Archive for the ‘Andrea Fonseka’ Category

Mahu Susut 2kg Lagi


Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

“SAYA bukan saja dilahirkan dengan keadaan fizikal yang agak gempal, tetapi dengan selera Melayu yang cukup kuat.

“Emak pula gemar memasak manakala masakannya terutama kari kepala ikan dan rendang yang memang sedap.

“Faham-faham sajalah masakan Melayu, kalau tidak cukup minyak, santan, gula, perisa dan perasa, memang tidak lengkap,” kata penyanyi, Noryn Aziz menceritakan pengalamannya ketika mula menjalani rawatan untuk mengurangkan berat badannya di sebuah cawangan pusat pelangsingan terkenal, Marie France Bodyline (Marie France), kira-kira tiga tahun lalu.

Dia yang kini dilantik sebagai jurucakap terbaru Marie France mengakui pernah melakukan pelbagai usaha untuk kurus termasuk mengambil pil diet serta memakai korset, tetapi semuanya memberi kesan seketika saja.

Kata Noryn, berat badannya pernah mencecah 65 kilogram (kg) dan usaha untuk mengubah bentuk badannya pernah gagal kerana dia tidak mengamalkan tabiat pemakanan sihat.

Semuanya berubah selepas diperkenalkan dengan produk rawatan Marie France kerana ia bukan saja melakukan rawatan kecantikan, tetapi turut memberi khidmat nasihat terutama membabitkan cara makan yang betul.

“Kini, berat saya adalah sekitar 49 kg dan ia memang ideal dengan ketinggian (160 sentimeter) namun untuk memastikan tubuh benar-benar tegap, saya perlu menghilangkan dua kilogram lagi.

“Selepas menjalani rawatan selama dua bulan, saya hilang berat badan sebanyak empat kilogram dan 34 inci di beberapa kawasan badan. Saya sungguh gembira dan berpuas hati dengan hasil berkenaan.

“Namun, selain rawatan, saya juga melakukan senaman seperti berenang serta berlari dan mengelak daripada mengambil makanan pada lewat malam. Itu semua untuk memastikan saya mendapat berat badan yang diinginkan,” katanya yang menjadi jurucakap Marie France selama setahun.

Dia turut melahirkan rasa bertuah kerana dipilih sebagai duta pusat pelangsingan terbabit yang sebelum ini memilih Datin Seri Normala Samsudin serta bekas ratu cantik Malaysia Universe 2004, Andrea Fonseka.

Menurutnya, pembabitannya sebagai jurucakap pusat itu diharapkan mampu membantu wanita seusianya berkongsi pengalaman mengenai cara menjaga kesihatan luaran dan dalaman.

Hadir sama pada majlis pengumuman pelantikan dirinya sebagai jurucakap terbaru Marie France di Sunway Pyramid, Petaling Jaya baru-baru ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Global Kecantikan Marie France, Benjamin Lo.

Majlis turut menyaksikan perasmian cawangan terbaru pusat pelangsingan itu di pusat beli-belah berkenaan.

Marie France, yang berasal dari Switzerland, sudah lebih 20 tahun berpengalaman dalam membantu individu untuk mengurangkan berat badan secara semula jadi.

Ia menawarkan penyelesaian untuk melangsing dan mengurangkan berat badan tanpa perlu memakan pil atau diet yang ketat serta tidak membabitkan senaman berat.

Perunding Marie France terdiri daripada pakar bertauliah manakala pusat itu menggunakan bahan semula jadi serta bebas daripada penggunaan pil atau suntikan yang boleh mendatangkan risiko.

Terbaru, Marie France memperkenalkan rawatan pelangsingan badan baru menggunakan kaedah BodyTech Perfectionist.

Ia turut menemui rumusan baru mengandungi tiga sebatian aktif yang dapat membantu menangani masalah berat badan termasuk tisu lemak berlebihan, selulit serta kulit kendur akibat kekenyalan kulit yang semakin berkurangan.

Harian Metro

Noryn Jurucakap Butik


Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

USAHA Norazmahwati Abdul Aziz atau Noryn Aziz untuk menguruskan badan dua tahun lalu memberikan hasil lumayan. Kini dia bukan saja memiliki tubuh menarik bahkan dilamar menjadi jurucakap produk.

Butik kecantikan dan kesihatan, Marie France Bodyline yang mempunyai cawangan seluruh negara, baru-baru ini mengumumkan Noryn sebagai jurucakap terbaru mereka selama setahun.

Noryn dilantik menjadi jurucakap butik kecantikan itu selepas Datin Seri Normala Shamsudin dan bekas ratu cantik Malaysia Universe 2004, Andrea Fonseka.

