Archive for the ‘Anugerah Skrin’ Category
Depan Mata: Anugerah Tun Buat P Ramlee?
Rap
SELEPAS lebih dua tahun, pada 12 Disember lalu, saya kembali ke meja perbincangan program Fenomena Seni yang dihoskan pelakon dan produser Rosyam Nor.
Bukan apa, Fenomena Seni yang kini menjangkau usia empat tahun, terus bersiaran dengan membincangkan pelbagai isu dalam dunia seni tanah air. Ternyata program ini mempunyai pengikut tersendiri hingga terus kekal sehingga kini.
Malah, program ini juga banyak memberi peluang kepada wartawan hiburan menjadi panel untuk membincangkan isu yang dibangkitkan, sekali gus memberi peluang kepada wartawan menyuarakan pendapat di luar daripada bidang tugas mereka yang biasanya menulis di akhbar dan majalah tetapi kini suara dan wajah mereka juga dapat dilihat jutaan rakyat Malaysia.
Tajuk Anugerah Sana Anugerah Sini yang dipilih pada minggu itu memang menarik memandangkan industri hiburan kita kecil saja tapi ada lebih daripada 10 anugerah yang dianjurkan pelbagai pihak.
Antara yang utama, Anugerah Industri Muzik (AIM) khusus menghargai karyawan muzik, Festival Filem Malaysia (filem), Anugerah Skrin (TV3), Anugerah Seri Angkasa (RTM), Anugerah Oskar (filem), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Anugerah Era, Anugerah MACP dan Anugerah Juara Lagu.
Itu belum lagi anugerah sampingan yang dianjurkan majalah, tetapi disifatkan glamor semata-mata kerana memberi pengiktirafan kepada penampilan artis, bukannya bakat atau hasil karya artis itu.
Memang bertuah menjadi artis kerana banyak pihak mahu memberi penghargaan sebagai mengiktiraf hasil kerja mereka.
Sebagai wartawan hiburan, saya turut tumpang bangga kerana FFM yang pertama pada 1980 hasil perjuangan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) yang mahu melihat karyawan filem tanah air juga dihargai sebagaimana karyawan luar seperti negara jira, Indonesia yang berbangga dengan Festival Filem Indonesia (FFI).
Cuma, apabila terlalu banyak majlis anugerah, masyarakat menganggap nilai prestijnya hilang. Tambahan pula ada majlis sama dianjurkan pihak berbeza. Contohnya RTM menganjurkan Seri Angakasa untuk menghargai penerbitan program televisyen dan TV3 juga menganjurkan acara sama melalui Anugerah Skrin.
Walaupun kini anugerah itu turut dibuka kepada stesen lain, ia dilihat kurang telus apabila anugerah utama dimenangi produk penganjur.
FFM sudah ada untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan filem tetapi Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) menganjurkan pula Anugerah Oskar khusus untuk mereka yang bergiat dalam dunia filem, malah Anugerah Skrin turut mewujudkan kategori filem dan tidak khusus kepada program televisyen saja.
Sepatutnya, satu badan khas diberi tanggungjawab menganjurkan program khusus untuk penerbitan program televisyen seperti Amerika bangga dengan Anugerah Emmy (televisyen) yang dianjurkan Academy of Television Arts and Sciences manakala Anugerah Academy (filem) oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga saban tahun tidak pernah melupakan insan seni untuk pemberian anugerah kebesaran hingga ramai artis bergelar Datuk, malah ada bergelar Tan Sri dan Datin Paduka.
Paling baru, penyanyi Sheila Majid menerima Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang Ke-78, 24 Oktober lalu.
Pengarah Shuhaimi Baba pula menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membawa gelaran Datin Paduka, 11 Disember lalu.
Namun, apabila kerajaan Melaka memilih bintang Bollywood, Shah Rukh Khan untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang memberi gelaran Datuk, ramai pihak meluahkan rasa tidak puas hati. Ia bukan saja diluahkan karyawan seni tanah air melalui sidang media tergembar Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), malah diperdebatkan dalam Dewan Rakyat.
Mereka mempersoalkan sumbangan Shah Rukh kepada negara hingga layak menerima gelaran Datuk, walhal ini bukanlah kali pertama orang luar menerima darjah kebesaran daripada kerajaan negeri. Malah, mereka meminta kerajaan negeri menarik balik pemberian anugerah itu.
Bagaimanapun, saya tertarik dengan kenyataan Presiden Majlis Artis Hiburan Tanahair (Mahkota), Datuk A Rahman Hassan yang turut menjadi panel Fenomena Seni pada 12 Disember lalu. Katanya, sudah tiba masanya gelaran Tan Sri yang diberikan kepada Seniman Agung P Ramlee dinaikkan kepada Tun.
Katanya, jasa dan sumbangan beliau tidak ada tolok bandingnya sedangkan gelaran itu kini turut diberikan kepada dua lagi karyawan seni kita, Tan Sri SM Salim dan Tan Sri Jins Shamsuddin.
“P Ramlee bukan saja hebat dalam bidang nyanyian, penciptaan lagu dan bermain muzik, malah dalam lakonan dan juga pengarahan filem. Kini ada tiga insan seni tempatan dikurniakan gelaran Tan Sri. Berbeza dengan Jins dan SM Salim hanya satu bidang iaitu filem (Jins) dan SM Salim (nyanyian).
“Saya rasa sudah tiba masanya gelaran kepada P Ramlee dinaikkan kepada Tun supaya kedudukannya diletakkan di tempat yang lebih tinggi sejajar dengan bakat dan sumbangannya kepada dunia seni tanah air. Saya akan mengusulkan perkara ini kepada Yang Dipertuan Agung untuk pemberian anugerah ini,” katanya.
Harian Metro
CAK: Noniswara Beli Pakaian Pengantin
Rap
SEBELUM ini kita pernah digemparkan dengan gosip dramatis jelita, Noniswara Baharudin berkahwin dengan ahli korporat dikenali sebagai Datuk R.
Bahkan Noniswara dilihat hadir bersama Datuk R yang bertugas di sebuah syarikat telekomunikasi ke majlis Anugerah Skrin 2008.
Bagaimanapun ibu kepada Naveer Mihshon Zakaria, 14, Nur Erysha Emyra, 9, dan Nazeer Danish, 2, ini menegaskan dia belum berkahwin tetapi mengakui memang rapat dengan jejaka yang diperkatakan itu.
Beberapa hari lalu seorang teman menyampaikan perkembangan terbaru anak jati Pasir Mas, Kelantan ini. Katanya, Noniswara dan Datuk R berkunjung ke sebuah gedung tekstil terkenal ibu kota untuk membeli kain yang bakal digayakan pada hari perkahwinan mereka.
Nampak gayanya, tak lama lagi industri kita bakal dimeriahkan dengan satu lagi majlis perkahwinan dan diharap Noniswara tidak lupa mengundang rakan media bagi sama-sama meraikan hari bahagianya dan bakal suami.
Harian Metro