Archive for the ‘Cat Farish’ Category

Lagu Ganti Layak Ke Akhir


Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

HEBAT dan cukup memberangsangkan. Itulah antara gambaran diberikan pemerhati mengenai persaingan pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik kategori pop rock yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.

Semua peserta terdiri daripada enam artis solo dan enam berkumpulan memberikan persembahan sebaik mungkin bagi memastikan lagu ciptaan komposer dan penulis lirik dipertandingkan layak ke Anugerah Juara Lagu.

Bagaimanapun, pemilihan lagu yang berjaya ke peringkat akhir bagi kategori pop rock sudah dijangka awal memandangkan kelima-lima karya itu popular dan diminati ramai.

Selain itu, dari sudut komposisi dan penghasilan lirik, lagu yang layak mempunyai kekuatan tersendiri.

Melalui pengumuman dibuat pengacara Faizal Ismail dan Cheryl Samad, lima lagu yang berjaya ialah Yang Pernah (Estranged), Bukan Di Sini (Sofaz), Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussien), Kalis Rindu (Elyana) dan Aku Stacy (Stacy).

Keputusan dibuat juri terdiri daripada komposer, Fauzi Marzuki, Yassin Sulaiman, Johan Nawawi, penulis lirik, Amran Omar, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh dan Pengurus Besar Perisian dan Kandungan Primeworks Studios Sdn Bhd, Azhar Borhan memerangkap ketua juri pastinya menggembirakan kumpulan Sofaz.

Ini kerana lagu ciptaan sepenuhnya anggota kumpulan itu, Bukan Di Sini pada asalnya hanya menggantikan Ku Merindu ciptaan sepenuhnya Datuk Syed Elias Syed Ahmad.

Bukan Di Sini menarik diri di saat akhir kerana masalah penyanyi jemputannya Ella mempunyai komitmen lain pada hari pertandingan.

Anggota kumpulan Sofaz teruja dengan keputusan juri kerana sebelum pertandingan berlangsung mereka berasakan sebagai lagu yang menjadi pilihan kedua harapan untuk Bukan Di Sini terpilih ke peringkat akhir agak susah.

Jelas penyanyi utamanya Ameer, yang ditemui selepas pengumuman dibuat, sebelum naik pentas lagi Sofaz sudah sematkan dalam hati bahawa tidak mahu menaruh harapan tinggi sebaliknya tampil untuk memberikan persembahan terbaik.

“Tahun lalu kami turut layak ke peringkat akhir dan saya masih ingat waktu itu saya kurang sihat. Pada malam ini, saya juga kurang sihat, tetapi rasanya persembahan yang kami lakukan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Pemilihan juara musim lalu, kumpulan Estranged layak ke peringkat akhir dengan lagu terbaru, Yang Pernah, turut dijangka awal peminat mahupun pihak media.

Ini kerana selain ia berjaya menguasai carta stesen radio tempatan sebaik disiarkan, kumpulan ini berjaya mengekalkan momentum penghasilan karya yang baik seperti lagu terdahulu, Itu Kamu.

Anggota kumpulannya, Andy menjelaskan pihaknya percaya pemilihan Yang Pernah dibuat juri kerana ia satu karya yang baru dan segar.

Malah, berbeza dengan Itu Kamu.

Menjelaskan mengenai kemungkinan berasa tertekan kerana harus mempertahankan kejuaraan menerusi Yang Pernah untuk tahun ini, kata Andy, kumpulannya tidak terlalu memikirkan soal itu.

“Kami berterima kasih kepada pihak TV3 kerana menganjurkan pertandingan seperti ini yang membuka ruang untuk kumpulan seperti Estranged mengetengahkan karya dihasilkan kepada umum.

“Tidak timbul soal tertekan untuk mempertahankan kejuaraan, tetapi pada kami apa yang lebih penting adalah persembahan dibuat agar penonton puas. Kalau menang, ia satu bonus buat kami,” katanya.

Saingan rapat Yang Pernah dalam kategori pop rock ini adalah Lagu Untukmu dendangan Meet Uncle Hussien, kerana sejak disenaraikan layak bertanding ia sudah dijangka akan berjaya layak ke Juara Lagu.

Bagi anggota kumpulan ini, Lan, Taja dan Tas menjadikan pertandingan dianjurkan TV3 sebagai pentas untuk mereka mengetengahkan bakat, sekali gus membuka ruang kepada banyak lagi kumpulan yang bergerak sendiri (indie) untuk menyertai industri.

