Archive for the ‘Anugerah Band’ Category

Konsert Hanafie Hebat, Bertenaga


DENGAR-DENGAR
Konsert Hanafie hebat, bertenaga

By Jo Santai

TERNYATA ‘Masih Ada Rindu’ di kalangan para peminat penyanyi mapan, Hanafie Warren, terhadap lagu-lagu nyanyian beliau.

Segala persoalan sama ada Hanafie masih diminati dan dirindui peminat terjawab apabila penyanyi bersuara lunak itu beraksi dalam konsert di Top 5 Orchard Towers pada 5 Julai lalu.

Kira-kira 400 penonton datang menyaksikan konsert tiga jam dan pastinya berpuas hati kerana disajikan dengan persembahan serta nyanyian daripada vokal Hanafie Warren yang masih mantap. Tentu sekali, lagu popularnya, Masih Ada Rindu, didendangkan.

Sebanyak 18 lagu yang di persembahkan termasuk lagu-lagu lama dan daripada album terbaru, Eufonu, serta beberapa lagu Inggeris rok klasik.

‘Terus-terang mulanya saya berasa gementar. Tetapi setelah menyanyikan lagu pembukaan dan menerima reaksi hangat orang ramai, saya mula selesa.

‘Permainan bertenaga daripada ahli muzik yang mengiringi saya juga amat membantu menaikkan semangat saya,’ cerita Hanafie ketika ditemui di akhir konsert.

Beliau dan para pemuzik pengiringnya mengambil masa tiga bulan berlatih untuk memantapkan konsep persembahan.

Perasaan gementar itu menjadi ghairah sehingga Hanafie sendiri mengakui 18 lagu yang disiapkan tidak mencukupi untuk memuaskan hati penonton. Apatah lagi beliau melihat ramai peminatnya masih mengingati lirik lagu-lagu lamanya.

‘Saya rasa berbesar hati kerana peminat tak lupa lagu-lagu popular saya. Sokongan mereka menguatkan semangat saya untuk teruskan perjuangan dalam bidang muzik.

‘Saya juga ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada pemuzik pada malam konsert saya iaitu Leng, Najib, Bo dan Ajib kerana membuat konsert malam ini lebih hebat dan bertenaga,’ tambahnya lagi.

Konsert anjuran MCC Events & Production itu turut mengetengahkan artis-artis undangan seperti kumpulan Inka, Alias Kadir dan Mazni.

Hanafie, yang sempat menjadi juri Anugerah Band peringkat separuh akhir, turut memberi komen mengenai bakat-bakat tempatan yang berjaya dicungkil menerusi pertandingan yang baru berakhir itu.

‘Saya harap bakat kumpulan-kumpulan ini tidak dipersia-siakan dan dilupakan setelah rancangan Anugerah Band berakhir. Penulis difahamkan Hanafie Warren dan pihak MCC & Production juga dalam perangkaan untuk mengadakan konsert di Pulau Pangkor, Perak; Batam dan beberapa daerah di Indonesia serta memenuhi acara sempena Hari Raya iaitu Beraya Bersama Rockers & Classic Rock II.

Cyberita

Ada Tak Sedar ‘Dinilai’ Media


SELAIN hadiah-hadiah utama, finalis dan peserta separuh akhir Anugerah Band berpeluang memenangi salah satu anugerah sampingan yang disediakan termasuk Anugerah Band Kesayangan Media.

Dan apabila sudah dinamakan band favorit media, tentulah mereka harus tahu melayani soalan-soalan wartawan dengan bijak.

Jurinya? Siapa lagi kalau bukan para wartawan sendiri, khususnya wakil-wakil media utama tempatan.

Khabarnya, penilaian terhadap kewibawaan band-band yang terlibat dalam berhadapan dengan pihak media telah pun dimulakan baru-baru ini.

Menurut rakan media yang terlibat dalam pengadilan tersebut, ada band yang agak terkejut apabila dilemparkan soalan-soalan pedas dan laser, sehingga ada anggota band yang merah padam mukanya, mungkin menahan marah.

Apa yang menarik perhatian, band-band berkenaan tidak tahu bahawa mereka sebenarnya sedang dinilai untuk kategori yang dimaksudkan.

Alahai, kalau bukan kerana mereka masih dalam gelanggang pertandingan, salah silap ada yang bertumbuk dengan wartawan yang bertubi-tubi ‘menyerang’ peserta dengan soalan yang menguji kesabaran mereka.

Jelas, ada band yang begitu bijak menghadapi apa jua bentuk soalan biarpun sensitif tetapi ada juga yang cakapnya merapu dan tidak tahu apa yang dibualkan.

Cyberita