Archive for the ‘Anugerah Industri Muzik’ Category
Harapan Tahun Baru
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap
BAGAIKAN ‘ironi’ apabila dua artis muda dan popular ini ditemukan dalam sesi fotografi khas Rap sempena menyambut kehadiran 2009 esok.
Sebaik melihat kelibat bintang muda yang semakin menyinar dalam industri perfileman, Lisa Surihani Mohamed, 22, atau Lisa di bilik studio Balai Berita membuatkan penyanyi popular, Ahmad Faizal Mohd Tahir, 30 atau Faizal Tahir terkejut.
Faizal turut bertanya adakah sebelum ini wartawan Rap tahu akan kisahnya dulu yang berusaha untuk mendapatkan Lisa.
Menerangkan lebih lanjut kata Faizal, pihak syarikat rakamannya Monkey Bone sebelum ini mahu Lisa membintangi klip video Sampai Syurga kerana berpendapat gadis berdarah kacukan Inggeris dan Melayu ini calon paling sesuai.
“Waktu itu produksi menyenaraikan banyak nama tetapi Lisa menjadi pilihan utama. Sayangnya sewaktu dihubungi, dia sudah terbang ke London untuk melanjutkan pelajaran. Saya ingatkan kami ditemukan kali ini kerana peristiwa itu,” katanya memberikan penjelasan.
Bagaimanapun, mungkin sudah tuah Faizal apabila Rap menemukannya dengan Lisa secara tidak sengaja bagi bercerita perihal tahun baru yang akan dilalui mereka sebagai anak seni.
Rata-rata pemerhati industri melihat Faizal akan kembali bangkit selepas berhadapan pelbagai kontroversi termasuk peristiwa membuka baju di konsert ulang tahun 8TV sehingga digam selama tiga bulan dan larangan membuat persembahan di Perlis oleh mufti negeri itu.
Tahun 2009 dimulakan Faizal dengan cemerlang apabila dua lagu nyanyian dan ciptaannya bersama Audi Mok, iaitu Sampai Syurga dan Cuba menyertai Anugerah Juara Lagu yang bakal berlangsung 18 Januari ini di Stadium Putra Bukit, Jalil. Malah karyanya disebut-sebut bakal bergelar juara.
Sebelum ini dua lagunya, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta layak ke Anugerah Juara Lagu tetapi tidak dapat disampaikan Faizal kerana penggantungannya itu.
“Saya tidak berani menyatakan 2009 adalah tahun saya kerana setiap kejayaan diraih tidak pernah dirancang. Mengambil contoh apabila album Aku.Muzik.Kamu memenangi empat anugerah termasuk Anugerah Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM), Saya dan Audi seperti tidak percaya.
“Bagi Audi sendiri, kejayaan itu benar-benar mengangkat namanya dalam industri muzik tempatan kerana dia memenangi anugerah itu menerusi album rock yang pertama kali diterbitkannya,” katanya.
Mengimbau sejarah dilalui sepanjang 2008, Faizal berkata segala yang berlaku diterima dengan positif walaupun pada masa sama timbul perasaan kecewa dan mahu meninggalkan terus dunia seni.
“Saya percaya kepada ketentuan Tuhan. Dia Maha Besar dan Maha Mengetahui dan apa juga berlaku adalah perancangan-Nya untuk menjadikan saya manusia lebih baik pada masa akan datang.
“Selalunya saya tahu dugaan besar yang datang itu akan digantikan dengan perkara paling manis. Tahun lalu kerana insiden buka baju dan digam hingga tiga bulan saya tidak dapat bertanding di Juara Lagu tetapi selepas itu saya memenangi dua anugerah di Anugerah Planet Muzik.
“Di saat saya gembira menerima empat anugerah di AIM, keesokan timbul pengumuman daripada Mufti Perlis yang saya tidak dibenarkan membuat persembahan di sana. Ia silih berganti dan sekarang dua lagu saya sekali lagi berpeluang bertanding pada anugerah Juara Lagu dan saya dibenarkan beraksi,” katanya
Dalam berhadapan dengan situasi cukup mencengkam itu kata Faizal, sebenarnya ia memberi peluang untuk dia berehat selama enam bulan untuk menilai kembali kerjayanya di samping berpeluang menghasilkan lagu baru untuk album solo kedua.
“Saya tidak meletak harapan besar sepanjang 2009, bagaimanapun ada dua perancangan dibuat bagi memastikan kelangsungan kerjaya seni. Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkannya sekarang. Biarlah ia menjadi kejutan buat peminat,” katanya.
Lisa Surihani bukan orang baru dalam dunia lakonan, malah sejak remaja lagi dia sudah biasa beraksi di hadapan kamera dengan membintangi iklan atau mengacarakan rancangan televisyen.
