Archive for the ‘Anthony Hopkins’ Category
Hilangnya Dunia Batman
WATAK Batman memang cukup dikenali. Ia muncul dalam banyak medium, komik, siri televisyen dan juga filem. Saya antara salah seorang yang membesar dengan komik-komik Batman. Sifat adiwira Batman yang hebat dan imej kelam memberikan karakteristik penting dalam penghayatan khalayak terhadap Batman. Manusia kelawar yang boleh terbang bukan dengan kesaktian tetapi teknik dan sains memerlukan malam untuk melengkapkan wataknya.
Malam, kelam dan suram adalah karakter filem Batman (1989) arahan Tim Burton. Batman menjadi filem pertama yang diadaptasi daripada cerita komik oleh Bill Finger yang diilustrasikan oleh Bob Kane yang menemui khalayak pembaca pada 1939. Filem ini sangat diingati kerana mengekalkan karakter dan premis penting yang menghidupkan cerita ini, sebuah bandar raya ilusi bernama Gotham City. Dalam Gotham City ada sistem sosial tersendiri dan wujud watak hitam dan putih yang memberikan nafas dramatik kepada Batman. Gotham City hanya wujud dalam Batman.
Batman di tangan Tim Burton mirip genre noir yang muncul di Amerika Syarikat pada dekad 40-an dan 50-an. Sesetengah pengkaji filem melabelkan Batman sebagai neo-noir atau noir baru kerana membawa elemen-elemen noir terutama pada karakteristik dalam filem ini sekalipun keseluruhannya tidak menjuruskan definisi noir. Batman tidak terlepas terus daripada noir yang kaya dengan kritikan sosial dan ekspresi sinematik di sebuah premis yang penuh dengan “kegelapan”. Gelap di sini lebih sebagai metafora kecelaruan sosial.
Pembinaan set Gotham City dalam Studio Finewood dan menghidupkan suasana malam yang suram, jalan-jalan yang basah dengan refleksi lampu neon memberikan satu ekspresi sinematik yang impresif kepada Batman. Tim Burton memindahkan kesan rasa daripada pengalaman membaca komik ke layar perak dengan baik. Peluang Tim Burton bermain dengan cahaya dan bayang untuk memberikan gambaran satu bandar raya yang bermain di ilusi Bob Kane 79 tahun lalu.
Lalu apa yang berlaku sekiranya Batman dikeluarkan daripada lingkaran ekspresi noir menjadi sebuah filem jenayah yang biasa? Inilah yang berlaku pada The Dark Knight sequel daripada filem Batman Return. Pengarah Christopher Nolan dan penulis lakon layar Jonathan Nolan dan Christopher Nolan mencipta premis baru kepada Batman. Gotham City telah hilang kesan kegelapan malamnya. The Dark Knight telah hilang keaslian Batman dan keunikan yang terbina sekian lama dalam komik Batman. Ini boleh dianggap satu eksperimen Christopher Nolan untuk memberikan tafsiran baru kepada komik yang bertaraf cult kepada peminat-peminat.
Sekali pun menggunakan judul yang tidak menyebut Batman tetapi The Dark Knight dibina daripada kerangka Batman. Karakteristik Batman dan premis menjadi penting kerana Batman diingati dengan dunia malamnya. Maka apabila The Dark Knight menghilangkan dunia malam Batman dan Gotham City tidak ada lagi keunikannya malah membawa Batman merayau hingga Hong Kong, The Dark Knight menjadi filem Batman yang buruk setakat ini. Filem ini terkeluar daripada ikatan Batman dengan pemuja-pemujanya dan The Dark Knight sebuah eksperimen yang tidak berjaya. Malah filem ini menjadi retorik apabila terpengaruh dengan persepsi Barat khususnya AS dengan kewujudan teroris pada abad baru ini. Watak Joker (lakonan Heath Ledger) yang menjadi pasangan Batman digambarkan seperti teroris kerana idealisme Joker dalam The Dark Knight bukan penjenayah yang materialistik. Adegan Joker membakar satu kontena wang kertas memperlihatkan watak ini sengaja memaksa penonton melihat daripada sisi teroris.
