Archive for the ‘Ally Iskandar’ Category
Karnival Jomheboh Menutup Tirai
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ACARA sambutan hari jadi membabitkan kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Lambaian Kasih Sungai
Penchala diadakan di gerai Kids & Teen.
KARNIVAL Jomheboh anjuran TV3 menutup tirai penganjurannya pada 2008 dengan berlangsungnya karnival terakhir di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Disember lalu.
Sebelum ini, karnival itu ke Melaka pada 5 dan 6 April, Perlis (3 dan 4 Mei), Bukit Jalil (31 Mei dan 1 Jun), Johor (5 dan 6 Julai), Pahang (2 dan 3 Ogos), Sarawak (25 dan 26 Oktober) dan Pulau Pinang (22 dan 23 November).
Karnival yang memasuki tahun keenam tetap mendapat sambutan hangat orang ramai dan sebagai penutup tirai, Bukit Jalil sekali lagi dipilih sebagai lokasi terakhir.
Berkonsepkan rekreasi dan riadah, karnival berkenaan mendapat perhatian semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak sehinggalah golongan warga emas. Selain menyertai aktiviti yang dijalankan di karnival, pengunjung turut berpeluang mengenali stesen TV3 dan stesen lain di bawah Media Prima dengan lebih dekat.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang karnival di Bukit Jalil ialah peraduan mewarna dan sambutan hari jadi di gerai Kids & Teen, sesi ramah-mesra bersama pelakon Akasia & Lagenda, sesi ramah-mesra bersama pengacara Wanita Hari Ini dan Nona di gerai Women@TV3 serta sesi ramah-mesra bersama pelakon slot Aksi, Seram dan Lestary.
Antara artis yang terbabit ialah Danny X-Factor, Fizow Omar, Fezrul Khan, Zed Zaidi, Faizal Yusop, Ifa Raziah, Norish Karman, Anita Baharom, Zul Yahya, Eira Syazira, Noorkhiriah, Zarina, Wahid dan ramai lagi. Grand Brilliance Sdn Bhd pula tidak ketinggalan mempromosikan filem terbaru mereka, Sifu dan Tongga, yang dibintangi Nabil, Saiful Apek, Erra Fazira, Pie dan Rozita Che Wan.

KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang
beramah mesra bersama peserta Metro Idol.
Selain itu, mereka turut berpeluang mendekati personaliti TV3 seperti Zakiah Anas, Azizah Ariffin, Ally Iskandar, Nurul Syuhada Nurul Ain, Siti Hasfizza Aswaty, Tanah Syazwan, Hairuddin Mohd Noh, Sasha Bashir, Fara Fauzana, Fedtri Yahya dan lain-lain.
Di samping kemeriahan yang boleh dirasai sepanjang karnival berlangsung, TV3 tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik. Justeru, majlis penyerahan sumbangan daripada Tabung TV3 Bersamamu berjumlah RM10,000 hasil sumbangan orang ramai diadakan.
Sumbangan kali ini diberikan kepada Pusat Penjagaan Lambaian Kasih, Sungai Penchala. Pusat penjagaan anak yatim berkenaan terbabit dalam insiden kebakaran yang mengorbankan dua penghuninya, baru-baru ini. Sumbangan disampaikan pihak pengurusan TV3 kepada pengurus pusat terbabit, Ridwan Abu Bakar.
Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) turut mempunyai gerai sendiri pada karnival kali ini. Gerai akhbar berbahasa Melayu nombor satu, Harian Metro, umpamanya menjadi perhatian ramai berikutan beberapa aktiviti mereka jalankan, termasuk penganjuran Metro Idol.

PENGURUS Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar (kiri) dan Pengurus Besar
Pemasaran Segmentasi Maxis Communications Berhad, Rozalila Abdul Rahman, menyampaikan
replika cek kepada Ridwan (tengah).
Acara kemuncak penutup karnival kali ialah Konsert Jomheboh yang menampilkan ramai artis terkenal tanah air termasuk Elyana, Ziana Zain, Farah Asyikin, Nikki, Rahim Maarof, Nabil, Saiful Apek, Estranged, Bunkface, Nitrus dan Colabr8.
Berita Harian
Temui Ally Malam Ini
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Ally Iskandar terharu TV3 memberi kepercayaan mengendalikan program menggunakan namanya
TUAH manusia datang dengan cara berbeza-beza. Ada yang mengharapkan sesuatu namun menunggu ia tiba ibarat menanti buah yang tak gugur. Tetapi ada juga yang tuahnya melimpah ruah, umpamanya apa yang dilalui pengacara terkenal, Ally Iskandar.
Mana tak bertuah, kalau tiba-tiba dia diberi peluang untuk memiliki sebuah program bual bicara sendiri yang dinamakan Ally. Program yang diilhamkan tahun lalu itu bakal ke udara di saluran TV3 bermula jam 11 malam ini.
