Archive for the ‘Angelina Jolie’ Category
Hollywood: Antara Kerjaya, Rumah Tangga
Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
Rap
KEHIDUPAN aktres Jennifer Aniston sentiasa menjadi tumpuan media. Bermula dengan perkahwinannya dengan aktor Brad Pitt hinggalah perceraian mereka, kemudian kisah cintanya dengan Vince Vaughn dan John Mayer.
Tidak cukup dengan itu, kenyataannya mengenai kekasih Pitt, Angelina Jolie juga menjadi buruan media. Namun, apakah wataknya sebagai wartawan yang berkahwin dengan kolumnis dalam Marley & Me, membuka matanya mengenai dunia kewartawanan?
Aktres berusia 39 tahun itu mengatakan watak Jenny Grogan, wanita yang bekerja sebagai wartawan dan berkahwin dengan John, lakonan Owen Wilson tiada kaitan langsung dengan kehidupan pengamal media.
Katanya, Marley & Me menggambarkan kehidupan dilalui Jenny Grogan sebagai ibu empat anak yang bekerja dan berkahwin dengan kolumnis John bersama anjingnya bernama Marley.
“Orang menonton wayang suka plot mudah dan tidak gemarkan filem yang mempunyai jalan cerita rumit. Tapi filem ini mampu membuatkan orang tertarik untuk berkunjung ke panggung.
“Filem komedi percintaan ini bukanlah mengenai gadis yang cuba menawan hati lelaki pujaannya atau lelaki cuba mendapatkan gadis yang dicintai. Ia bukanlah kisah mengejar seseorang iaitu pada akhir cerita mereka bahagia buat selama-lamanya.
“Bagaimanapun, ia satu kesinambungan yang anda boleh melihat jatuh bangunnya sebuah perhubungan,” katanya.
Marley & Me yang mula ditayangkan di pawagam pada hari Krismas, mengisahkan pasangan pengantin baru, John dan Jenny melayari bahtera rumah tangga mereka selepas berkahwin. Pada awal perkahwinan, mereka lebih fokus kepada kerjaya hinggalah mempunyai tiga anak.
Jennifer mengakui berhadapan dengan cabaran ketika pembikinan filem arahan David Frankel ini kerana ia memaparkan liku-liku perhubungan yang ada kalanya bahagia dan ada kalanya menghadapi masalah.
“Bagi saya, filem ini menarik kerana ia memberi pandangan baru mengenai perkahwinan dan bukannya kisah biasa seperti dipaparkan dalam filem komedi percintaan lain.
“Dalam filem ini dipaparkan kehidupan pasangan itu untuk melihat bagaimana mereka lakukan untuk memastikan ia berjaya dan menarik,” katanya.
Filem adaptasi berdasarkan autobiografi daripada buku dengan judul sama, bukanlah mengenai Marley, sebaliknya lebih kepada tuannya yang berjuang untuk menyeimbangkan kehidupan mereka antara kerjaya dengan keluarga yang makin membesar. Kedua-duanya bekerja dengan akhbar terkenal di Miami.
Jennifer yang dikenali menerusi watak komedi dalam siri Friends sebelum dikenali di layar perak seperti The Break-Up, Along Came Polly dan Bruce Almighty, mengakui tidak pernah terfikir mampu menjiwai watak komedi sebelum ini.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana boleh bekerja di kalangan pelakon komedi kerana saya memang tiada asas sebagai pelakon komedi atau menghadiri mana-mana kelas menjadi pelawak,” katanya.
Jennifer juga baru saja menyiapkan dua filem baru, He’s Just Not That Into You dan Traveling untuk tayangan 2009.
Mengenai kehidupan peribadinya, aktres kelahiran 11 Februari 1969 ini belum menemui pengganti Pitt selepas bercerai secara rasmi pada 2 Oktober 2005, walaupun pernah dikaitkan dengan Vince Vaughn dan John Mayer.
Jennifer dikatakan trauma dengan perceraian ibu bapanya, John Aniston dan Nancy Dow ketika dia berusia sembilan tahun.
Harian Metro
Wanita Paling Hebat
Pengaruh kuat Oprah dianggap faktor kejayaan Presiden Obama
PERSONALITI yang terkenal dalam arena sembang-sembang, Oprah Winfrey, telah muncul selaku wanita paling hebat dalam ‘Senarai 100 Hebat’ untuk bidang hiburan yang dikeluarkan setiap tahun.
Winfrey, yang terkenal kerana rancangan Oprah dan mula menjejaki dunia hiburan 22 tahun lalu, telah memainkan peranan penting dalam kejayaan Presiden Barack Obama dengan memberi sokongan kepadanya sepanjang kempen presiden yang lalu.
Agensi Reuters melaporkan bahawa editor Hollywood Reporter, Elizabeth Guider, menganggap bahawa pengaruh kuat Winfrey sebagai faktor kejayaan dan berkata bahawa Winfrey juga boleh muncul selaku wanita paling berpengaruh di Amerika.
Winfrey, 54 tahun, melonjak dari tangga keenam dalam senarai tahun lalu ke tangga pertama tahun ini.
Hollywood Reporter berkata bahawa satu kajian yang dijalankan oleh pakar ekonomi Universiti Maryland mendapati sokongan Winfrey itu berjaya memberi lebih daripada sejuta undian kepada Encik Obama.
Syarikat milik Winfrey, Harpo Inc, pula meraih pendapatan sekitar AS$345 juta ($514 juta) tahun lalu.
Pendapatannya termasuk yang diraih daripada rancangan televisyennya, sebuah majalah dan sebuah kedai dalam talian.
Presiden Disney-ABC Television Group, Anne Sweeney, menduduki tempat kedua selepas berada di tangga teratas senarai itu tahun lalu.
Sweeney memantau berita, hiburan dan divisyen-divisyen syarikatnya selain menguruskan cawangan-cawangan penerbitannya dan kabel televisyen.
Pengerusi Sony Pictures Entertainment Motion Picture Group, Amy Pascal, pula berada di tangga ketiga senarai itu.
Wanita-wanita lain yang tersenarai termasuk Angelina Jolie yang berada di tangga ke-24 kerana penglibatannya dalam kerja-kerja kemanusiaan; pelawak Tina Fey di tangga ke-51 kerana memainkan watak selaku calon Naib Presiden Republikan, Sarah Palin; serta Miley Cyrus, yang baru berusia 16 tahun yang menduduki tangga ke-100.
Senarai 10 wanita paling hebat adalah seperti berikut:
1. Oprah Winfrey, pengerusi Harpo Inc.
2. Anne Sweeney, presiden Disney-ABC Television Group dan pengerusi bersama Disney Media Networks.
3. Amy Pascal, pengerusi Sony Pictures Entertainment Motion Picture Group dan pengerusi bersama Sony Pictures Entertainment.
4. Nancy Tellem, presiden CBS Paramount Network Television Entertainment Group.
5. Stacey Snider, pengerusi bersama dan CEO DreamWorks.
6. Bonnie Hammer, presiden NBC Universal Cable Entertainment dan Universal Cable Productions.
7. Judy McGrath, pengerusi dan CEO MTV Networks.
8. Mary Parent, pengerusi MGM Worldwide Motion Picture Group.
9. Dana Walden, pengerusi 20th Century Fox Television.
10. Nina Tassler, presiden CBS Entertainment.
Cyberita