“Sebelum ini kumpulan Estranged sudah membuka ruang dan tahun ini kami meneruskan kelangsungan itu. Diharapkan pada masa hadapan lebih banyak lagi kumpulan akan tampil dan bersama-sama kami memeriahkan Juara Lagu,” katanya.

Dua artis wanita solo iaitu Elyana dan juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy turut berjaya dengan lagu dipersembahkan.

Menarik pada malam pertandingan, Elyana menunjukkan kemampuan menyanyikan lagu Kalis Rindu ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh Ad Samad sambil duduk.

Katanya, persembahan sebegitu dibuat kerana dia berasa kurang selesa berdiri di atas pentas dengan memakai kasut.

“Pada saya, tumpuan utama yang harus diberikan kepada lagu didendangkan dan bukan penyanyinya. Kerana itu saya cuba memberikan persembahan terbaik walaupun harus menyanyi sambil duduk,” katanya.

Sementara itu, Stacy menjelaskan, dia gembira apabila lagu Aku Stacy berjaya layak ke peringkat Anugerah Juara Lagu memandangkan semua yang terbabit dalam penghasilan lagu itu termasuk penciptanya, Intan Norul Azlin dan Layla Ismail orang baru.

Dalam sidang akhbar selepas pertandingan ditimbulkan persoalan beberapa lagu yang dirasakan tidak sepatutnya disenaraikan dalam kategori pop rock. Contoh lagu Bukti nyanyian Fiq dihasilkan Tony Iskandar dan lirik karya Allahyarham Loloq.

Mengulas sebagai ketua juri, Azhar mengakui perkara itu berlaku.

Malah, katanya, semua juri berpendapat ada lagu tidak sesuai ditampilkan dalam kategori dipertandingkan.

“Perkara itu seharusnya ditanyakan kepada pihak penganjur (TV3) bagaimana kesilapan seperti itu boleh berlaku. Begitupun, ia mungkin disebabkan syarikat rakaman sendiri yang mencalonkan lagu dalam kategori terbabit. Atau pihak penganjur sendiri mengubah kategori dipertandingkan. Perkara ini seharusnya dilihat semula,” katanya.

Lagu lain yang turut bertanding dalam kategori pop rock, Separuh Masa (Edry Abd Halim) dan didendangkan kumpulan Flava, Mila Bila Cinta (Audi Mok/Ad Samad/Mila), Cinta Si Rama-Rama (Edrie Hashim/Hattan), Aku Lebih Tahu (Ajai/Loloq/Mila), Rimas (Cat Farish/Roxy Tail/The Faboulous Cat) dan Mabuk (Tam/Loloq/Spider).

Dengan pemilihan lima lagu pop rock ke peringkat akhir, bermakna lengkap sudah senarai lagu yang layak berentap ke Anugerah Juara Lagu yang akan berlangsung 18 Januari ini.

Malah Jumaat lalu, penganjur turut membuat kejutan apabila mengumumkan lagu Dingin ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Azelea turut layak ke peringkat akhir bagi kategori balada menjadikan 14 lagu layak ke Anugerah Juara Lagu.

Penganjur berpendapat, lagu dendangan Ziana Zain itu layak kerana kategori Balada menampilkan lagu lebih berkualiti berbanding kategori lain, sekali gus menguasai jumlah lagu iaitu enam berbanding lima untuk pop Rock dan tiga etnik kreatif.

Harian Metro

Bukan Di Sini Bukan Lagu Penyendal


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


ARTIS dan penyanyi kumpulan yang akan bertanding kategori Pop Rock dalam AJL.

Ketiadaan Ku Merindu ciptaan Datuk Syed Elias Syed umpama rezeki bagi kumpulan Sofaz

PENARIKAN diri lagu Ku Merindu ciptaan Datuk Syed Elias Syed, dendangan Shah dan Ella, nyata menjadi rahmat buat kumpulan Sofaz apabila lagu ciptaan anggota mereka sendiri, Bukan Di Sini, turut terpilih memasuki Anugerah Juara Lagu Ke-23 yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, 18 Januari depan.

Kegagalan Ella untuk memberikan komitmen pada saat-saat akhir menyebabkan rakan duetnya, Shah kecewa, lantas, membuat keputusan menarik diri daripada peringkat separuh akhir kategori Pop Rock, Jumaat lalu, yang menyaksikan 12 lagu bersaing hebat merebut tempat ke final.