Sekian lama berkecimpung akhirnya dia diberi peluang pengarah Bernard Chauly untuk membintangi filem Goodbye Boys dan Piere Andre melamarnya membintangi I’am Not Single dan ditayangkan kepada umum Ogos lalu.
Tuah filem dan bakat dicurahkan dalam I’am Not Single, Lisa memenangi anugerah Pelakon Harapan, Festival Filem Malaysia yang berlangsung pertengahan tahun ini.
Kejayaan diraih dilihat akan membawa Lisa melangkah jauh dalam industri perfileman tempatan dan menjadi perhatian penerbit. Apatah lagi dia bakal sibuk di lokasi penggambaran Rempit V3 arahan Farid Kamil bermula Januari ini dan Jangan Pandang Belakang Congkak bakal menemui peminat tahun hadapan.
“Saya tidak pernah meletak harapan pada kerjaya seni. Bukan tidak yakin tetapi adalah lebih baik jika saya mengikut arus. Takut kalau tidak menjadi kenyataan kelak saya akan kecewa.
“Pada waktu sama, sejak kecil saya memang mahu mencuba bidang seni. Bagaimanapun, apabila usia mencecah 14 tahun, cita-cita untuk menjadi peguam begitu menebal. Dalam usaha menjayakan cita-cita itu saya melakukan dua kerja dalam satu masa iaitu meneruskan kerja dalam bidang seni dan waktu sama belajar dalam bidang guaman.
“Sekarang ini pun walaupun sibuk berlakon, saya masih meneruskan pengajian dengan mengambil ijazah lanjutan dalam bidang perundangan sebelum melakukan latihan guaman sekali gus melayakkan saya menjadi peguam bertauliah,” katanya.
Kata Lisa lagi, perkembangan kerjayanya dalam bidang lakonan berlaku di luar dugaan dan segalanya berlaku dengan pantas.
“Bayangkan baru dua filem saya sudah memenangi anugerah, tetapi itu tidak bermakna saya sudah bagus dan mampu memberikan pendapat mengenai industri perfileman secara keseluruhan. Saya masih menganggap diri mentah dan banyak yang perlu dipelajari.
“Bagaimanapun, bidang guaman dan seni yang ada dalam diri saya sebenarnya amat berkait rapat. Ia membantu saya menjadi lebih yakin terutama apabila membicara sesuatu perkara dan berhadapan dengan wakil media,” katanya.
Profil Faizal Tahir
Nama Penuh: Ahmad Faizal b Mohd Tahir
Nama Panggilan: Faizal
Tarikh Lahir: 26 Oktober 1978
Umur: 30 tahun
Asal: Shah Alam, Selangor
Tinggi: 170 cm
Berat: 65 kg
Kerjaya: Penyanyi dan pengacara
Hobi : Main muzik, menyanyi, mengumpul replika watak superhero.
Personaliti: Aktif, peramah dan matang
Album: The Best of One in a Million dan Aku.Muzik.Kamu
Pengacaraan: Gangstarz
Pencapaian: Memenangi empat Anugerah Industri Muzik termasuk Album Terbaik dan dua Anugerah Planet Muzik.
Profil Lisa Surihani
Nama penuh: Lisa Surihani Mohamed
Nama Panggilan: Lisa
Tarikh Lahir: 23 Mac 1986
Umur: 22 tahun
Pendidikan: Sarjana Muda Undang-Undang
Kerjaya: Model, pengacara, pelakon
Filem: Goodbye Boys dan I’m Not Single
Drama: Ayah Kami, Fara dan Obsesi.
Iklan:: Johnson & Johnson Pure Essentials, KFC, McDonald’s, Cadbury, Ayamas, Double Decker, Hotlink, V-Soy, Rexona, Clearasil, Maxis
Pengacaraan: X-Fresh (Astro), Down Memory Lane (RTM), Nestle Space Challenge (ntv7), Hello 2006 (RTM), Whoa (ntv7), Anugerah Angkasapuri 2005 (RTM).
Harian Metro
Depan Mata: Anugerah Tun Buat P Ramlee?
Rap
SELEPAS lebih dua tahun, pada 12 Disember lalu, saya kembali ke meja perbincangan program Fenomena Seni yang dihoskan pelakon dan produser Rosyam Nor.
Bukan apa, Fenomena Seni yang kini menjangkau usia empat tahun, terus bersiaran dengan membincangkan pelbagai isu dalam dunia seni tanah air. Ternyata program ini mempunyai pengikut tersendiri hingga terus kekal sehingga kini.
Malah, program ini juga banyak memberi peluang kepada wartawan hiburan menjadi panel untuk membincangkan isu yang dibangkitkan, sekali gus memberi peluang kepada wartawan menyuarakan pendapat di luar daripada bidang tugas mereka yang biasanya menulis di akhbar dan majalah tetapi kini suara dan wajah mereka juga dapat dilihat jutaan rakyat Malaysia.
