Archive for the ‘Anna Kournikova’ Category

Sukan Bertemu Fesyen


Oleh ROSMAWATI MION


RANGGI bersukan. Baju ala singlet bercerut di pinggang ringkas digayakan dengan seluar pendek paras lutut.

DAHULU, menonton apa juga jenis sukan, mata hanya tertumpu kepada permainan termasuk aksi-aksi menarik yang ditampilkan atlet sehingga beroleh kemenangan. Tiada tarikan lain yang mampu meraih perhatian apatah lagi pada pakaian para atlet yang rata-ratanya serupa.

Sebab itu apabila munculnya kelainan, ia menjadi bualan hangat. Tidak ketinggalan daripada segi gaya berpakaian mereka. Mungkin dahulu ramai memperkatakan gaya seorang pelari Amerika Syarikat, Florence Griffith Joyner atau lebih dikenali dengan Flo-Jo.

Beliau telah mengejutkan trek dunia apabila tampil dengan kuku panjang berwarna-warni serta pakaian sendat. Namun, penampilan wanita terpantas dunia itu telah mencipta senario baru dalam dunia sukan.

Biarpun beliau telah meninggal dunia pada tahun 1998 kala berusia 38 tahun, namun aura Flo-Jo yang bergaya cantik di trek terus mekar. Dan kini, atlet bukan sekadar menjadi sebutan kerana kepantasannya beraksi di lapangan masing-masing, tetapi turut diperkatakan ekoran gaya cantiknya kala turun ke gelanggang sukan mereka.

Malah, atlet dewasa ini bukan lagi hanya dilihat sebagai atlet semata-mata. Sebilangan mereka menjadi perhatian dunia tidak hanya disebabkan gemar bergaya kala beraksi, sebaliknya kecenderungan atlet tersebut menjadikan peragaan sebagai kerjaya sampingan yang tentunya menguntungkan.

Antara yang menjadi sebutan adalah Anna Kournikova. Bekas pemain tenis professional berusia 27 tahun ini cukup dikenali kerana fizikalnya yang cantik, apalagi mempunyai rambut perang paras pinggang yang menjadi idaman ramai wanita.

Anna yang dilahirkan di Moscow itu mula beraksi dalam kejohanan antarabangsa ketika berusia 14 tahun dengan bertanding di Piala Fed untuk Rusia dan menjadi pemain termuda mewakili negaranya untuk pertandingan tenis. Dirinya mula menjadi perhatian dunia kala beraksi dalam Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) ketika usianya 15 tahun.

Disebabkan kecantikannya itu, Anna turut ‘disambar’ syarikat-syarikat gergasi dunia untuk menjadi model bagi barangan keluarannya, antaranya jam tangan Omega, Adidas, Yonex, Berlei, Lycos dan Multiway.

Kini, biar sudah bersara daripada dunia tenis, Anna masih bergiat aktif dalam bidang peragaan.

Mengikuti jejak langkah Anna untuk turut cenderung dalam bidang peragaan adalah rakan senegaranya yang juga ‘berlian’ di gelanggang tenis, Maria Sharapova.

Malah, Maria, 21, merupakan ikon kepada era baru kemunculan pemain generasi muda yang jelita dan tampil menawan di gelanggang tenis.

Umpamanya, ketika kejohanan tenis Wimbledon 2008, Maria mencuri tumpuan dengan mengenakan pakaian yang direka berasaskan tuxedo dipadankan seluar pendek.

Selain pakaian yang menarik perhatian, Maria turut memakai subang berlian Tiffany & Co. berharga AS$5,000 (RM16,300) dan ia juga merupakan kali kedua Maria menggayakan subang Tiffany selepas kejohanan Roland Garros.

Selain beraksi cergas di gelanggang, Maria juga terpilih untuk menjadi model bagi jam tangan TAG Heuer dan model iklan untuk Palmolive dan kamera digital Canon.

Andai diperhatikan, dunia tenis wanita sememangnya diwarnai dengan fesyen. Sebabnya, rata-rata pemain wanitanya bijak bergaya dan sentiasa mengejutkan dunia dengan gaya penampilan mereka, selain tidak kisah memakai aksesori biarpun ketika di gelanggang.

Pandang sahaja Serena Williams, 27, yang cukup meminati fesyen. Serena sering muncul di gelanggang dengan mengejutkan peminat tenis dengan fesyennya yang berbeza berbanding pemain lain.

Umpamanya, selain sering memilih pakaian beraneka warna yang terang, Serena pernah menyarung skirt denim dan kasut but kala beraksi di kejohanan tenis Terbuka AS 2004.

Keghairahannya pada bidang fesyen bukan sahaja dilihat pada penampilan dirinya yang sentiasa bergaya dalam apa juga perlawanan, tetapi sanggup mendalami dunia rekaan fesyen sehingga kini mempunyai label pakaiannya sendiri yang dinamakan Aneres iaitu ejaan Serena yang diterbalikkan.