Apa yang menarik, program yang diterbitkan Ally sendiri itu menggabungkan konsep hiburan dan juga berita dan setiap topik yang disiarkan adalah berdasarkan kepada perspektif jejaka itu sendiri.
“Hasrat untuk menerbitkan program bual bicara ini timbul sewaktu sesi sumbang saran yang berlangsung di Chiang Mai, tahun lalu oleh pihak pengurusan. Kalau ikutkan saya sebenarnya, saya tidak terfikir pun untuk mempunyai sebuah program bual bicara sendiri ketika ini.
“Pada saya masih terlalu awal. Rasanya masih banyak perkara lagi yang perlu saya belajar sebelum saya bersedia untuk mengendalikan program sendiri,” kata Ally ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Hip di Balai Berita, baru-baru ini.
Namun begitu, walaupun merasakan dirinya masih belum bersedia namun tugas yang diberi padanya itu tetap dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Bukan mudah untuk menjadi pengacara sebuah program bual bicara seperti ini apatah lagi apabila ia menggunakan judul nama saya sendiri. Jika ada perkara yang berlaku, pastinya reputasi saya akan tercemar. Namun tak mengapa, saya anggap itu sebagai cabaran buat saya selepas hampir sedekad berada dalam dunia pengacaraan.
“Mungkin sedikit sebanyak, konsep baru yang saya perkenalkan ini mampu menarik perhatian penonton untuk menyaksikannya. Seperti yang saya katakan tadi konsep program ini cukup santai di mana kami menggabungkan antara hiburan dengan isu semasa. Maksudnya, ia dikendalikan secara tidak formal tetapi bahan yang disampaikan akan dibekalkan oleh jabatan editorial.
“Jadi di samping berhibur, penonton akan mendapat maklumat mengenai topik yang bakal kami bincangkan itu. Saya juga akan mengundang beberapa orang tetamu yang bersesuaian untuk untuk membicarakan topik yang sudah dipilih.
“Di sini, kami tidak memberikan sebarang jalan penyelesaian tetapi kami memberikan pilihan kepada penonton berdasarkan perbincangan kami tadi,” katanya yang sebelum menjadi pengacara program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI).
Tidak mahu menyempitkan pemikiran penonton kepada satu arah saja, Ally berkata program bual bicaranya itu akan menyentuh dari segala aspek ruang lingkup kehidupan manusia
“Semua topik yang berkaitan dengan kehidupan akan saya sentuh dalam program ini antaranya politik, sukan, hiburan, pendidikan. Bukan saja perbincangan di dalam studio, malah kami juga akan berinteraksi dengan penonton di rumah menerusi panggilan telefon dan juga kiriman SMS.
“ Antara topik yang sudah berada dalam fikiran adalah Duit. Contohnya, harga minyak ketika ini sudah turun tetapi harga barangan tetap naik. Jadi kita minta pandangan daripada panel yang diundang bagaimana menguruskan wang dengan betul lebih-lebih lagi khabarnya tahun depan ekonomi negara bakal mengalami kegawatan,”cerita Ally mengenai buah tangan terbarunya itu.
Program 13 episod ini akan ditayangkan setiap Rabu bermula malam ini jam 11 malam menggantikan slot program bual bicara Jangan Tidur Lagi.
Masih mencari jodoh
GARA-GARA statusnya yang sehingga kini masih bujang, ke mana saja Ally Iskandar pergi, soalan mengenai jodoh pasti ditanyakan. Dan yang pasti, soalan itu bukanlah sesuatu yang ingin didengarnya buat masa ini. Bukan kerana mahu hidup membujang sampai bila-bila namun soal jodoh bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main.
“Saya rasa semua orang ingin berkahwin dan hidup berkeluarga.Tetapi kalau jodoh belum tiba, macam mana saya hendak berkahwin. Takkan saya hendak main tangkap muat saja,” kata Ally sambil tertawa.
Sambil mengakui dirinya agak cerewet dalam memilih jodoh, Ally memberikan syarat paling penting, biarlah bakal isterinya itu nanti seorang yang memahami kerjayanya sebagai seorang pengacara.
“Sebenarnya kalau boleh saya sudah malas hendak cerita pasal kahwin. Dah bosan kerana sebelum ini asyik kenal dan kemudian berakhir dengan perpisahan. Pada hari raya lalu, saya baru saja putus cinta.
“Jadi kalau boleh biarlah buat masa ini saya tumpukan perhatian pada kerjaya saya. Lagipun umur saya baru 32 tahun, dan saya masih ada dua tahun saja lagi untuk menamatkan zaman bujang.
“Tapi kalau benar jodoh saya tiba lebih awal, biarlah gadis itu seorang yang faham akan kerjaya saya sebagai pengacara. Kalau boleh, dia juga mesti pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Mungkin sebelum ini kebanyakan mereka tidak dapat menyesuaikan diri sehingga mengambil keputusan untuk berpisah,” luah jejaka kelahiran Pantai Timur ini.
Berita Harian