Archive for the ‘Amy Search’ Category
Laman Santai Finas
Rap
HUJUNG minggu masa terbaik untuk berehat seisi keluarga. Justeru aktiviti hiburan diadakan pada hujung minggu mampu menarik ramai pengunjung untuk hadir. Dalam usaha kerajaan mengangkat seni hiburan di kalangan masyarakat, pelbagai aktiviti menarik diatur dari masa ke semasa.
Menerusi acara Laman Santai yang diadakan pada setiap Sabtu bertempat di Laman Santai, Istana Budaya, Kuala Lumpur, peminat seni berpeluang berhibur dan bertemu artis dengan lebih dekat.
Acara ini adalah inisiatif Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) untuk memupuk sikap menghargai seni budaya negara menerusi persembahan pentas.
Menariknya, acara ini dianjurkan secara bergilir antara jabatan kerajaan di bawah KPKKW seperti Istana Budaya, Jabatan Muzium Negara dan Kraftangan Malaysia.
Untuk persembahan minggu ini, buat julung kali Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan acara ini.
Berdasarkan acara yang sama diadakan sebelum ini, sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan. Antara artis yang pernah membuat persembahan adalah Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Ahmad Jais, Jaclyn Victor dan Shidee. Acara ini bermula sejak Ogos tahun lalu dan diteruskan pada setiap bulan.
Untuk persembahan malam ini yang bermula jam 8 malam, Finas menganjurkan persembahan pentas bertemakan Lagu dan Filem. Selain persembahan pentas, acara ini turut menyelitkan trailer atau sedutan filem tempatan baru yang ditayangkan di pawagam dan akan datang.
Memberi keunikan pada persembahan nyanyian, lagu yang dipersembahkan mengikut zaman dari 60-an hingga masa kini. Antara artis yang terbabit untuk persembahan kali ini adalah Hail Amir, pasangan adik-beradik Latif dan Sofia Ibrahim, Mariani berduet bersama anaknya, Rozita Rohaizat, Fazli Zainal dan Nikki.
Bagi persembahan sedutan filem pula, antara filem yang akan diberi promosi adalah Brainscan 21: Aku Dan Topi Ajaib arahan Ahmad Idham dan Histeria (James Lee). Produser filem Brainscan 21: Aku Dan Topi Ajaib, David Teo dijangka hadir untuk mempromosikan filemnya sendiri dengan memberi penerangan filem itu dengan lebih mendalam.
Menambah kehangatan acara itu, pelawak Din Beramboi dan Sharifah Shahira digandingkan sebagai pengacara. Konsep persembahan mahu pengunjung berhibur sambil menikmati persembahan pentas. Tidak ketinggalan, cabutan bertuah turut diadakan dengan 20 hadiah menarik seperti buku dan cenderamata Finas, tiket wayang dan VCD filem Melayu diberikan pada pengunjung bertuah.
Di samping itu, gerai jualan makanan, minuman dan cenderamata Finas juga disediakan. Persembahan dijangka berlangsung hingga 10.30 malam dan masuk adalah percuma.
Harian Metro
Belasungkawa Nasir P Ramlee (1953-2008): Perginya Warisan P Ramlee
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
Rap
TIDAK sampai dua bulan pemergian anak angkat Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Sabarudin Ramli (Badim), kita dikejutkan pula dengan pemergian satu-satunya anak kandung Seniman Agung itu, Nasir P Ramlee.
Jika P Ramlee meninggal dunia pada usia muda iaitu 44 tahun, Nasir pula menghembuskan nafas terakhirnya jam 5.10 petang, kelmarin di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung dan kencing manis pada usia 55 tahun.
Jenazahnya selamat dikebumikan jam 11 pagi keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kampung Baru.
Nasir meninggalkan balu, Suria Bakar, 55, dan tujuh anak termasuk daripada dua perkahwinannya terdahulu. Bersama Suria, Nasir mempunyai dua anak, Zaidi, 17, dan Zakaria, 16, manakala bersama isteri pertamanya, Mariati Abd Rahman, 55, mereka mempunyai tiga anak, Gunina, 37, Gunawan, 35, dan Gurnarisasca, 31. Bersama isteri keduanya, Rashidah Jaafar (Gee), Nasir mempunyai dua anak, Natasya, 23, dan Najwa, 22.