Tajuk Anugerah Sana Anugerah Sini yang dipilih pada minggu itu memang menarik memandangkan industri hiburan kita kecil saja tapi ada lebih daripada 10 anugerah yang dianjurkan pelbagai pihak.
Antara yang utama, Anugerah Industri Muzik (AIM) khusus menghargai karyawan muzik, Festival Filem Malaysia (filem), Anugerah Skrin (TV3), Anugerah Seri Angkasa (RTM), Anugerah Oskar (filem), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Anugerah Era, Anugerah MACP dan Anugerah Juara Lagu.
Itu belum lagi anugerah sampingan yang dianjurkan majalah, tetapi disifatkan glamor semata-mata kerana memberi pengiktirafan kepada penampilan artis, bukannya bakat atau hasil karya artis itu.
Memang bertuah menjadi artis kerana banyak pihak mahu memberi penghargaan sebagai mengiktiraf hasil kerja mereka.
Sebagai wartawan hiburan, saya turut tumpang bangga kerana FFM yang pertama pada 1980 hasil perjuangan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) yang mahu melihat karyawan filem tanah air juga dihargai sebagaimana karyawan luar seperti negara jira, Indonesia yang berbangga dengan Festival Filem Indonesia (FFI).
Cuma, apabila terlalu banyak majlis anugerah, masyarakat menganggap nilai prestijnya hilang. Tambahan pula ada majlis sama dianjurkan pihak berbeza. Contohnya RTM menganjurkan Seri Angakasa untuk menghargai penerbitan program televisyen dan TV3 juga menganjurkan acara sama melalui Anugerah Skrin.
Walaupun kini anugerah itu turut dibuka kepada stesen lain, ia dilihat kurang telus apabila anugerah utama dimenangi produk penganjur.
FFM sudah ada untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan filem tetapi Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) menganjurkan pula Anugerah Oskar khusus untuk mereka yang bergiat dalam dunia filem, malah Anugerah Skrin turut mewujudkan kategori filem dan tidak khusus kepada program televisyen saja.
Sepatutnya, satu badan khas diberi tanggungjawab menganjurkan program khusus untuk penerbitan program televisyen seperti Amerika bangga dengan Anugerah Emmy (televisyen) yang dianjurkan Academy of Television Arts and Sciences manakala Anugerah Academy (filem) oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga saban tahun tidak pernah melupakan insan seni untuk pemberian anugerah kebesaran hingga ramai artis bergelar Datuk, malah ada bergelar Tan Sri dan Datin Paduka.
Paling baru, penyanyi Sheila Majid menerima Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang Ke-78, 24 Oktober lalu.
Pengarah Shuhaimi Baba pula menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membawa gelaran Datin Paduka, 11 Disember lalu.
Namun, apabila kerajaan Melaka memilih bintang Bollywood, Shah Rukh Khan untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang memberi gelaran Datuk, ramai pihak meluahkan rasa tidak puas hati. Ia bukan saja diluahkan karyawan seni tanah air melalui sidang media tergembar Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), malah diperdebatkan dalam Dewan Rakyat.
Mereka mempersoalkan sumbangan Shah Rukh kepada negara hingga layak menerima gelaran Datuk, walhal ini bukanlah kali pertama orang luar menerima darjah kebesaran daripada kerajaan negeri. Malah, mereka meminta kerajaan negeri menarik balik pemberian anugerah itu.
Bagaimanapun, saya tertarik dengan kenyataan Presiden Majlis Artis Hiburan Tanahair (Mahkota), Datuk A Rahman Hassan yang turut menjadi panel Fenomena Seni pada 12 Disember lalu. Katanya, sudah tiba masanya gelaran Tan Sri yang diberikan kepada Seniman Agung P Ramlee dinaikkan kepada Tun.
Katanya, jasa dan sumbangan beliau tidak ada tolok bandingnya sedangkan gelaran itu kini turut diberikan kepada dua lagi karyawan seni kita, Tan Sri SM Salim dan Tan Sri Jins Shamsuddin.
“P Ramlee bukan saja hebat dalam bidang nyanyian, penciptaan lagu dan bermain muzik, malah dalam lakonan dan juga pengarahan filem. Kini ada tiga insan seni tempatan dikurniakan gelaran Tan Sri. Berbeza dengan Jins dan SM Salim hanya satu bidang iaitu filem (Jins) dan SM Salim (nyanyian).
“Saya rasa sudah tiba masanya gelaran kepada P Ramlee dinaikkan kepada Tun supaya kedudukannya diletakkan di tempat yang lebih tinggi sejajar dengan bakat dan sumbangannya kepada dunia seni tanah air. Saya akan mengusulkan perkara ini kepada Yang Dipertuan Agung untuk pemberian anugerah ini,” katanya.
Harian Metro