Jelas sekali, rezeki menyebelahi Bukan Di Sini, lagu yang dipilih menggantikan lagu duet terbabit apabila juri yang terdiri daripada komposer Fauzi Marzuki; Johan Nawawi; Yasin Sulaiman; penulis lirik, Amran Omar; Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh; dan Pengurus Besar, Perisian dan Kandungan Primeworks Studio, Azhar Borhan selaku ketua juri, nyata terpikat dengan irama dan lirik lagu berkenaan.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian Sofaz yang turut berentap pada AJL edisi ke-22, awal tahun ini, menerusi lagu Janjiku.

Walaupun menjadi pengganti kepada lagu Ku Merindu, namun anggota kumpulan berkenaan tidak pernah menganggap Bukan Di Sini sekadar lagu penyendal dalam pertandingan itu.


KUMPULAN Sofaz beri saingan.

“Sememangnya lagu kami ialah lagu ganti, tetapi inilah yang dinamakan rezeki. Kami sendiri tidak pernah menjangka lagu ini akan turut melayakkan diri ke peringkat final. Apatah lagi kami hanya diberitahu mengenai penyertaan lagu ini pada peringkat separuh akhir kira-kira seminggu yang lalu. Begitu pun, dalam masa yang singkat itu kami sempat berlatih.

“Pada malam ini pula, Ameer kurang sihat. Namun kami semua sudah memberikan persembahan yang terbaik. Kami cuba berseronok ketika mengadakan persembahan, walaupun jauh di sudut hati, masing-masing sebenarnya gugup juga,” ujar Zimi.

Selain Sofaz, kumpulan muzik yang juga menempa kejayaan pada peringkat separuh akhir Pop Rock ialah Estranged menerusi lagu Yang Pernah dan Meet Uncle Hussain dengan Lagu Untukmu.

Berbeza dengan Meet Uncle Hussain yang melangkah ke akhir buat kali pertama, Estranged bukan asing dengan AJL. Lagu mereka, Itu Kamu, bukan sekadar menjuarai kategori Pop Rock pada edisi sebelum ini, malah lagu itu juga diumumkan Juara Lagu. Lalu, penyertaan kali kedua pada peringkat akhir mungkin memberikan tekanan?

“Biarpun pernah menggapai kejayaan pada AJL22, kami tidaklah tertekan apabila mempersembahkan lagu Yang Pernah. Cuma, ketika keputusan sedang dibacakan hos rancangan, perasaan berdebar memang turut dirasa.

“Bagi kami, penyertaan pada peringkat separuh akhir itu saja sudah cukup kami hargai. Apatah lagi apabila lagu kami berjaya memasuki peringkat akhir. Ia tentu sekali penghormatan cukup tinggi buat Estranged, terutama pada ketika tidak banyak kumpulan muzik tempatan yang berpeluang untuk ke depan, saat ini,” kata anggotanya, Andy.

Kumpulan itu juga menegaskan, betapa mereka tidak mempunyai formula tertentu untuk menempatkan diri ke final. Namun begitu, mereka percaya, juri memberikan perhatian kepada sesuatu pembaharuan yang mereka tampilkan dalam ciptaan.

Manakala Lan daripada kumpulan Meet Uncle Hussain pula mahu melihat kejayaan mereka ke AJL sebagai pembuka jalan atau pembakar semangat kepada kumpulan indie lain untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu, seterusnya menerima penghargaan daripada kalangan peminat muzik yang lebih besar.

Mereka turut melihat pertandingan seperti Muzik Muzik membantu kumpulan bebas seperti mereka untuk mendapat tempat lebih tinggi dalam masyarakat, seperti yang dibuktikan Estranged. Mereka juga berpendapat, pertandingan berkenaan memberi ruang untuk peminat menghargai muzik tempatan, berbanding muzik dari negara luar.

Elyana yang memilih untuk mengadakan persembahan dengan memakai kasut ketika menyanyikan lagu Kalis Rindu ciptaan Aidit Alfian dan lirik Ad Samad tidak berasakan wujudnya jurang antara penyanyi solo dengan peserta berkumpulan apabila bersaing pada AJL nanti.