Seperti Badim dan Sazali, Nasir juga anak kesayangan P Ramlee. Nasir yang dilahirkan di Singapura pada tanggal 23 November 1953 adalah anak P Ramlee bersama isteri pertama, Junaidah Harris.
Junaidah adalah pelakon berasal dari Indonesia dan anak kepada pelawak D Harris. Nasir membesar di Jalan Boon Teck yang juga kediaman ramai pelakon Studio Jalan Ampas.
Nasir tidak bertemu ibunya sejak usia enam tahun. Hanya selepas P Ramlee meninggal dunia, Nasir bertemu semula dengan ibu kandungnya di Jalan Martapura, Jakarta.
Selepas bercerai dengan Junaidah, P Ramlee mengahwini Norizan dan kemudian Saloma. Justeru, Nasir juga membesar di bawah Norizan yang ketat menjaga disiplinnya tetapi banyak membentuk karakternya.
Mengimbas latarbelakangnya pula, Nasir memulakan kerjayanya sebagai pemuzik di kelab malam sebelum menyertai EMI sebagai penggubah muzik. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai penyelaras muzik kombo Istana Budaya (IB) sejak April 2002 sehingga sekarang.
Nasir pernah bergandingan bersama Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarham Normadiah, Allahyarham Aziz Jaafar dan Datuk Aziz Satar untuk album Panca Sitara.
Beliau pernah menghasilkan lagu untuk Herman Tino, Rosemaria Abdul Hamid dan Aman Shah. Antara lagu popularnya ialah Rindu Bayangan dendangan Carefree.
Sepanjang berkhidmat di IB, Nasir banyak terbabit dalam persembahan anjuran kerajaan dan di peringkat antarabangsa.
Antara pementasan yang pernah diarahkannya di IB ialah Suzana 60 dan Bonnie M Live In Kuala Lumpur pada 2006.
Sekalipun, nama Nasir tidak segah bapanya, namun tidak dinafikan, beliau juga memberi sumbangan tersendiri dalam memartabatkan industri seni tanah air.
Ketika hayatnya, Nasir sempat menghasilkan Buku Bapaku P Ramlee yang dilancarkan Presiden Badan Warisan Malaysia, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, 29 Mei lalu.
Buku yang dihasilkan selepas 34 tahun bapanya meninggal dunia itu dianggap buku kenangan peribadi Nasir kepada bapanya yang menyingkap kisah suka duka sebagai anak kepada seniman agung tanah air.
Dalam buku itu, Nasir juga menceritakan dia tidak lahir dalam ‘dulang emas’, sebaliknya dibayangi bayang-bayang kehebatan bapa dan nama besar keluarganya.
Sekalipun kesihatannya tidak mengizinkan, Nasir sempat menjayakan persembahan penghargaan buat P Ramlee bertemakan Air Mata di Kuala Lumpur di Panggung Eksperimen (ET), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang berlangsung dua hari bermula 15 Julai lalu bersama anaknya, Najwa.
Buat pertama kali, Nasir juga berkongsi pentas bersama anaknya mendendangkan lagu Senandung Kasih dicipta dan didendangkan bapanya dulu.
Band pimpinannya, Nasir & The Melodies juga mengiringi persembahan artis seperti R Ismail, Datuk Aziz Satar, Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Amy Search dan Sara Loo di Laman Santai IB sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan, baru-baru ini.
Beliau juga pernah tampil dengan album komedi, Nasir Tan Sri P Ramlee & Mamu Maidin yang mengembalikan nostalgia peminat mereka pada tahun lalu.
Bakat seninya turut diwarisi anaknya yang juga cucu P Ramlee, Natasya dan Najwa yang mengikuti pengajian dalam jurusan seni di Aswara.
Harian Metro