Archive for the ‘Anita Sarawak’ Category
Berpisah Hanya Ke Tandas
Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

DI MANA sahaja Anita Sarawak berada, suaminya, Mahathir Abdullah pasti berada di sisi setia menemani. Tidak kira untuk skop kerja atau peribadi, pasangan ini sukar untuk dipisahkan. Malah selepas sembilan tahun hidup bersama, cinta mereka semakin mendalam.
Ada rahsia di sebalik kebahagiaan mereka. Anita Sarawak yang lebih selesa dengan sapaan Kak Nita memberitahu dia dan Mahathir menjalani hidup biasa dan sederhana seperti manusia lain. Dan kehidupan ringkas itu menjadi nikmat kepada mereka.
Setiap pagi Mahathir akan menyediakan sarapan pagi buat Kak Nita dan mereka ada kalanya bersantai sambil menyiram pokok. Itu adalah antara aktiviti yang membantu mengekalkan serta mengeratkan hubungan mereka.

PASTI ada yang cemburu kerana pada usia lebih 50 tahun, Kak Nita masih cantik bergaya.
“Dengan ada abang Mahathir di sisi saya, hidup saya menjadi lebih lengkap dan sempurna. Bukannya dulu saya tidak gembira tetapi hidup saya berasa sunyi dan kekurangan. Kehadiran abang Mahathir selama sembilan tahun ini telah menceriakan setiap saat dalam hidup saya,” kata Kak Nita yang ditemui pada Malam Penghargaan Media - A Night Of Thanks yang dianjurkannya.
Dalam senyuman Kak Nita memberitahu bahawa mereka hanya berpisah ketika berada di tandas. Dan mereka berdua juga tidak pernah lupa untuk mengucapkan ayat I Love You setiap pagi selepas bangun tidur.
“Itu adalah rutin kami setiap pagi. Dan saya tidak pernah jatuh cinta seperti ini. Kami menghargai dan bertuah untuk hidup bersama,” tambah Mahathir yang sentiasa menyokong karier Kak Nita.
Bertempat di Restorante Porto Romano, K-1, Mont Kiara Banyan, Mont Kiara, Kuala Lumpur, ada sebabnya mengapa Kak Nita dan suaminya bersusah payah menganjurkan Malam Penghargaan Media khas kepada media.
Bukan sahaja mengambil masa untuk mengatur majlis serta menjemput para wartawan, Kak Nita dan suami juga menjadi pengacara malam itu dan mereka telah mengambil masa lebih sebulan untuk membuat persediaan majlis.
“Mungkin suatu hari nanti Kak Nita tidak ada dalam industri seni. Jadi Kak Nita masih berharap untuk menjadi kawan rakan-rakan wartawan. Bagi Kak Nita, persahabatan ini adalah penting. Lagipun media banyak menyokong karier Kak Nita selama ini.

WARTAWAN muda sentiasa sayang dan hormat kepada artis bernama Anita Sarawak.
“Malah majlis makan ini juga merupakan idea abang Mahathir yang secara peribadi berasa mesra dengan media tempatan. Kak Nita bukannya diva tetapi mahu diingati sebagai kawan kepada media,” tambah Kak Nita yang sentiasa mengharapkan kedamaian dunia serta badan yang sihat.
Majlis penghargaan itu juga digunakan untuk mengumumkan perlantikan Kak Nita sebagai duta produk kecantikan Silvana Miracle Skin Care selama dua tahun. Pertama kali menjadi duta produk kecantikan, Kak Nita akur dengan tawaran kali ini kerana yakin dengan produk itu.
“Selepas mencuba sebulan, Kak Nita dapat melihat perbezaannya. Kulit Kak Nita amat sensitif. Jadi apabila produk ini menunjukkan hasil yang baik, Kak Nita tahu ia adalah produk yang bagus.
“Kerja sebagai artis menyebabkan Kak Nita selalu terdedah dengan alat solek. Dan penjagaan kulit perlu dititikberatkan. Maka, itu yang menyebabkan Kak Nita bersetuju untuk menjadi duta produk ini,” kata Kak Nita mengenai produk yang sudah bertapak di Malaysia selama 15 tahun.

