Archive for the ‘Amylea Azizan’ Category

Let’S Jam Asah Bakat Muda


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

MENYEDARI peluang untuk mengetengahkan bakat serta bersatu di bawah satu bumbung yang dikira selamat tidak banyak ditawarkan untuk penggiat seni muda di negara ini, Biro Karyawan Muda mengambil inisiatif menganjurkan acara diberi nama Let’s Jam di Planet Hollywood Kuala Lumpur, 15 Jun ini.

Pada acara yang dijangka bermula seawal jam 8 malam itu, bakat muda yang berminat diberikan ruang untuk mempersembahkan bakat mereka sama ada dalam bidang nyanyian, muzik, tarian, lawak, lakonan dan sebagainya.

Selama empat jam, acara yang hanya dibuka kepada penggiat seni itu diharap dapat mengumpul sehingga 300 bakat muda daripada pelbagai cabang seni. Sebahagiannya pula bakal menaiki pentas utama pusat hiburan dan restoran terkemuka di ibu kota itu untuk menonjolkan keupayaan masing-masing.

Program Let’s Jam muncul aktiviti pertama yang dianjurkan Biro Karyawan Muda, setelah ia ditubuhkan dengan rasmi pada 25 Mac lalu. Selepas ini, anggota jawatankuasanya berharap lebih banyak aktiviti dapat diadakan, bertujuan menyatukan artis di bawah satu payung yang lebih kukuh dalam industri hiburan tanah air.

Ketika ini, kira-kira artis 70 muda dari seluruh negara bernaung di bawah biro terbabit.

Let’s Jam yang julung kali diadakan pula, bukan hanya bertujuan mendedahkan bakat muda yang mencari-cari ruang untuk mengetengahkan kebolehan mereka, malah ia juga diharap menjadi medan untuk biro berkenaan menambah keahlian.

Menurut Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, biro itu membuka keanggotaannya kepada semua penggiat seni muda dan mereka tidak pernah meletakkan had atau bidang tertentu saja buat ahlinya. Artis muda, artis muda atau mereka yang ingin menjadikan seni sebagai mata pencarian dialu-alukan menyertainya.

“Kami tidak mahu Karyawan menjadi sebuah persatuan yang terbuka kepada ‘rakan’ sesetengah orang saja. Kita juga tidak mahu terjadi sesuatu kenyataan dikeluarkan oleh sesuatu pihak tanpa diketahui pun oleh anggota yang lain,” katanya Freddie yang mahu melihat persatuan terbabit muncul sebuah gabungan yang relevan dengan golongan artis negara ini.

Menurutnya lagi, penubuhan biro terbabit juga diharap dapat memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada bakat muda negara.

“Saya lega apabila ramai juga kalangan penggiat seni muda Malaysia yang mula peka kepada masa depan mereka. Sekarang, kita melihat sebuah era digital di mana hasil seni dieksploit tanpa memberikan pulang kepada artis itu sendiri. Justeru, mereka harus bangkit mempertahankan hak yang kian hilang ini.

“Begitu juga jumlah artis semakin meningkat, manakala peluang kerja agak kurang. Itulah yang berlaku pada hari ini. Kita ingin membantu golongan muda mencari rezeki menerusi minat mereka dalam bidang seni, menerusi pembabitan dalam Biro Karyawan Muda ini,”ῠkatanya pada sidang akhbar mengumumkan penganjuran Let’s Jam di Planet Hollywood, baru-baru ini.

Ketika ini, biro berkenaan digiatkan oleh 10 anggota jawatankuasa yang mewakili pelbagai bidang. Mereka terdiri daripada Shaliza daripada bidang pengurusan artis, Dayang Nurfaizah (artis), Asheed Def Gab C (kumpulan muzik), Ravin (penari), Amylea Azizan (komposer / penulis lirik baru / produksi muzik), Hafiz (pelakon / pelawak), Dior (penyanyi dangdut), Sufian (penyanyi / kumpulan nasyid), Sarah (pengurusan teater dan acara) serta Pacai (pemuzik).

Info:

* ARTIS muda yang ingin mengadakan persembahan pada acara Let’s Jam perlu menyerahkan pita demo kepada Amylea yang boleh dihubungi menerusi e-mel amyleaazizan@gmail.com. Maklumat lanjut mengenai acara itu juga boleh didapati dengan menghubungi talian 03-79552967 atau melayari laman web www.karyawan.com.my.

Info:

BIRO Karyawan Muda menawarkan beberapa faedah kepada anggotanya termasuk:

- Keahlian seumur hidup yang hanya bernilai RM10.

- Perkhidmatan perundangan percuma berkaitan kontrak album, pengurusan, persembahan dan isu berkaitan, mengikut skop tertakluk di bawah kemampuan biro.

- Menjana pencen masa depan (bergantung kepada nilai pendapatan artis semasa dan masa depan).

- Menyediakan perkhidmatan penggunaan studio rakaman (dengan kos terendah).

- Program akreditasi artis (pusat latihan) oleh Karyawan — Ahli akan dipilih untuk mengadakan persembahan di bawah projek kerajaan dan kementerian berkaitan.

- Menjadi medan untuk artis baru atau artis muda menonjolkan bakat terpendam.

- Komposer dan penulis lirik baru boleh menghantar kerja mereka untuk disebarkan dan untuk ditentukan bakatnya oleh anggota exco biro.

Powered by Berita Harian

Dekati Artis Muda


Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Rap

LANGKAH proaktif yang diambil Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menubuhkan Biro Muda Karyawan dilihat sebagai jalan terbaik mendekatkan artis muda dengan persatuan sekali gus menjadi platform untuk mereka mengadu nasib dan membincangkan survival golongan berkenaan dalam industri seni tanah air.

