Archive for the ‘Fauziah Nawi’ Category
Sorotan 2008: Teater Muzikal Terus Jadi Pilihan
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

TEATER Muzikal Ibu Zain.
Persembahan keseluruhannya tetap ada sambutan walaupun masih kurang memberangsangkan
MELIHAT kepada perkembangan teater tanah air sepanjang tahun ini, boleh disimpulkan bahawa trend khalayak penonton yang bukannya dari penggemar hiburan pentas, memilih genre muzikal sebagai persembahan yang boleh diikuti.
Berdasarkan pementasan teater besar di Istana Budaya (IB), lebih 10 pementasan sudah dipentaskan sepanjang tahun ini. Daripada jumlah itu sebahagiannya adalah teater muzikal yang kebanyakannya mendapat sambutan baik.
Daripada rekod IB, teater P.Ramlee The Musical berjaya menarik seramai 20,954 penonton daripada 20 hari persembahan dan mengutip sebanyak RM1.4 juta, satu angka yang membanggakan.
Ia diikuti teater Muzikal Patriot seramai 4,250 penonton dan Teater Muzikal Ibu Zain seramai 3,543, kedua-duanya dipentaskan selama tujuh hari.
Selain daripada itu, teater tema turut menjadi pilihan di IB yang merasakan teater seumpama ini mampu menjadi warisan negara untuk dijaga.

TEATER Muzikal Puteri Gunung Ledang.
Ketua Pengarah IB, Muhamed Juhari Shaarani, berkata pihaknya akan terus mengutamakan persembahan teater muzikal dari produksi tempatan dan berharap
pementasan bertema pula dapat diteruskan pada tahun depan dengan memilih tokoh yang banyak menyumbang kepada kemakmuran negara.
Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) khususnya sekitar Lembah Klang seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Malaya antara yang aktif mementaskan teater.
Ini sebenarnya menjurus kepada subjek pendidikan yang diambil seperti seni lakon atau seni teater yang mewajibkan pelajarnya menjalani praktikal dengan mementaskan teater.
UiTM Shah Alam menjadi antara IPTA paling aktif dengan membuat enam pementasan teater tahun ini iaitu Pentas Opera, Jerjak, Gugurnya Kopiah Putih, MYTH (mencari Yang Telah Hilang), Demi Merdeka dan Roh Anai-Anai.
Sementara itu Akademi Seni Warisan dan Budaya (Aswara) mementaskan hampir 11 teater tahun ini antaranya dua bangsawan Raden Galoh dan Raja Laksamana Bentan yang dipentaskan di Masan Korea Selatan. Selain itu teater moden, Malam Gelap di Bukit Damansara, Pegawai Khalwat dan Di Kampung Di Kota.
Teater eksperimen yang dianggap cabaran bagi pelajar seperti Vertigo turut dipentaskan. Sebuah teater klasik, Mac Beth dan teater kanak-kanak Bila Zoo Di Tutup.
Semua teater ini dipentaskan bersama produksi yang terdiri daripada pelajar yang mengikuti kursus teater. Tidak ketinggalan juga, kumpulan teater yang sangat aktif milik pelakon disegani, Fauziah Nawi, Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani).
Menerusi Stefani, mereka sudah mementaskan Cinta Julia, KL Ku Kembang Layarku, Topeng-Topeng, Lorong Blues dan Malam Tujuh Drama Tujuh Duri yang kebanyakannya dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur.
Hari ini kita dapat melihat dan boleh berbangga apabila tiga teater produksi tempatan mendapat perhatian daripada pihak luar yang menyifatkan ia sebagai teater yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Jika tahun lalu, teater muzikal Puteri Gunung Ledang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Singapura apabila mereka berminat untuk mementaskan teater itu di Panggung Esplanade, Singapura.
Tahun ini teater P Ramlee The Musical mengikut jejak yang sama apabila pihak mereka berminat untuk mempersembahkan sebanyak tiga hari pementasan.
Belum pun sempat teater permotoran pertama di dunia, Impak Maksima The Musical menutup tirai pementasannya di Istana Budaya bermula 11 hingga 22 November lalu, sekali lagi pihak Esplanade yang menyaksikan pada minggu pertama menyatakan minat mereka untuk membawa teater ini ke Singapura.
Teater ini bakal dipentaskan di Panggung Esplanade, Singapura pada Oktober tahun depan sebelum berlangsungnya sukan permotoran Formula One di Singapura.
Industri teater tempatan bukan saja harus memikirkan nilai komersial semata untuk menjual teater kita keluar negara namun harus memikirkan artistik dan ketulenan teater itu sendiri.