Permainan sinematik yang ditunjukkan oleh Christopher Nolan dan Tim Burton ternyata sangat berbeza. Tim Burton memilih menjadikan Batman sebuah filem yang puitisnya dirasakan menerusi permainan cahaya dan bayang serta sudut kamera yang merakamkan karakter Gotham City. Tetapi di tangan Christopher Nolan, kesan puitis itu telah hilang dan seperti cuba untuk menzahirkan Batman dalam milieu sosial semasa di sebuah kota raya di AS. Malah The Dark Knight tidak pula menjadi filem gengster. Tetapi yang jelas filem ini cuba melampaui dunia kelam Bob Kane kepada kecerahan realiti masa kini.
Pelakon yang diberi kepercayaan dan peluang melakonkan watak Batman selalu menjadi perhatian. Dalam filem yang diarahkan oleh Tim Burton, Michael Keaton menjadi pelakon pertama melakonkan Batman di filem. Perwatakan yang dibentuk oleh Bill Finger dulu, Bruce Wayne @ Batman seorang billionaire muda dan suka memikat wanita. Michael Keaton memberikan lakonan yang mengagumkan. Dalam The Dark Knight, Christine Bale melakonkan watak Batman. Tetapi agak malang apabila Christine Bale tenggelam di sebalik karisma Heath Ledger yang membawakan watak Joker dengan hebat sekali. Joker menguasai hampir keseluruhan filem ini dan meninggalkan Batman jauh di belakang.
Semua ini kerana pencapaian mengisi watak yang diberikan kepada Heath Ledger. Joker di tangan pelakon ini bukan saja seorang penjenayah malah pembunuh psychopathy yang mengingatkan kita kepada lakonan Anthony Hopkins dalam The Silence of the Lamb lebih sepuluh tahun lalu. Gerak dan ekspresi Heath Ledger bagai besi berani kepada penonton, apa lagi kesan humor yang dipersembahkan dengan jayanya. Joker di tangan Heath Ledger memang “pelawak” yang sadis, sesekali memerah ketawa dan sesekali pula menyentap jiwa apabila pelawak ini membunuh tanpa rasa.
Dalam The Dark Knight, Christine Bale bukanlah pasangan yang sesuai dengan Heath Ledger. Ketidakseimbangan persembahan lakon ini membuatkan filem ini sedikit tempang apabila Joker lebih menguasai penonton, tetapi Batman menjadi perlahan dan tenggelam. Watak wanita semacam tidak bermaya, ketiadaan watak Catwoman lakonan Michelle Pfeiffer dalam Batman Return. Kemunculan Maggie Gyllenhaal membawa watak Rachel Dawes, teman wanita Batman tidak cukup kuat untuk menyumbang kepada filem ini.
Biar pun majoriti pengkritik di AS memberikan rating yang menarik kepada The Dark Knight termasuk Roger Ebert tetapi ternyata filem ini belum menyaingi Batman Return atau Batman. Percubaan untuk keluar sepenuhnya daripada lingkungan pengaruh komik menghilangkan metafora kelam dan malam yang banyak menyumbangkan kepada cerita asalnya. Walau apa pun, penonton tetap terpesona dengan Joker terutama dialognya semasa mahu membunuh mangsa, “Why so serious?”.
Utusan Malaysia
Gandingan Naomi, Gwyneth Dan Keira
RASANYA gandingan ketiga-tiga bintang jelita ini pastinya akan ditunggu-tunggu. Masakan tidak, belum pernah ada sebuah filem pun yang menggandingkan mereka bertiga.
Naomi Watts telah menyatakan persetujuannya untuk membintangi filem King Lear yang merupakan sebuah filem yang diadaptasi dari karya agung William Shakespeare.
Filem yang bakal diarahkan oleh Joshua Michael Stern itu turut menampilkan pelakon legenda yang juga pemenang Oscar, Anthony Hopkins di samping Gwyneth Paltrow dan Keira Knightley yang telah menyatakan persetujuan mereka terlebih dahulu untuk membintangi filem ini.
Dalam filem itu nanti, Naomi, Gwyneth dan Keira akan memegang watak sebagai sebagai adik-beradik.
Selaku pengarah, Joshua turut memberitahu bahawa filem berkenaan akan disertai ramai lagi pelakon berbakat yang mempunyai nama besar dan jalan cerita King Lear tidak akan diubah sebaliknya akan mengekalkan jalan cerita yang sebenar.
Penggambaran akan dijalankan sekitar Britain dan Ireland bermula awal tahun hadapan.
Utusan Malaysia