“Kami sama-sama berada dalam industri muzik, jadi bagi saya tiada bezanya antara peserta solo dan berkumpulan. Saya sendiri pula hanyalah penyanyi yang cuba menunaikan tanggungjawab menyampaikan lagu ciptaan komposer bertanding dengan sebaik mungkin,” katanya apabila diminta pandangannya berhubung saingannya kali ini yang terdiri daripada beberapa kumpulan muzik.

Juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy, pula tidak percaya lagu nyanyian, Aku Stacy, turut termasuk dalam barisan finalis kali ini.

“Begitupun, saya cukup bersemangat ketika menyanyikan lagu itu sebentar tadi. Sokongan peminat pula membuatkan saya lebih teruja. Kesilapan pada masa lalu tentunya menjadi pengajaran berguna bagi saya meningkatkan lagi persembahan,” katanya yang membuat beberapa kesilapan ketika menyanyikan lagu Wajah Rahsia Hati pada acara kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-21.

Tiada desakan orang luar

JIKA pada minggu lalu, hanya lima lagu daripada kategori Balada diumumkan layak ke akhir iaitu Cuba dan Sampai Syurga nyanyian Faizal Tahir, Bila Nak Saksi (Spider), Hanya Di Mercu (Ayu) dan Lagu Kita (Aizat), Jumaat lalu sebuah lagi lagu daripada kategori itu layak bertanding di AJL23.

Lagu Dingin dendangan Ziana Zain, ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Azalea, menjadi lagu ke-14 keseluruhan melayakkan diri bersaing pada acara kemuncak.

Menurut Azhar, berikutan kekuatan lagu yang bersaing dalam kategori Balada pada peringkat separuh akhir kali ini lebih ketara, berbanding kategori lain, pihak juri bersama penganjur, TV3, berasakan sebuah lagi tempat harus diberikan kepada lagu daripada kategori berkenaan.

Lalu, dengan kedudukan Dingin berada pada tangga paling atas daripada lagu selebihnya yang gagal pada peringkat berkenaan, maka lagu terbabit diberi peluang untuk turut sama berentap pada final.

Katanya, keputusan memasukkan Dingin ke final bukanlah dibuat kerana adanya desakan daripada pihak luar.

“Kita sekali-kali tidak akan membuat sesuatu keputusan berdasarkan desakan pihak luar,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya saingan separuh akhir Pop Rock.

Berikutan kenyataannya yang mengakui kehebatan kategori Balada, maka bolehkan dibuat andaian Juara Lagu nanti akan muncul daripada enam lagu yang bersaing dalam kategori ini.

“Bukan menjadi hak saya untuk berkata demikian buat masa ini. Lagipun tidak adil untuk kita membuat andaian awal. Apatah lagi kata putus kemenangan sesebuah lagu bukannya daripada saya. Panel juri yang akan menentukannya, hasil perbincangan sesama mereka,” katanya sambil menegaskan, barisan juri berbeza akan digunakan bagi menilai barisan lagu yang layak ke akhir, kecuali dirinya.

Azhar turut menyentuh mengenai permasalahan lagu dipertandingkan dalam kategori yang kurang tepat. Memberikan contoh, dia berkata, pihak juri berasakan lagu dendangan Fiq, Bukti, sebuah karya cukup kuat. Namun, ia kehilangan markah kerana dimasukkan dalam kategori yang salah.

Mungkin, penganjur harus menilai dengan lebih teliti bentuk sesuatu lagu sebelum ia dipertandingkan dalam sesuatu kategori bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku. Begitupun, dilema akan timbul, kata Azhar, apabila pencipta berasakan dia lebih memahami lagu yang dicipta dan berasakan ia selayaknya diadili dalam kategori mereka ingini.

Senarai Kategori Pop Rock

Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein)

Yang Pernah (Estranged)

Bukan Di Sini (Sofaz)

Aku Stacy (Intan Norul Azlin/Intan Norul Azlin & Layla Ismail/Stacy)

Kalis Rindu (Aidit Alfian/Ad Samad/Elyana)

Separuh Masa (Edry Abdul Halim/Edry Abdul Halim/Flava)

Mila Bila Cinta (Audi Mok / Ad Samad / Mila)

Cinta Si Rama-Rama (Edrie Hashim/Edrie Hashim/Hattan)

Bukti (Tony Iskandar/Loloq/Fiq)

Aku Lebih Tahu (Ajai/Loloq/Mila)

Rimas (Cat Farish/Roxy Tail/The Faboulous Cats)

Mabuk (Tam/Loloq/Spider)

Berita Harian