketika bekerja dengannya dulu. Menurut arwah dalam penghasilan lagu, biar yang ringkas dan sentiasa memikirkan supaya orang boleh hafal lagu berkenaan dalam masa 30 saat.

“Berpegang pada pesanan itu, saya berjaya menghasilkan beberapa lagu yang kini mendapat tempat di kalangan peminat muzik.

“Sejak mula serius dalam bidang ini, saya mengakui masih ada perasaan takut sehingga ke hari ini. Takut untuk bagi orang dengar lagu saya sendiri dan bermacam lagi. Malah, saya berasa anugerah pertama yang diterima ini akan menambahkan lagi beban dan tanggungjawab saya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MACP, Habsah Hassan, berkata sebagai badan pelesenan yang unggul mewakili pencipta di Malaysia, pihaknya cuba memberi pengiktirafan kepada mereka yang berada di belakang tabir di mana sumbangan mereka kurang mendapat perhatian.

“Anugerah ini dikira daripada pungutan sejak 2007 hingga Ogos lalu. Majlis kali ini tidak diadakan secara langsung memandangkan ahli jawatankuasa yang memutuskan pada mesyuarat agung lalu bersetuju tidak membuat siaran langsung memandangkan ia membabitkan beberapa perkara dan kos perbelanjaan yang besar.

“Sepanjang penganjuran majlis, hanya dua kali ia disiarkan secara langsung di RTM iaitu pada tahun lalu dan di Kuantan, Pahang pada awal tahun ini.

“Tidak dinafikan pendapatan tahun ini meningkat. Begitu juga jumlah yang perlu dibayar untuk lagu luar negara seperti Indonesia yang turut mencatat peningkatan. Pengaliran wang tunai ke negara berkenaan tidak seimbang berbanding lagu tempatan yang meraih pendapatan rendah di negara itu,” katanya.

Turut disampaikan pada majlis itu, Anugerah bagi kategori Persembahan Terbanyak Lagu Inggeris yang dimenangi Megat Hafiz Mohamad menerusi lagu Skinheads For Life yang dipopularkan oleh ACAB, bagi Persembahan Terbanyak Lagu Cina dimenangi Lee Chee Cheng menerusi lagu Zen Me Ban nyanyian kumpulan daripada Taiwan, SHE.

Persembahan Terbanyak Lagu Luar Negara dimenangi komposer Munif Bahasuan menerusi lagu Gadis Melayu yang dinyanyikan Mawi.

Penulis lirik dan komposer bagi lagu, Ku Juga Mencintaimu nyanyian Saiful serta Qing Fei De Yi nyanyian Harlem Yu iaitu Theng Siaw Hang dan Chong Keat Siong pula mencatat sejarah tersendiri apabila memenangi dua anugerah menerusi Anugerah Persembahan Terbanyak Lagu Melayu dan Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi.

Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak pula dimenangi Luncai Emas Sdn Bhd sementara EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd pula menerima Anugerah Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak.

Sumbangan Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis dalam bidang seni tiada bandingannya, malah diiktiraf apabila dianugerahkan Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali kelapan berturut-turut manakala buat kali ke sembilan, M Nasir memenangi Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak.

Harian Metro