TIADA lain yang diharap Anita dalam doanya, melainkan cinta setia hingga ke hujung nyawa bersama Abang Mahathir.
Menegaskan bahawa menerima tugas itu bukan kerana wang, Kak Nita memberitahu gerakan hati serta hubungan baik dengan pengusaha produk, Puan Silvana Salim serta keberkesanan produknya yang membuatkan dia bersetuju.
“Silvana seperti sudah menjadi sebahagian daripada keluarga. Sebelum ini memang ada syarikat kosmetik gergasi menawarkan Kak Nita untuk menjadi duta tetapi Kak Nita tidak berminat,” kata Kak Nita yang merupakan duta kepada Pensonic, Empire Furniture dan Privilege Spa.
Terharu kerana baru menyambung kontrak selama dua tahun bersama Astro, Kak Nita buat masa ini belum ada sebarang pengesahan mengenai program yang bakal disertainya. Katanya, tahun depan, pihak Astro baru akan membuat perbincangan.
“Belum tahu lagi apa program yang dirancang. Tidak kira drama, sitkom, program berbentuk majalah atau hiburan, Kak Nita akan lakukan yang terbaik untuk penonton Astro,” jelas Kak Nita, 56 tahun yang belum bersedia untuk melahirkan album baru.
Kosmo
Anita Gundah Tanpa Mahathir
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Rap
BIBIRNYA tidak pernah lekang menyebut nama Mahathir. Pantang hilang depan mata, gundah-gulanalah Anita Sarawak dibuatnya. Sesekali melihat gelagat pasangan romantis ini, persis orang muda bercinta. Siapa sangka, melayari tempoh sembilan tahun perkahwinan diva, Anita Sarawak dan suaminya, Mahathir Abdullah mampu bertahan meskipun tanpa kehadiran anak.
Akui Anita Sarawak atau senang membahasakan dirinya Kak Nita, hadirnya Mahathir melengkapi kehidupannya.
“Sejak bertemu abang Mahathir hidup saya terasa lengkap. Kehidupan saya yang lalu bukan tidak sempurna cuma saya berasakan ada kesunyian dan kekurangan. Tetapi dengan abang Mahathir hidup saya rasa terisi dan dia sentiasa bersama saya melainkan tandas saja kami tidak berdua (berseloroh).
“Layanan diberikan abang Mahathir sejak sembilan tahun lalu terhadap saya tidak pernah berubah. Setiap pagi abang Mahathir akan menyiapkan sarapan untuk saya, kemudian kami akan melihat burung di tingkap sambil berbual-bual.
“Setiap hari juga, kami berdua tidak pernah lupa ucap ‘I love you’. Selain mengingatkan diri masing-masing apapun yang akan terjadi kami akan harungi bersama-sama biarpun susah mahupun senang,” katanya.
Pada usia 56 tahun, Anita mengakui bukan kekayaan dan kemasyhuran lagi dicarinya sebaliknya seseorang di samping yang sanggup mengharungi susah payah bersama.
Justeru, Anita ditanya apakah dia mempunyai perancangan untuk menunaikan umrah atau haji sebagai mempertingkatkan kualiti sebagai insan.
“Niat itu ada, tinggal lagi belum sampai seru dari Yang Maha Esa. Saya percaya mereka yang menjejakkan kaki ke Makkah untuk menunaikan haji atau umrah adalah insan yang dipilih dan memperoleh seru daripada-Nya.
“Insya-Allah, suatu hari saya mahu ke sana dan kalau boleh sekembali menunaikan ibadat itu saya tidak mahu lagi terbabit dalam dunia nyanyian. Sebenarnya saya tidak berani memperkatakan ini kerana bimbang lain yang kita harapkan lain pula jadinya ,” katanya.
Isnin lalu, bertempat di Restorante Porto Romano, K-1, Mont Kiara Banyan, Mont Kiara, Kuala Lumpur, Anita dan suaminya menganjurkan Malam Penghargaan Media (A Night Of Thanks).
Jelasnya, itu dirancangkannya dan Mahathir sejak sebulan lalu sebagai tanda terima kasih kepada pihak media yang sentiasa mendokong karier seninya dari dulu sampai hari ini.
“Kita sampai ke penghujung 2008, justeru saya dan abang Mahathir terfikir untuk mengadakan sebuah majlis meraikan media yang tidak pernah jemu menyokong karier seni saya.
“Abang Mahathir sendiri secara peribadi berasa amat gembira sejak berada di sini kerana dia berasa diterima dan semuanya cukup dekat padanya. Majlis ini tanda kami amat menghargai persahabatan yang terjalin,” katanya.
Malam yang indah itu turut dimanfaatkan dengan pengumuman pelantikan Anita sebagai duta produk Silvana Miracle Skin Care selama dua tahun.
Kata Anita, dia tertarik menjadi duta Silvana Miracle Skin Care kerana yakin dengan keberkesanan produk itu selepas mencubanya lebih sebulan lalu.
“Sebagai artis saya kerap menggunakan alat solek, untuk menjaga penampilan di atas pentas dan ketika berdepan khalayak ramai. Justeru saya perlukan produk penjagaan muka yang boleh memulihara kulit agar sentiasa bersih dan licin.
“Selepas mencuba produk ini yang terdiri daripada pembersih, toner dan pelembap sebulan yang lalu saya begitu berpuas hati dengan hasilnya. Kemudian barulah saya menyatakan persetujuan menjadi duta produk ini.
“Untuk pengetahuan ramai ini adalah kali pertama saya menjadi duta produk penjagaan kulit. Sebelum ini banyak pihak menawarkan peluang sama tetapi saya tidak berminat.
“Berlainan dengan Silvana Miracle Skin Care, selain hubungan baik dengan pengusaha produk ini iaitu Puan Silvana Salim saya juga amat berpuas hati dengan hasil produk itu,” katanya.
Selain pelantikan duta Silvana Miracle Skin Care, Anita yang turut menjadi duta kepada Pensonic, Empire Furniture dan Privillage Spa terharu kerana Astro menyambung kontraknya selama dua tahun dengan stesen itu.
Bagaimanapun, ketika menyentuh soal album, Anita belum bersedia memperkatakannya.
Suasana majlis malam itu dihangatkan lagi dengan pertandingan karaoke antara pihak media. Wartawan hiburan New Straits Times, Hafidah Samad muncul sebagai juara manakala hadiah utama cabutan bertuah berupa haiwan peliharaan elektronik ‘Pleo Pensonic’ berharga, RM1,699 dimenangi Jessabell Soo (wartawan hiburan Kosmo!).
Harian Metro