Persoalannya adakah industri teater kita sudah bersedia memasarkan teater kita ke peringkat antarabangsa dan adakan teater muzikal akan menjadi trend tahun depan sebagai ikutan kepada penggiat teater masa kini.
Berita Harian
Belajar Di Lokasi Penggambaran
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
BIARPUN tanpa ilmu lakonan di universiti, ia bukan penghalang pelakon baru, Airis Yasmin berjaya dalam bidang yang diminati. Sejak dua tahun lalu, Airis aktif membintangi pelbagai drama hingga menerima kepercayaan produser untuk beraksi di layar perak.
Bagi Airis, pengalaman di lokasi penggambaran adalah sesi pembelajaran paling berkesan untuk mendidik pelakon baru sepertinya. Malah, bercampur gaul dengan pengarah dan pelakon lain dapat berkongsi pengalaman menarik untuk dijadikan panduan pada peningkatan lakonan yang lebih baik.
Hingga kini, Airis masih mencari kepuasan dalam lakonan menerusi watak yang dibawa.
“Sepanjang saya berlakon, masih belum ada pengalaman buruk seperti dicampak skrip, bergaduh atau dimarahi pengarah terjadi pada saya. Prinsip saya ketika berlakon perlu bertanggungjawab terhadap watak yang diberikan.
“Apabila kita melakukan tugas dengan penuh dedikasi dan sepenuh tumpuan, kerja akan menjadi sempurna. Bagaimanapun, ini tidak bermakna pengarah berpuas hati dengan lakonan saya, sebaliknya saya merasakan masih banyak ruang untuk saya perbaiki dari aspek lakonan.
“Penting bagi pelakon mengetahui keinginan sesuatu watak yang ingin dibawa dan sedar diri terhadap tanggungjawab yang digalas. Dulu sebelum berlakon, saya rasakan berlakon tugas mudah tetapi apabila cuba sendiri, baru tahu cabaran yang harus ditempuhi,” katanya.
Perkembangan terbaru, Airis selesai menjalani penggambaran drama Andai Semalam Ku Miliki dan kini terbabit dengan drama Jodoh @ Cyber. Menerusi Andai Semalam Ku Miliki, Airis melakonkan watak Rita iaitu isteri Hamdan (Zul Huzaimy). Cabaran watak kali ini, Airis menjadi mangsa dera suami yang sering dipukul kerana perasaan cemburu terhadap hubungan semula dengan bekas kekasih, Shah (Zamarul Hisham).
Kata Airis, 29, dia bukan hanya perlu menghayati watak dengan berkesan tetapi berasa bertuah kerana menimba pengalaman berlakon di samping pelakon berpengalaman seperti Zul Huzaimy dan Zamarul Hisham. Mengagumi lakonan Fauziah Nawi, Ruminah Sidek dan Elly Suriati, Airis juga menantikan empat filem lakonannya iaitu Janin, Ee… Hantu, Syy… Dia datang dan Sereem yang masih belum ditayangkan di pawagam.
“Apabila kita berlakon bersama mereka yang pernah menang anugerah dan banyak pengalaman berlakon, saya berasa teruja. Walaupun saya sudah banyak berlakon drama tetapi itu belum cukup untuk saya berbangga dengan pencapaian diri.
“Banyak lagi yang perlu saya belajar sebagai pelakon. Antara drama dan filem, kedua-duanya mempunyai cabaran berbeza. Menerusi drama, banyak adegan dapat dimuatkan manakala filem mengambil masa yang panjang untuk satu tempoh penggambaran.
“Buat masa ini, saya banyak melakonkan watak yang saya yakin boleh dibawa seperti perempuan dari kampung, isteri teraniaya dan perempuan yang mendendami lelaki akibat sikap bapa mendera ibu. Bagaimanapun, saya turut mempertimbangkan watak lebih berat seperti perempuan cacat dan bermain dengan psikologi. Malah, watak komedi juga bukan mudah untuk dibawa tetapi saya sanggup mencuba jika ada tawaran diberikan.
“Pada saya, cabaran sebagai pelakon dirasai apabila diminta menjiwai sesuatu watak. Pelakon perlu membayangkan seolah-olah dia berada dalam watak itu. Andai mood cerita itu sedih, pelakon juga harus bijak memainkan ekspresi yang sesuai dengan situasi, begitu juga sebaliknya.
“Ada ketika pelakon berhadapan dengan keadaan skrip diberi lewat sebelum penggambaran. Biar apapun keadaannya, pelakon harus bijak menyesuaikan diri dengan keadaan itu. Jika ada adegan yang lebih rumit seperti aksi, pelakon perlu berbincang terlebih dulu,” katanya.
Harian Metro