Saling berkait

Kakaknya, Venus biarpun tidak terlalu menonjol gayanya seperti Serena juga mempunyai pakaian sukan dan aksesori dengan labelnya sendiri iaitu, Eleven.

Bagi dunia golf pula, ramai kini sedang memperkatakan tentang bintang muda, Michelle Wie atau nama samarannya, Big Wiesy. Disebabkan usianya yang masih muda dan berwajah cantik, Michelle tampil menawan di padang golf. Gayanya juga tidak membosankan, ada kalanya memakai anting-anting kala perlawanan.

Bergelar pemain profesional seminggu sebelum hari jadinya yang ke-16, gaya Michelle yang kini berusia 19 tahun itu bakal menjadi ikutan ramai terutama buat peminat golf.

Buat lelaki, ramai tidak boleh menyangkal betapa kuatnya tarikan David Beckham bukan sahaja pada dunia bola sepak tetapi juga dalam bidang fesyen.

Gaya bintang bola sepak yang dilahirkan pada 2 Mei 1975 itu sentiasa menjadi ikutan, daripada berpakaian sehinggalah kepada potongan rambutnya.

Selain menjadi model iklan buat Adidas dan Pepsi, David mengejutkan ramai peminatnya apabila menerima tawaran Emporio Armani untuk menjadi model pakaian dalam lelaki jenama itu.

Gaya David sentiasa mendapat perhatian lensa kamera jurugambar tidak kira kala menggelecek bola di padang mahupun menghadiri majlis-majlis sosial bersama isterinya, Victoria Beckham.

Apa pun, fesyen dan sukan yang dahulunya dilihat satu cabang berbeza dan sukar diadun bersama, kini segalanya berubah.

Kedua-dua bidang ini semakin saling berkait. Malah, sebilangan atlet terutamanya luar negara gemar bergaya biarpun ketika sedang beraksi cergas di lapangan masing-masing. Dan, ia menjadi ikutan peminatnya.

Perkembangan baik itu turut mendorong nama-nama besar dalam sukan seperti Adidas ‘menggoda’ pereka fesyen untuk ‘berkarya’ dalam mencipta rekaan menarik khusus untuk pakaian sukan agar atlet serta peminat sukan tidak terpaksa mengorbankan gaya mereka andai ingin bersukan.

Kolaborasi ini mencipta gelombang tarikan terhadap industri fesyen. Hasilnya, pakaian sukan kini tidak lagi dilihat sesuatu yang membosankan. Sebaliknya, ramai berbangga jika dapat menggayakan rekaan terkini umpama trend dunia fesyen agar diri tidak dikatakan ketinggalan.

Buat Adidas, biar rekaan cantik bergaya, tetapi ia masih menumpukan potongan yang mampu meluaskan lagi pergerakan tubuh sewaktu bersukan selain keselesaan pemakai dengan penggunaan fabrik yang berkualiti tinggi.

Begitu juga keluaran Adidas oleh Stella McCartney yang mengetengahkan koleksi khusus dalam memberikan wanita apa yang selama ini didambakan iaitu pakaian sukan yang bantu pergerakan dan pentingnya nampak cantik.

Sebabnya, wanita memerlukan kedua-duanya. Sukan dan gaya. Hakikatnya, kini wanita tidak perlu lagi mengorbankan kecintaannya dalam fesyen dan terpaksa memilih salah satu antara dua cabang berbeza ini.

Bukan itu sahaja, wanita juga tidak boleh lagi menjadikan gaya sebagai satu alasan untuk tidak aktif bersukan. Segalanya kini terpulang kepada wanita.

Utusan Malaysia

Anna Kournikova Salahkan Paparazi


LONDON- Pemain tenis wanita terkenal, Anna Kournikova (gambar) mendakwa liputan media terhadap hubungannya dengan penyanyi Enrique Iglesias menjejaskan kehidupannya, lapor sebuah akhbar semalam.

“Perempuan akan memandang kepada dia (Iglesias) manakala lelaki akan merenung saya.

“Saya faham mereka (jurugambar paparazi) perlu melaksanakan tugas.

“Namun, ia dianggap mengacau jika anda berasa kebebasan anda dilanggar. Rakamkan sahaja gambar dan beredar,” katanya.

Kournikova turut menafikan dia menjalani pembedahan kosmetik.

“Saya belum berkahwin, belum hamil, tidak mengambil suntikan Botox dan tidak melakukan pembedahan pembesaran buah dada,” katanya.

Kournikova menyatakan dia juga mahu mengalami pengalaman menjadi tua.

“Kenapakah semua orang takut menjadi tua.

“Kamu akan menjadi lebih bijak dan matang. Kamu akan memahami diri anda dengan lebih baik,” katanya yang berumur 27 tahun.

- Agensi

Kosmo