Ketika ditemui, Noryn berkata dengan pembabitannya sebagai jurucakap produk itu diharapkan mampu membantu wanita seusianya berkongsi pengalaman bagaimana menjaga kesihatan luaran dan dalaman.

“Segalanya bermula apabila lebih tiga tahun lalu saya berpeluang menjalani rawatan untuk mengurangkan berat badan di satu cawangan Marie France Bodyline.

“Rawatan dilakukan mengambil masa hampir enam bulan. Ternyata selepas itu banyak perubahan berlaku.

“Sebelum ini sewaktu berat saya 58 kilogram, pelbagai usaha saya lakukan termasuklah mengambil pil diet dan menggunakan krim pelangsingan badan. Kesannya bagaimana pun hanya seketika. Malah percaya atau tidak berat badan saya pernah mencecah 65 kilogram.

“Saya memang tidak boleh lari daripada masalah kegemukan kerana ia memang sudah ada dalam genetik keluarga. Kalau anda lihat semua ahli keluarga saya bertubuh agak berisi.

“Saya pula kalau makan memang tidak boleh kawal terutama apabila pulang ke rumah ibu. Dulu selepas mengadakan persembahan pasti saya dan pemuzik pengiring akan singgah makan kari kepala ikan di tengah malam. Jadi macam mana badan saya tidak naik,” katanya bercerita.

Apabila mendapatkan khidmat di Marie France Bodyline kata Noryn, mereka bukan saja melakukan rawatan kecantikan tetapi turut memberi khidmat nasihat terutama membabitkan cara makan yang betul.

“Sekarang ini saya memiliki berat ideal 49 kilogram namun untuk memastikan tubuh benar-benar tegap saya perlu menghilangkan dua kilogram lagi,” katanya.

Selain menjalani rawatan jelas Noryn, dalam waktu sama dia mengelak makan waktu tengah malam dan sering bersenam seperti berenang dan berlari.

Bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan terlalu kerap kerana katanya bimbang ia akan membina otot sekali gus berat badan tidak hilang dalam jumlah yang banyak.

“Atas alasan itu saya perlu melakukan rawatan di Marie France Bodyline, ia bukan saja mampu menghilangkan berat badan tetapi membantu saya untuk menjaga keanjalan kulit.

“Biasanya kalau kita hilang berat badan, pasti selepas itu timbul masalah kulit menggeleber atau selulit, tetapi di Marie France Bodyline mereka dapat membantu bagi mengelakkan masalah paling ditakuti kebanyakan wanita itu agar tidak berlaku,” katanya lagi.

Di majlis pelancaran itu Marie France Bodyline turut menyebut Noryn sebagai ‘diva jazz.’ Gelaran itu jelas Noryn sedikit sebanyak membuatkan dirinya berasa kurang selesa.

“Gelaran seperti itu diberikan orang luar dan bukan datang dari mulut saya sendiri. Saya takut apabila orang menyebut saya diva kerana tafsiran atau pengertian terhadap gelaran itu pelbagai.

“Ada orang mungkin menyokong kerana berpendapat album yang saya hasilkan sememangnya berkonsepkan pop jazz, cuma ada pihak lain mungkin melihatnya dari sudut negatif dengan mengatakan saya berangan dan terlalu awal untuk diangkat dengan gelaran seperti itu,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjayanya, kata Noryn buat masa ini albumnya masih lagi dalam proses pembikinan dan akan disiarkan pada tahun hadapan.

“Ia mengambil masa panjang kerana saya sedang memikirkan hala tuju sesuai bagi memastikan peminat boleh menerimanya. Sebelum ini sewaktu album Alam Maya dikeluarkan pelbagai komen saya terima dan menerusinya saya cuba membuat pembaharuan agar ia menepati apa yang dimahukan pendengar tempatan.

“Selain itu saya turut bekerjasama dengan beberapa komposer tempatan lain seperti Reshmonu. Jadi apabila menjalinkan kolaborasi banyak perkara yang perlu diberikan penelitian. Sebab itu album ini mengambil masa panjang.

“Buat sementara ini saya masih lagi memenuhi undangan mengadakan persembahan. Tambahan pula tahun ini saya agak sibuk, dengan beberapa program seperti menyertai pertandingan nyanyian di Los Angelas, Amerika Syarikat dan kini menjadi jurucakap kepada Marie France Bodyline.

“Rasanya apabila album saya keluar tahun hadapan, masanya lebih sesuai kerana saya boleh memberikan tumpuan pada kerja-kerja promosi sepanjang tahun 2009,” katanya.

Selain diumumkan sebagai jurucakap, di majlis itu Noryn bersama Ketua Pegawai Eksekutif Global Beauty Marie France Bodyline, Benjamin Lo turut diberi penghormatan untuk merasmikan cawangan terbaru butik itu di pusat membeli-belah Sunway Pyramid.

Harian Metro