Sebelum ini, ramai yang tidak tahu saluran betul untuk mengadu nasib tatkala berdepan sepak terajang dalam industri yang tidak tentu pasang surutnya. Penubuhan biro ini juga menjadikan Karyawan satu-satunya persatuan seni yang mewujudkan biro khusus menangani segala isu berkaitan mereka.

Penubuhan Biro Muda Karyawan diputuskan secara rasmi pada 25 Mac lalu hasil pertemuan 70 artis muda pelbagai cabang seni di One Bangsar Seafood Center, Kuala Lumpur.

Hasil mesyuarat pertama, 10 Ahli Jawatankuasa (AJK) dipilih mewakili profesion masing-masing iaitu Aravindhan Chandran (penari), Mohd Ashid Ahmad (artis berkumpulan), Sufian Amrin (artis nasyid), Dayang Nurfaizah (artis arus perdana), Shaliza Sultan (pengurusan dan kebajikan artis), Lydia Iryani Mohd Khairul (artis realiti televisyen), Amylea Azizan (artis yang menceburi penerbitan lagu), Hafiz Nafiah (pelakon), Shahril Shaari (penyanyi dangdut/tradisional) dan Sarah Roslan (pengurusan acara).

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata sebelum ini golongan muda dilihat jauh dari persatuan dan tidak tahu saluran betul menyuarakan masalah mereka. Jadi penubuhan biro khusus buat mereka ini memudahkan penyaluran segala maklumat dan permasalahan secara rasmi kepada persatuan untuk diselesaikan.

“Sebelum ini ramai yang kenal Karyawan sebagai persatuan untuk artis veteran dan persepsi orang, kita hanya memberi pencen dan terbabit hal kebajikan. Walhal sesebuah persatuan perlu mewakili semua peringkat umur dan relevan dengan keadaan semasa.

“Melihatkan senario sekarang, artis muda yang menghadapi banyak masalah dan mereka lebih memerlukan persatuan sebagai tempat mengadu nasib. Penubuhan Biro Muda Karyawan tidak dilihat sebagai beban bagi kami, tetapi peluang supaya Karyawan lebih relevan kepada mereka,” katanya.

Pada pertemuan pertama yang berlangsung lebih dua jam itu, pelbagai perkara dibangkitkan membabitkan kepentingan artis dan hubungan mereka dengan pihak berkaitan.

Paling mendapat perhatian ialah nisbah penyiaran lagu tempatan di radio, di mana stesen radio banyak memainkan lagu luar negara terutama dari Indonesia. Selain itu, lagu tertentu seperti nasyid dan irama Malaysia langsung tidak dimainkan dan didiskriminasi stesen tertentu.

Walaupun banyak filem, drama dan lagu dihasilkan dari titik peluh artis, tetapi masih ramai tidak mendapat hak sepatutnya terutama dari segi royalti. Begitu juga kadar bayaran yang tidak selaras dan berbeza mengikut gred artis dan bentuk persembahan.

Turut dibincangkan beberapa perkara lain seperti kemudahan mendapatkan diskaun di tempat tertentu seperti pusat kecergasan, biasiswa melanjutkan pelajaran dan pelbagai lagi.

Kata Freddie, buat permulaan, dia sendiri akan mengetuai biro ini sebelum calon berkaliber dipilih untuk menerajui biro itu. Daripada sembilan AJK penaja, ada yang menawarkan diri untuk berkhidmat secara sukarela dan dipilih daripada sokongan ramai.

“Apapun mereka yang dipilih perlu bersedia berkhidmat secara sukarela dan memberikan komitmen penuh terhadap persatuan. Mereka inilah yang akan menjadi suara kepada industri dan membela rakan artis muda,” katanya.

Biro ini merangkumi pelbagai golongan penggiat seni baru dan lama yang masih muda dengan latar belakang seni seperti pemuzik, penyanyi, pelakon dan sebagainya. Sebarang masalah berkaitan dengan aktiviti seni mereka boleh dirujuk kepada biro ini seperti ingin mendapat nasihat guaman berkaitan kontrak, sokongan aktiviti dan sebagainya.

Sementara itu Hafiz Nafiah berkata, sepanjang enam tahun bergelar artis, dia tidak pernah menyertai mana-mana persatuan kerana tidak tahu saluran dan tiada sesiapa pun yang mengajaknya. Kini dengan tertubuhnya Biro Muda Karyawan, dia bertekad bergerak aktif menggerakkan persatuan dengan keupayaan yang ada.

“Misi saya menyertai Karyawan memang untuk menjadi AJK kerana yakin dapat menggunakan segala kepakaran yang ada mengaktifkan persatuan. Saya akan ajak rakan artis lain menyertai biro ini kerana menerusi persatuanlah suara kita akan didengari dan masalah dapat diselesaikan,” katanya.

Bagi Dayang Nurfaizah pula, walaupun sudah sembilan tahun bergelar artis, dia juga tidak dapat lari daripada masalah dan berdepan pelbagai cabaran meneruskan karier sebagai anak seni.

“Banyak lagi sebenarnya masalah yang melanda industri seni tanah air kita dan perlu diketengahkan. Saya tidak mahu masalah yang terjadi pada saya berulang pada orang lain. Pertemuan hari ini hanya permulaan dan banyak lagi perkara yang kita dapat lakukan untuk kepentingan bersama,” katanya.

Manakala Sufian Amrin menyifatkan, penubuhan biro khusus yang menjaga kepentingan artis dapat dijadikan platform tempat mereka mengadu nasib dan berkongsi pendapat.

“Saya berharap ramai lagi artis di luar sana menyertai kami tanpa mengira artis arus perdana, artis bebas mahupun amatur untuk sama-sama menghidupkan aktiviti biro ini,” katanya.

Powered by Harian Metro